BTC USD 80,995.6 Gold USD 4,364.05
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Nabi Sulaiman a.s.

SIRI PARA ANBIYA: ASAL- USUL NABI SULAIMAN MENGUASAI JIN DAN SYAITAN

Dikisahkan beberapa tahun Nabi Sulaiman memerintah Kerajaan Israil, beliau telah diperlihatkan oleh Allah Taala dengan satu peristiwa di mana beliau melihat sendiri dirinya duduk terkulai di atas singgahsana tanpa jiwa. Namun, setelah beliau menyentuh dirinya, tiba-tiba dirinya hilang sekelip mata.

Nabi Sulaiman merasa kehairanan dan berfikir apakah petunjuk yang hendak Allah Taala sampaikan kepadanya. Pada masa yang sama, penduduk Jerusalem ramai yang tidak mengikut hukum Taurat dan mengadakan hukum halal haram mengikut sesuka hati. Tiba-tiba Panglima Absalom bin Nabi Daud, saudara Nabi Sulaiman dan Panglima Yuab datang menemui Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman pun menyampaikan rasa kegusaran kepada mereka berdua : "Kita berusaha membangun kerajaan Tuhan di negeri ini dan memerintah dengan adil agar Allah Taala meredhai kita. Namun apakah yang hendak Allah Taala tunjukkan kepada kita?". Kedua-dua panglima Nabi Sulaiman tidak dapat meneka apa yang tersirat. Pada malamnya, Nabi Sulaiman pun berfikir tentang apa yang dilihatnya sambil berdoa: " Di hadapan kerajaan-Mu di akhir dunia, kerajaanku tak ubah seperti jasad tanpa jiwa. Wahai Tuhanku, sesungguhnya kerajaanku tidak boleh dibandingkan dengan kerajaan-Mu".

Kemudian, Malaikat Jibrail pun datang membawa firman Allah Ta'ala: "Wahai Sulaiman, Kami telah berulangkali memberi engkau kurnia. Ingatlah saat Kami menambahkan ilmu ayahmu, Daud dan ilmu engkau serta memuliakan kamu semua di atas hamba-hamba yang lain. Begitu juga saat Kami memberinya kitab, kekuasaan dan kenabian serta menurunkan wahyu kepada engkau dan mengangkat engkau sebagai utusan Kami. Ketahuilah bahawa masih banyak dari umat engkau yang belum mendapat hidayah dan menjadi pengikut Syaitan".

Nabi Sulaiman pun berkata: " Wahai Tuhanku, kurniakan kepada aku kerajaan yang tidak pernah Engkau berikan kepada selain daripada aku hingga akhir dunia. Sesungguhnya Engkau Maha Pemurah". Kemudian, Nabi Sulaiman pun memanggil Panglima Absalom dan Panglima Yuab dan memerintahkan mereka untuk memanggil semua kepala suku dan pemuka agama di seluruh negeri untuk segera datang menghadap Nabi Sulaiman di Jerusalem.

Pada keesokannya ramai kepala suku dan pemuka agama hadir menghadap Nabi Sulaiman. Nabi Sulaiman pun berkata: Wahai ketua-ketua suku dan pemuka agama, sesungguhnya aku memanggil kamu semua kerana kita akan menghadapi satu peristiwa yang paling besar dan dahsyat. Allah Taala telah menunjukkan kelemahan kerajaan yang aku duduki kepada diriku. Maka aku memohon agar Allah Taala meninggikan kerajaanku dan Allah Taala telah mengabulkannya".

Salah seorang kepala suku pun berkata: "Meninggikan kerajaan engkau? Untuk apa?". Nabi Sulaiman pun berkata: "Aku memohon meninggikan kerajaan ini dengan cara mewujudkan Syurga seperti Syurga akhir dunia yang dipenuhi dengan nikmat dan keagungan insani". Kepala suku tadi berkata: "Syurga yang dijanjikan? Yang akan mendorong kaum Bani Israil datang ke negeri ini?. Namun kami tidak terlihat sekali tanda-tandanya". Nabi Sulaiman berkata lagi: "Selama kejahatan masih berleluasa di atas muka bumi, Syurga yang dijanjikan tidak akan terwujud. Untuk mewujudkannya, kita harus melalui banyak rintangan yang menakutkan".

Yarab, pemuka agama dari suku Lawi pun berkata: "Rintangan yang macam mana engkau maksudkan?". Nabi Sulaiman pun berkata: "Rintangan dari para Jin dan Syaitan". Yarab pun berkata lagi: "Kami tidak faham apa yang engkau maksudkan. Sebenarnya apa yang terjadi?".

Nabi Sulaiman pun berkata: "Saat Adam turun ke bumi, semua dunia terpisah satu sama lain. Tidak lama lagi sebahagian dari dunia-dunia ini akan bergabung kembali. Jin dan Syaitan yang berada di dunia mereka masing-masing telah menjadi bengis dan kini mendekati dunia manusia dan lebih dekat dari sebelumnya. Pada akhirnya, mereka akan masuk ke dunia kita dan Syurga yang dijanjikan itu tidak akan terwujud kecuali setelah musuh-musuh manusia dihancurkan dalam perang berdarah".

Yarab yang tidak berpuas hati bertanya lagi: "Apakah yang engkau maksudkan? Kerajaan yang mana? Perang yang mana?. Adakah engkau mempermainkan kami?". Nabi Sulaiman pun berkata: "Aku berkata dengan serius dan kerana itulah beta mengundang kamu semua dari seluruh penjuru negeri". Yarab berkata lagi: "Apa yang engkau inginkan daripada kami?". Nabi Sulaiman pun berkata: "Aku harap kamu semua menyertai dan membantu kerajaan ini dalam menghadapi peristiwa ini". Ezra, salah seorang pemuka agama pun berkata: "Wahai Sulaiman, apa dalil engkau untuk semua yang engkau katakan ini? Manakah di antara kami yang menyokong penafsiran Taurat seperti ini?".

Nabi Sulaiman pun berkata: 'Sudah aku katakan tadi bahawa aku telah memohon kepada Allah Taala dan Dia mengabulkannya". Ezra berkata lagi: "Allah Taala mengabulkan permintaan engkau? Apakah ada orang lain yang menyaksikan perbincangan engkau dengan Allah? Siapa tahu sesungguhnya ini cuma khayalan engkau sahaja". Tiba-tiba, Adonia bin Nabi Daud berkata: "Apakah yang engkau bicarakan ini wahai Ezra? Engkau tahu bahawa ayah dan saudara kami adalah utusan-Nya. Engkau juga tahu seperti apa yang diberikan oleh Allah Taala kepada mereka?".

Yarab pun berkata: "Kami tidak tahu apa-apa. Semua berita tentang mukjizat mereka tidak pernah terbukti bagi kami para pemuka agama. Kami tidak pernah melihat bukti kuat atas kenabian mereka. Menurutku semua ini hanya untuk menutupi kelemahan pemerintahan sahaja dan mengaku sebagai raja. Oleh itu semua tanggungjawab harus dipikul oleh engkau, wahai Sulaiman. Seharusnya engkau meminta kami untuk membantu menguruskan negara bukan meminta kami untuk menghadapi perang khayalan".

Ezra berkata: "Wahai Sulaiman, bukankah engkau seperti Daud yang mengambil alih pembimbingan Bani Israil dari kami dan mengedepankan kitab Zabur sehingga menyingkirkan kitab-kitab kami? Bahkan engkau juga menyimpan Tabut Perjanjian untuk diri engkau sendiri padahal kami pemuka agama adalah pewaris syariat Musa".

Yarab dan Ezra pun mengarahkan seluruh ketua suku dan pemuka agama beredar dari dalam dewan kembali ke tempat masing-masing. Ketika mereka menuruni anak tangga, tiba-tiba Panglima Nabi Sulaiman yang bernama Shy, putera Moareb pun berkata: "Wahai tuan-tuan. Kemana kami semua hendak pergi. Mari kita cari penyelesaian tentang perkara ini". Yarab pun berkata: "Wahai Shy, apakah engkau telah melupakan suku Efraim sehingga engkau menyokong Nabi Sulaiman ? Katakan kepada kepala suku yang lain sampai bila mereka hendak beraksi melawan suku mereka sendiri?".

Pada masa yang sama, ramai pemuka agama dan kepala suku yang menyokong Nabi Sulaiman. Untuk mengatasi perkara yang rumit ini, Nabi Sulaiman pun membahagikan beberapa orang pengikutnya untuk mengawasi setiap negeri. Nabi Sulaiman telah menetapkan agar Panglima Absalom tetap tinggal di Jerusalem untuk berjaga-jaga, Panglima Yuab ditugaskan pergi bersama puteranya dan para pasukan menuju ke Zebulun kerana suku Zebulun berada di pihak Nabi Daud saat perang dahulu, Yashbaom ditugaskan untuk menjaga selatan sementara Adonia ditugaskan pergi menuju Ariha (Jericho) sebelah timur kerana berkemungkinan besar kekacauan akan bermula di sana.

Sementara itu, Nabi Sulaiman pun menyampaikan dakwahnya kepada penduduk Jerusalem, katanya: "Wahai penduduk kota, jalan menuju dunia kita sudah terbuka bagi para Syaitan dan Jin. Sebelum ini mereka mampu menggoda manusia dengan bisikan tapi kali ini mereka boleh mempengaruhi kita secara langsung. Semua yang jahat akan menyerbu kita dan mereka lebih kuat dari yang pernah dihadapi manusia sebelum ini. Oleh itu, aku meminta agar kamu semua bertaqwa serta mematuhi utusan Tuhan agar kamu semua terlindung dari bahaya dan ancaman Syaitan".

Pada masa yang sama Yarab menghasut penduduk Jerusalem dengan berkata: "Tidak ada Jin atau Syaitan kerana mereka hanya ada dalam khayalan kamu semua. Mereka sendiri tidak memiliki tubuh. Dengan berbuat dosa, kamu semualah yang menciptakan mereka dalam hati. Kamu semua tahukah apakah Syaitan itu? Sesungguhnya, Syaitan itu adalah perbuatan buruk yang kamu lakukan. Ingatlah sesungguhnya kamu semua adalah bangsa pilihan dan tidak akan menyimpang. Taatlah kepada kami, pemegang Taurat bukan taat kepada orang lain".

15 hari telah berlalu namun Jin dan Syaitan tidak muncul di tempat yang ditetapkan oleh Nabi Sulaiman. Tiba- tiba berlaku pergaduhan di Ariha (Jericho) dan dalam pergaduhan itu, orang kaya Yuel berkata: "Semenjak kota ini dipegang oleh Bani Israil, kota ini sentiasa damai. Tapi Adonia telah membuat mereka merasa takut sehingga saling bertengkar tanpa alasan". Adonia pun berkata: "Itu bukan alasan tetapi musuh telah mendekat dan Syaitan telah mempengaruhi kita. Wahai saudaraku, sedarlah kita berada di ambang bahaya. Janganlah kamu berdusta atau menipu serta berikan hak anak yatim dan orang miskin serta jangan mengambil riba".

Orang kaya Yuel berkata: "Hingga kelmarin, kehidupan suku Efraim di kota ini di atur berdasarkan hukum Tuhan. Syariat yang berlaku adalah syariat Musa, bukan kata-kata mereka. Sesiapa yang tidak suka hidup di sini, dia boleh tinggalkan kota ini!".

Pada malamnya, satu mesyuarat telah diadakan oleh ketua suku dan pemuka agama. Dalam mesyuarat itu, Ezra berkata: "Hal yang disampaikan oleh Sulaiman tidak boleh dibiarkan kerana kekacauan ini akan memicu revolusi masyarakat. Kita akan kehilangan kendali atas semua suku. Tiba-tiba, Ara si tukang sihir datang mengadap Yarab. Salah seorang di antara mereka berkata: " Siapa yang mengundang sihir ini?". Yarab pun berkata bahawa dia yang mengundangnya
Dalam mesyuarat itu mereka berpakat untuk membunuh Nabi Sulaiman

Sementara itu, di Ariha terjadi kerasukan sehingga keadaan tidak terkawal. Nabi Sulaiman pun berangkat ke Ariha (Jericho) dan setibanya beliau di sana, beliau melihat ramai orang yang telah dirasuk diikat oleh Adonia agar tidak mencederakan orang lain. Setelah semuanya kembali sedar , Nabi Sulaiman dan para pengikutnya menuju ke Zebulun. Pada masa yang sama, Yarab menemui Ara si tukang sihir dan meminta Ara supaya membunuh isteri Nabi Sulaiman yang bernama Miriam yang ketika itu sedang sarat mengandung.

Ara si tukang sihir pun menyihir Miriam sehingga meninggal dunia. Nabi Sulaiman yang terdetik tentang isterinya telah kembali ke Jerusalem. Ternyata isteri yang dicintai oleh beliau telah meninggal dunia. Setelah isterinya dimakamkan, Nabi Sulaiman pun tinggal di Jerusalem untuk beberapa hari.

Tiba-tiba seorang utusan datang menghadap Nabi Sulaiman dengan membawa khabar bahawa penduduk Kota Bait Abia, Bait Hares dan Talle Rafidim berjaya mengatasi kejahatan para Syaitan. Adapun Yashbaom dan Hezqil sedang menjalani pertempuran yang sangat dahsyat. Sementara itu, setelah mengendalikan keadaan di Hebron, Adonia berangkat menuiu ke Eyn Phares. Kemudian, Nabi Sulaiman berkata kepada pengikutnya: 'Kita harus pergi ke Zebulun secepat mungkin". Kemudian, Nabi Sulaiman pun mengamanahkan kepada Absalom dan Asif bin Barkhiya untuk menjaga Kota Jerusalem dan ibunya.

Ketika sampai di Zebulun, Nabi Sulaiman sempat menyelamatkan para penduduk dari dibakar oleh orang-orang yang dirasuk oleh Jin dan Syaitan. Sementara itu di Jerusalem, Yarab dan pemuka agama dan ketua suku yang lainnya telah merancang untuk.menguasai Jerusalem setelah mengetahui Nabi Sulaiman tidak ada di istana. Maka mereka pun menuju ke Jerusalem dan terus memberontak. Yarab yang menjadi ketua pemberontakan pun berkata: "Kekacauan ini terjadi akibat ketidakadilan Sulaiman. Kekuasaan ini harus dikembalikan kepada yang berhak. Aku adalah pemimpin Bani Israil dan kunci keselamatan ada padaku!".

Tiba-tiba Asif bin Barkhiya pun muncul dan berkata: "Wahai penduduk Jerusalem, kamu semua mengibarkan bendera untuk berperang? Di kota Nabi Daud ini? Tempat di mana penduduk mendengarnya mengalunkan ayat-ayat Zabur dengan suara merdunya?". Yarab pun berkata: "Tuan Asif, kenapa engkau memihak kepada keluarga perampas ini?". Asif pun berkata: "Jika engkau menerimaku sebagai seorang yang paling berilmu, ketahuilah bahawa ilmu ini adalah amanat agar kita boleh mengenal utusan Tuhan dan mematuhinya. Jika tidak, itu bukan ilmu tapi kesesatan. Oleh itu wahai penduduk Jerusalem, janganlah kamu perangi utusan Tuhan kerana ia merupakan suatu dosa yang tidak terampun. Jangan sampai kisah umat Musa berulang kembali".

Setelah mendengar kata-kata Asif, Ishaq anak Yarab pun mengakui kenabian Nabi Sulaiman dan diikuti oleh penduduk Jerusalem sehingga membuatkan Yarab bertambah marah. Tapi Iblis yang telah menyamar sebagai seorang lelaki separuh umur telah menghasut Yarab agar menggunakan Taurat sebagai senjata.

Kemudian Yarab pun berkata: "Wahai para perwira dan perajurit yang tertipu. Dengarkan aku bahawa aku adalah tokoh suku Lawi dan penjaga syariat Musa. Aku menyeru kamu semua kepada kitab Tuhan. Ini adalah kitab Taurat yang berisikan perintah-Nya yang diturunkan kepada Musa. Masihkah kamu semua ingin memerangi agama Tuhan?". Para pengawal pun berkata bahawa mereka tidak akan memerangi Taurat. Melihat para perwira dan perajurit leka, Yarab mengarahkan agar melancarkan serangan sehingga semua perajurit dan perwira mati dan cedera.

Sementara itu, Nabi Sulaiman yang berada di Zebulun telah berkata kepada pengikutnya: "Kali ini kita berhadapan dengan Syaitan dalam rupa manusia. Kita harus segera kembali ke Jerusalem". Adonia pun berkata: "Wahai Sulaiman, sesungguhnya pasukan kita keletihan dan kuda-kuda yang ada juga memerlukan istirehat". Mendengar ucapan Adonia itu, Nabi Sulaiman pun berdoa kepada Allah: "Wahai Tuhanku. Selamatkanlah umatku dari kejahatan musuh-musuh aku yang telah menyerang dari segala arah. Sesungguhnya, jarak kami terlalu jauh sementara tenaga kami amat terbatas".

Allah Taala pun berfirman: "Wahai Sulaiman, hamba Kami yang Soleh. Kami telah tundukkan angin bagimu. Gunakan ia untuk membawamu ke mana pun yang engkau inginkan". Setelah mendapat petunjuk dari Allah, Nabi Sulaiman pun memerintahkan pengikutnya dan penduduk Zebulun supaya menarik kapal yang berada ke darat untuk disatukan.

Setelah 3 buah kapal besar digabungkan, Nabi Sulaiman memerintahkan para pengikut dan perajuritnya supaya menaiki kapal. Kemudian beliau memerintahkan angin supaya membawanya pulang ke Jerusalem. Dengan tidak semena-mena, angin puting beliung pun datang lalu mengangkat kapal yang dinaiki oleh Nabi Sulaiman lalu membawanya ke Jerusalem.

Ketika ini, keadaan penduduk Jerusalem yang beriman amat genting kerana Yarab dan para penyokongnya dapat menguasai sebahagian tembok. Dalam keadaan yang terdesak, tiba-tiba angin kencang pun muncul di kalangan mereka sehingga membuatkan penyokong Yarab mundur. Mereka pun terkejut melihat satu kapal besar telah muncul di atas istana Nabi Sulaiman. Lagi terkejut apabila melihat Nabi Sulaiman dan para perajurit keluar dari dalam kapal untuk.mepnvatkan serangan.

Walaupun mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Sulaiman berlaku di depan mata Yarab, namun hatinya tetap ingin memberontak dan mengajak para penyokongnya untuk meneruskan pertempuran. Dalam pertempuran yang hebat itu, tiba-tiba muncul cahaya di langit yang penuh bergemerlapan. Cahaya itu menghampiri Nabi Sulaiman dan terus menyatu dan menjadi sebentuk cincin lalu Nabi Sulaiman pun memakainya. Kemudian Allah Taala pun berfirman: "Wahai Sulaiman. Bersiap lah engkau untuk menjelmakan rupa sebenar Jin dan Syaitan secara fizikal. Kami telah membuat mereka tunduk kepada engkau. Sesungguhnya, kekuatan ini selalu tersimpan di dalam cincin ini".

Tiba-tiba, para pemberontak ketakutan kerana mereka mendengar berbagai bunyi suara di sekeliling mereka dan mereka juga terkejut apabila melihat Jin yang menduduki tubuh mereka mulai keluar dalam bentuk nyata. Baru mereka sedar bagaimana cara Jin dan Syaitan menguasai mereka. Ada yang lehernya diikat oleh para Jin, ada yang dibungkus dan ada yang ditunggang.

Kemudian, Nabi Sulaiman pun berkata: "Wahai penduduk Jerusalem, lihatlah oleh kami semua. Sesungguhnya Syaitan dan Jin adalah sumber kejahatan dan keburukan manusia. Merekalah yang telah memisahkan kita. Belum tibalah saat untuk kamu semua sedar dan bertaubat?". Para pemberontak pun berkata: "Terkutuk lah kami semua". Mereka pun terus berlari menyatu dengan orang-orang yang beriman kecuali Yarab yang tetap berkeras untuk.mwngakui kenabian Sulaiman. Nabi Sulaiman pun berkata kepada penduduk Jerusalem: "Ketahuilah bahawa mulai dari hari ini, di kerajaanku, Jin dan Syaitan akan dilumpuhkan atas perintahku. Maka jangan kamu semua takut terhadap makhluk-makhluk hina ini. Maju dan belenggulah mereka".

Sejak peristiwa itu, kaum Bani Israil hidup dalam keadaan aman dan damai kerana tiada lagi gangguan yang berpunca dari kalangan Jin dan Syaitan.

#MAMR (Mohamad Azmi Mat Rashid)
 
Back
Top
Log in Register