dhiaperfumes
CG Top Poster Club

- Messages
- 41,571
- Joined
- Nov 12, 2009
- Messages
- 41,571
- Reaction score
- 63
- Points
- 120
KEPADA komposer British, Nigel Osborne muzik bukan hanya suatu seni tetapi mempunyai kuasa ajaib yang boleh menyembuhkan trauma dialami kanak-kanak yang menyaksikan sendiri ketidakadilan di dalam kehidupan mereka.
Untuk membantu kanak-kanak kecil yang tidak berdosa, Osborne menggunakan muzik dan tanpa disedarinya beliau melakukannya dengan baik sehingga sesetengah media merujuk beliau sebagai 'ahli terapi muzik'.
"Saya selalu percaya muzik mempunyai kuasa untuk mengeluarkan trauma daripada kanak-kanak dan menyembuhkan tekanan perasaan apabila lazimnya tiada ubat atau pembedahan mampu berbuat demikian," katanya.
Osborne yang dilahirkan di Manchester, Lancashire, England pada 23 Jun 1948 diterbangkan dari New York ke Malaysia untuk menyertai sesi 'Penghormatan Khas: Mencari Harapan dalam Tragedi' semasa Forum Megatrends Khazanah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Forum dua hari itu dianjurkan oleh Khazanah Nasional dan telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Osborne mengimbas kembali 'kerja ajaibnya' bermula pada 1990-an, semasa beliau ke Bosnia Herzegovina dan memikirkan beliau perlu membantu kehidupan kanak-kanak di sana supaya mereka dapat melupakan imej-imej yang mengerikan semasa peperangan.
"Dari sana, saya meluaskannya ke zon konflik lain dan sekarang saya bekerja di Timur Tengah, Palestin, Afrika Timur dan kawasan tertentu di Asia Tenggara," katanya.
Osborne berkata beliau tidak menjangka maklum balas positif pada mulanya, tetapi apa yang mengejutkannya ialah kanak-kanak terlibat memberikan maklum balas yang 'sangat positif'.
"Ia amat melegakan saya! Benar muzik adalah bahasa sejagat. Itulah cara saya berhubung dengan mereka," katanya, menambah beliau masih berhubung dengan kanak-kanak itu di Bosnia, malah setelah perang tamat.
Gaya Osborne bercakap mengenainya kedengaran seperti suatu kerja mudah untuk menyusup ke dalam zon konflik, tetapi beliau berkata kerja keraslah yang 'membuatkan mereka untuk membuka minda kepada muziknya' terutamanya ketika bertugas di negara Islam.
"Hormat adalah perkara utama dalam kerja saya. Bila saya di negara Islam, saya selalu bercakap dengan pemimpin mereka, imam mereka untuk meminta kebenaran. Saya juga terpaksa menerangkannya di masjid," katanya.
Osborne percaya sikap merendah dirinya telah memenangi hati mereka dan beliau turut menjemput pemuzik tempatan menyertai usahanya di negara beliau pergi.
Kelebihan menyebarkan muzik ke seluruh dunia? Osborne kini boleh memahami banyak bahasa termasuk, Arab.
"Bahasa Arab saya mungkin tidak sebaik orang lain, tetapi saya boleh berkomunikasi dengan kanak-kanak di sana. Itu sahaja yang saya perlukan," kata beliau.
http://www.cari.gold/2014/10/muzik-boleh-jadi-terapi-trauma.html