KEMARAHAN orang ramai terhadap Pak Man Telo akibat gagal membayar dividen yang dijanjikan menyebabkan sekumpulan enam lelaki bertindak menculik anak lelakinya pada 1991.
Mereka mengurung anak lelaki terbabit di Hotel Tropicana, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur mulai jam 8.10 malam 28 Februari hingga jam 11.30 pagi, 5 Mac 1991 bertujuan memaksa Pak Man Telo mengembalikan wang RM426,767 yang mereka labur dalam skim itu.
Enam lelaki terbabit berjaya ditahan dan dihadapkan di mahkamah tetapi hanya empat daripada mereka yang disabitkan kesalahan. Keempat-empat lelaki itu hanya dikenakan hukuman ringan, iaitu denda RM100 atau tiga bulan penjara.
Hukuman ringan itu diberi kerana hakim bersimpati terhadap keempat-empat tertuduh yang kehilangan wang disebabkan Pak Man Telo.