balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Penduduk Apartment Taman Mesra perlukan meter individu segera bagi mengelak masalah air berulang.
< 1 / 1 >
KLANG - 75 keluarga yang tinggal di Apartmen Taman Mesra, Lorong Samarinda 13B dekat sini terpaksa berdepan masalah ketiadaan air sejak lapan hari lalu apabila bekalan air dipotong kerana tidak menjelaskan tunggakan bil.
Bekalan air dipotong sejak 21 Mei selepas Syabas memberi peluang kepada penduduk untuk menjelaskan bil tertunggak di apartmen yang menggunakan meter pukal itu sebanyak RM53,000 gagal dilunaskan.
Pengerusi Persatuan Penduduk, S Kanmani, 42, berkata, masalah bekalan air dipotong sudah banyak kali berulang.
Menurutnya, penduduk terpaksa mencari inisiatif sendiri untuk mendapatkan air termasuk memunggah air dari pasar raya dan stesen minyak berdekatan dan ada yang menumpang mandi di rumah saudara berdekatan.
“Kali ini paling lama kena potong hingga pakaian pula terpaksa dihantar ke dobi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, sukar bekerjasama dari aspek pembayaran antara penduduk adalah punca utama masalah air di apartmen tiga blok itu gagal ditangani.
“Saya sedih kerana ada di kalangan penduduk yang enggan menjelaskan bayaran bil air kepada persatuan. Ada penduduk yang telah bayar terpaksa menanggung masalah yang sama," katanya.
Beliau berkata, sejak 10 tahun tinggal di situ, apartmen ini tidak terurus berikutan tiada pihak pengurusan.
“Ketiadaan pengurusan menyebabkan kami penduduk di sini berpakat menubuhkan persatuan yang bertanggungjawab mengutip bayaran bil air daripada penduduk sebelum diserahkan kepada Syabas,” katanya.
Dalam pada itu, bagi menghalang situasi sama berulang, penduduk apartmen juga menggesa pelaksanaan meter individu disegerakan.
Penduduk yang juga suri rumah, Shamsiah Manap, 36, berkata, mereka memohon Syabas luluskan meter individu kepada setiap penduduk di sini.
“Jika meter pukal diteruskan, saya yakin masalah sama pasti berulang. Dengan meter individu, setiap keluarga bertanggungjawab melunaskan bil masing-masing dan ia adil,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Zon N49 (B) kawasan Sentosa, Kamal Batcha ketika ditemui berkata, dia telah mencadangkan penduduk agar menandatangani permohonan meter individu kepada Syabas dan permohonan itu selesai ditandatangani kira-kira 75 keluarga.
“Permohonan ini akan diserahkan kepada Syabas dan saya harap Syabas dapat meluluskan secepat mungkin bagi kebaikan penduduk di sini. Difahamkan Syabas sudah meluluskan meter individu yang asalnya menggunakan meter pukal sejak Februari lalu,” katanya.
Beliau berkata, apartmen ini adalah salah satu daripada puluhan apartmen dan kondominium di kawasan ini yang berdepan tunggakan bil air dengan Syabas, malah ada yang hingga mencecah RM300,000.
Syabas terpaksa potong
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Priscilla Alfred berkata, notis pemotongan telah dikeluarkan Syabas pada 6 Mei lalu dengan tunggakan semasa notis berjumlah RM52,614.23.
“Mengikut jadual proses pemotongan dibuat 20 Mei lalu. Bagi ansuran bulanan kali kedua bermula 25 Mac lalu dengan bayaran RM1,000 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tindakan terpaksa diambil kerana mereka gagal membuat bayaran bil semasa bagi Mac dengan jumlah RM7,922.58.
“Pemotongan hanya dibuat pada 22 Mei selepas ada halangan dari penduduk,” katanya.
Beliau berkata, pada 21 Mei lalu empat wakil penduduk diketuai Kamal Batcha menemui Syabas bagi menuntut bayaran dibuat kepada Jaya Ikuiti dan bukan daripada penduduk.
“Hasil mesyuarat itu juga, Kamal menegaskan pihak penududk tiada hak untuk menjelaskan bayaran itu kerana ia adalah hutang Jaya Ikuiti bukannya penduduk dan Syabas,” katanya.
Katanya, bayaran secara ansuran yang diluluskan oleh Ibu Pejabat adalah 43 kali yang membabitkan RM1,000 sebulan.
Tambahnya, bayaran itu bermula pada 25 Mac lalu hingga 25 Julai 2017 dan bayaran akhir adalah pada 25 September 2017 dengan jumlahnya adalah RM1,331.35.