Keputusan bersara muktamad - Usain Bolt
LONDON 2 Ogos – Usain Bolt menegaskan, tiada apa yang mampu merubah fikirannya daripada bersara, sekali pun jika dia kalah dalam Kejohanan Olahraga Dunia di London yang berlangsung dari 5 hingga 13 Ogos ini.
Bercakap dalam sidang akhbar di sini hari ini, pemenang lapan pingat emas Sukan Olimpik itu mengakui, dia bersedia untuk menutup kariernya dengan penuh bergaya dan mempertahankan kejuaraan dunia yang dimiliki.
“Saya sudah bersedia (melihat perlumbaan seterusnya tanpa saya).
“Saya pasti, saya akan me*ngalahkan seseorang (dalam Kejohanan Dunia terakhir). Tiada sebarang tekanan dan pertan*dingan kali ini pasti menyeronokkan,” kata bintang Jamaica itu.
Selepas memilih untuk tidak mempertahankan gelaran 200 meter, jarak yang biasanya menjadi pilihan pelari berusia 30 tahun itu, Bolt kemudian ditanya apakah dia akan memikirkan semula tentang persaraan andai tewas dalam saingan 100m atau 4x100m.
“Anda semua tahu, kalau saya muncul dalam sesuatu kejohanan itu bermakna saya 100 peratus yakin.
“(Kalah) tidak akan berlaku, jadi kami tidak ada masalah.
“Dalam perlumbaan terakhir, saya berlari dengan kepantasan 9.95 saat, jadi itu menunjukkan saya kini berada di landasan yang betul. Selepas bertanding dalam dua perlumbaan akhir 100m, ia banyak membantu saya.
“Saya juga pernah berlari di sini (London) banyak kali, jadi saya tahu saya bersedia,” katanya lagi.
Bolt juga menjelaskan, selepas berbincang dengan Presiden Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF), Lord Coe dia memutuskan fasa berikutnya dalam kariernya adalah mengelilingi dunia dan memberi inspirasi kepada generasi muda mengenai sukan.
Pelari tinggi lampai itu berjaya memecahkan rekod dunia buat kali pertama pada 2008 dengan catatan masa 9.72s.
Dia kemudian memperbaharui catatan kepada 9.58s di Berlin pada 2009 dan masa tersebut kekal sehingga hari ini.
Bolt, 30, turut memegang rekod 200m dunia dengan catatan 19.19s yang juga dilakukan di Berlin pada 2009. – AGENSI
http://www.utusan.com.my/sukan/keputusan-bersara-muktamad-bolt-1.510463