SEREMBAN – Seorang murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kampung Baru Gemas dilaporkan meninggal dunia selepas menerima hukuman rotan di tangan yang dilakukan oleh seorang guru wanita sekolah tersebut.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh berkata, Chan Qi Xin, 9, mengadu pening selepas dirotan semasa sesi persekolahan tengah hari kelmarin.
“Melihat keadaan murid itu yang semakin serius, pihak sekolah telah menghubungi keluarganya sebelum menghantarnya ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan.
“Ibu bapa murid tersebut kemudian menghantar anak mereka ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru setelah diminta berbuat demikian, tetapi kemudiannya dibawa pulang ke rumah pada hari yang sama.
“Pihak HSA telah memaklumkan kepada kedua-dua ibu bapa murid tersebut bahawa harapan untuk anak mereka pulih adalah tipis,” katanya kepada pemberita semalam.
Kanak-kanak itu akhirnya menghembuskan nafas terakhir di rumah ibu bapanya di Kampung Baru, Gemas pukul 3.30 pagi semalam.