BTC USD 76,377.0 Gold USD 4,296.09
Time now: Jun 1, 12:00 AM

NAZA bongkar sistem rahsia Israel bunuh penduduk Gaza

kupanglaut

Super Active Member
Messages
9,708
Joined
Jun 13, 2025
Messages
9,708
Reaction score
97
Points
80

NAZA bongkar sistem rahsia Israel bunuh penduduk Gaza​

3649613.webp

Rahsia di sebalik operasi tentera Israel di Genting Gaza terbongkar menerusi sebuah dokumentari baharu yang memaparkan pendedahan 24 anggota tentera Israel mengenai sistem dan kaedah kejam yang digunakan dalam pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin.

TEL AVIV - Rahsia di sebalik operasi tentera Israel di Genting Gaza terbongkar menerusi sebuah dokumentari baharu yang memaparkan pendedahan 24 anggota tentera Israel mengenai sistem dan kaedah kejam yang digunakan dalam pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin.

Ia, sekali gus memberi tekanan hebat terhadap kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang kini terpaksa berdepan kecaman komuniti antarabangsa setelah anggota tenteranya sendiri membongkar realiti sebenar operasi ketenteraan Israel di Gaza.

NAZA, hasil garapan pengarah berketurunan Yahudi Israel, Yuval Abraham dan Rachel Szor ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Venice pada Khamis lalu.

Tajuk filem itu diambil daripada akronim bahasa Ibrani yang digunakan rejim Zionis untuk merujuk kepada 'korban sampingan' iaitu kematian orang awam yang dianggap sebagai kehilangan yang boleh diterima ketika menyasarkan anggota Hamas.

Filem itu mendakwa jumlah 'NAZA' yang terkorban adalah tidak tetap. Dalam sesetengah kes, jumlahnya kurang daripada 12 orang, namun ada yang boleh mencecah 200 hingga 500 orang awam.

Mereka turut mendedahkan kezaliman anggota Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menganggap nyawa penduduk Palestin tiada nilai.

Ungkapan seperti 'kita perlu hapuskan Gaza dan mereka memang wajar dibunuh' sering kedengaran dalam kalangan askar Zionis.

Temu bual tersebut dirakam di atas bumbung sebuah bangunan di Tel Aviv pada waktu malam. Penampilan dan suara kesemua saksi turut diubah secara digital bagi menyembunyikan identiti sebenar mereka.

Mereka mendedahkan kaedah rahsia yang digunakan rejim Zionis untuk mengenal pasti sejumlah besar anggota Hamas.

Pegawai risikan IDF sengaja memilih untuk menyerang pada waktu malam atas alasan peluang untuk membunuh sasaran lebih tinggi ketika mereka berada di rumah bersama keluarga masing-masing.

Beberapa pemberi maklumat turut mendedahkan keupayaan pengawasan menerusi penjejakan telefon bimbit yang menghantar isyarat secara berkala bagi menunjukkan lokasi peranti.

“Kami boleh mengaktifkan setiap sensor dalam telefon itu,” dakwa salah seorang individu berkenaan.

Antara perkara mencetuskan kebimbangan dalam filem itu adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menentukan sasaran manusia.

Kewujudan sistem dikenali sebagai Lavender itu pertama kali dilaporkan oleh +972 Magazine dan Local Call sebelum turut mendapat liputan lanjut The Guardian yang juga merupakan salah satu penerbit NAZA.

Misi 'hapuskan keamanan'

Beberapa anggota tentera Israel yang ditemu bual turut mendakwa penembak tepat sengaja melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin yang kelaparan ketika mereka cuba mendapatkan makanan di lokasi pengagihan bantuan.

Seorang lagi mendakwa dia melihat sendiri menerusi kamera dron bagaimana anjing memakan mayat penduduk Palestin yang bergelimpangan di jalanan selepas kempen pengeboman.

Selain itu, unit risikan tentera Israel juga didakwa memantau mangsa jenayah perang Palestin dan mengumpul maklumat sulit untuk menjejaskan kredibiliti mereka jika tampil mendedahkan kekejaman IDF.

Rejim Zionis menggelarnya sebagai misi 'menghapuskan keamanan'. Ada antara individu yang ditemu bual mengakui berasa kesal dengan tindakan yang dilakukan manakala yang lain menganggapnya sekadar menjalankan arahan dan tugas yang diberikan pihak atasan.

Dokumentari itu turut mendedahkan kemusnahan kawasan kejiranan di Gaza yang ketika serangan berlaku masih dihuni atau menjadi tempat perlindungan kira-kira 25 peratus penduduk Palestin.

Abraham dan Szor menegaskan filem itu dihasilkan atas rasa tanggungjawab menggunakan kedudukan sebagai penggiat seni serta pengamal media untuk meneliti sistem rahsia di sebalik genosid terhadap penduduk Palestin.

"Ia bukan sekadar menyorot jenayah perang terpencil askar Israel. Sebaliknya, filem itu meneliti arahan, dasar dan amalan yang membolehkan tindakan tersebut berlaku termasuk pihak yang menggerakkan operasi berkenaan," jelas mereka lagi.

NAZA mencipta sejarah apabila menerima tepukan gemuruh selama hampir 25 minit selepas tayangannya yang merupakan rekod paling lama bukan sahaja di Venice malah di mana-mana festival filem utama. - Agensi

Info

>Lavender ialah sistem berasaskan AI yang digunakan oleh risikan tentera Israel pada fasa awal perang ganas di Gaza.

>Sistem itu direka untuk mengenal pasti individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan Gerakan Hamas dan Jihad Islam. Ia menganalisis sejumlah besar data untuk menghasilkan senarai sasaran manusia yang berpotensi.

>Sistem Lavender telah mengenal pasti sehingga 70,000 sasaran.

 
Back
Top
Log in Register