BTC USD 76,234.9 Gold USD 4,304.61
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Nahas Ragut Dua Remaja Di Teluk Intan: Pemandu Didapati Positif Dadah - Polis

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
13,777
Joined
Jun 13, 2023
Messages
13,777
Reaction score
289
Points
146

Dua Remaja Perempuan Maut Dalam Kemalangan Tiga Kenderaan Di Teluk Intan​

25f6daff125ba1970f8d8c1bc20a13956a66a7f5ae939

Kredit: Gambar awam

Dua remaja perempuan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira 6.35 petang.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, dua remaja perempuan yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta berusia 28 tahun itu serta seorang kanak-kanak lelaki yang turut terlibat, telah di hantar ke hospital Teluk Intan bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemandu kereta tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

“Mana-mana individu yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959, atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Nahas Ragut Dua Remaja Di Teluk Intan: Pemandu Didapati Positif Dadah - Polis​

b8435e735de986cc09ece43582a61a836a66c10593c84

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian

Pemandu kereta yang dipercayai menyebabkan kemalangan melibatkan dua remaja perempuan maut di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan petang semalam, didapati positif dadah jenis benzodiazepine.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata hasil saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas lelaki berusia 28 tahun itu mendapati, suspek positif dadah jenis itu.

“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.

“Siasatan berhubung kemalangan dijalankan di bawah Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, manakala siasatan berkaitan dadah turut dijalankan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.35 petang semalam, siasatan awal mendapati kereta dipandu suspek dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal, sebuah lagi kereta serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.

Akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun yang menaiki motosikal, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun itu, dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.

Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

 

Anak Keluar Temankan Rakan Ambil Baju Sebelum Maut - Ayah​

8ca6af96de79c48d7b167b17a743b5b66a66fecfbadaf

afb2a05ebd53c957aeed7a640ae6d5826a66fe7249190

Bapa Allahyarhamah Nur Dania Arissa Salim, 17, Salim Husain 43, (tengah) ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan di sini hari ini.

Seorang bapa tidak menyangka keizinan yang diberikan kepada anak bongsunya untuk menemani rakan mengambil pakaian, menjadi detik terakhir melihat remaja itu masih bernyawa, sebelum maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Padang Tembak di sini, petang semalam.

Mohd Said Zaini, 55, berkata anaknya Nur Atikah, 16, tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap atau petanda sebelum keluar dari rumah, malah masih ceria seperti biasa bersama keluarga.

“Dia minta izin nak teman kawan ambil baju. Saya benarkan sahaja. Tak lama selepas itu orang datang beritahu dia kemalangan, tetapi saya tak percaya sebab baru sangat dia keluar rumah.

“Bila anak sulung balik dan beritahu adiknya sudah meninggal dunia, barulah saya percaya. Saya terus bergegas ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan di sini hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, Nur Atikah dan rakannya Nur Dania Arissa Salim, 17, maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta.

Mohd Said berkata pada malam sebelum kejadian, beliau sempat membawa Nur Atikah menghadiri sebuah karnival kebudayaan di pekan Teluk Intan dan menyifatkan anaknya berada dalam keadaan ceria sepanjang perjalanan.

Sementara itu, bapa Nur Dania, Salim Husain, 43, berkata beliau berharap individu yang disyaki melanggar anak sulungnya itu, dikenakan hukuman yang setimpal.

“Tak sangka perkara seumpama ini berlaku sekelip mata. Saya nampak dia (Nur Dania) keluar rumah dengan menaiki motosikal dan tak sampai 15 minit, saya dapat berita dia dilanggar serta meninggal di tempat kejadian, yang hanya berjarak sekitar 100 meter dari rumah.

“Saya harap individu yang melanggar anak saya itu dikenakan hukuman yang setimpal oleh pihak berkuasa secepat mungkin,” katanya.

 

Nahas Ragut Nyawa Dua Remaja: Kanak-kanak Lelaki Selamat Jalani Pembedahan Kepala​

5a8e0eded4ecf6e1bc8847782d8a549760ea9d8173de5


Seorang kanak-kanak lelaki yang terbabit dalam kemalangan maut melibatkan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan petang semalam selamat menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.

Mangsa yang berusia tujuh tahun itu menjalani pembedahan pada bahagian kepala dan kini sedang menjalani rawatan lanjut di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Chua Kok Lian berkata ketika kejadian, mangsa berada di bahu jalan sebelum seorang suspek lelaki berusia 28 tahun yang memandu sebuah kenderaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas serta melanggar premis milik bapa mangsa.

“Sewaktu kejadian, mangsa berada bersama bapa dan di bawah pengawasan ibu bapanya. Bagaimanapun, kejadian itu berlaku di hadapan premis milik bapa kanak-kanak berkenaan.

“Selepas kemalangan itu, mangsa tidak sedarkan diri dan dibawa menaiki ambulans ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dalam kejadian pada 6.35 petang semalam, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya, sebelum melanggar sebuah motosikal dan sebuah lagi kereta di lokasi kejadian.

Akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan berusia 16 dan 17 tahun yang menaiki motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kanak-kanak yang mengalami kecederaan itu dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Hasil saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.

 

Nahas Ragut Nyawa Dua Remaja: Pemandu Kereta Didakwa Membunuh​

3c3153372a501c99cb3138a287ef4f206a6aead40a437


Pemandu kereta dalam kemalangan mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak pada Ahad lepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan termasuk dua kesalahan membunuh remaja tersebut.

R. Alex, 28, yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Singapura hanya mengangguk faham selepas dua pertuduhan membunuh dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Setia di Jalan Padang Tembak di sini pada 6.35 petang 26 Julai 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Alex mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan ketiga, iaitu memandu di bawah pengaruh dadah sehingga tidak berupaya mengawal kenderaannya dan mengakibatkan kecederaan kepada pejalan kaki Adam Arjuna Abdullah, 7, di lokasi serta pada masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tujuh tahun hingga 10 tahun serta denda RM30,000 hingga RM50,000 selain di bawah Seksyen 44(3A) akta sama, individu yang disabitkan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh minimum tujuh tahun dari tarikh sabitan.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kemalangan membabitkan A. Suresh, 50, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) APJ 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara maksimum 12 bulan serta kesalahan dicatatkan pada lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan yang dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani, Izzuddin Fakri Hamdan dan Nur Darwis Aghniya Halim Azizi tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan membunuh ialah kesalahan tidak boleh dijamin.

 
Back
Top
Log in Register