eboss
CG Hardcore

- Messages
- 85,650
Paid Membership
- Joined
- Nov 29, 2007
- Messages
- 85,650
- Reaction score
- 1,896
- Points
- 591
“...Ada pun di-jadikan Allah Raja-Raja itu sebab hendak memeliharakan segala manusia, dan menyuroh-kan ia berbuat baik, dan melarang-kan ia berbuat jahat; maka jikalau Raja-Raja atau anak-anak Raja itu juga membuat jahat dan membinasakan manusia, apa-lah kelak kesudahan-nya? Bukan-kah kebinasaan dan chelaka itu datang ke'atas Raja itu dan ke’atas negeri-nya dan rakyat-nya?” -- Munshi Abdullah.
Jika dihimbau, kosmologi feudalisme Melayu - yang sabar dan setia tanpa sempadan - memang kental dalam jiwa masyarakat Melayu. Bukan zaman pra-Islam semata, hatta kosmologi feudalisme ini turut mekar pada zaman pasca-Islam. Kunjungan Islam, rupa-rupanya belum cukup ampuh. Semangat feudalisme tidak runtuh, tapi terus terpasak.
Jiwa Melayu sudah lama terheret dengan feudalisme. Melayu pra-Islam adalah Melayu yang bergelumang bersama feudalisme. Kosmologi ini terukir kemas pada beberapa prasasti Melayu kuno - yang mengambarkan betapa tebalnya feudalisme dalam masyarakatnya. Ini termasuklah beberapa prasasti Srivijaya yang ditemui di Kota Kapur (Bangka) dan Telaga Batu (Sumatera Selatan).
Kalau belakangan sewaktu abad ke-4 pula, muncul prasasti Melayu Champa yang jelas menegaskan akibatnya menderhaka. Amaran feudalisme pada penentangnya sangat keras sekali; yang derhaka pada istana, kelak akan terhukum ke neraka seribu tahun (sarivu tjuh kulo ko), dan yang setia dan sabar tanpa sempadan, akan dianugerahkan hadiah dari syurga (labuh nasi svarggah). Bentuk kosmologi dewaraja sebeginilah yang terus mewarnai kosmologi sebahagian minda Melayu sampai dewasa ini. Meskipun kosmologi teratai beransur menipiskan perbezaan kelas, tapi dampaknya tidak memadai. Bimbang dengan situasi ini, Munshi Abdullah (Abdullah Abdul Kadir Munshi) telah mengarang beberapa karya sebagai manifestasi protes terhadap feudalisme.
Munshi Abdullah, tidak syak lagi, seorang pengarang Melayu yang besar. Dialah yang memulakan zaman moden dalam masyarakat Melayu. Bukan saja karya-karyanya memperkatakan kehidupan rakyat biasa secara realistik, berbeza dari karya-karya sebelum beliau, seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah yang temanya ialah kehidupan kaum bangsawan dan ditulis dalam gaya berbaur unsur-unsur magis penuh keajaiban. Beliau memulakan kesusasteraan Melayu moden, seangkatan dengan pengarang-pengarang ASAS ‘50, walaupun beliau seratus tahun lebih dulu daripada mereka.
Beliau sendiri seorang rasionalis dan humanis, pada asasnya, dan, dari segi ini, beliau bergembira dan secocok dengan aliran rasionalis dan humanis yang beliau lihat terdapat pada tokoh-tokoh Eropah yang datang ke Melaka dan Singapura pada zamannya. Beliau mengagumi sains adan ilmu moden serta mempeloporinya kepada masyarakatnya; beliau mengkritik kepercayaan-kepercayaan tahyul dan khurafat yang terdapat dalam masyarakat Melayu; beliau mempelopori pelajaran bahasa Melayu sebagai kaedah untuk membangun dan memajukan masyarakat Melayu; dan beliau mengkritik sistem kerajaan feudal Melayu yang zalim yang beliau lihat di negeri-negeri Melayu yang beliau lawati. Ada daya kritik sosial yang kritis terhadap masyarakat Melayu di Melaka, Singapura dan di Kelantan dan yang terutamanya kepada kalangan Istana Sultan Husin di Singapura.
Tetapi, jika ini saja, ia akan menjadikan Abdullah tokoh modenis Melayu celup. Jika kita perhatikan dengan teliti, Abdullah mempunyai jatidirinya sendiri yan kukuh. Beliau seorang anak Melayu, walaupun berketurunan ****** dan Arab, yang bangga dengan ke-Melayuannya. Pengetahuan agama Islam yang beliau anuti juga tingi. Namun demikian, beliau tidak berfikiran sempit, seperti kebanyakan oran Melayu pada zaman itu. Ini terbukti dengan sikap beliau mahu membaca kitab Taurat yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, sedangkan bapa beliau sendiri bersikap menolak.
Nyatalah, Abdullah seorang rasionalis, seperti kaum Muktazilah pada zaman Islam awal. Sifat revolusioner Abdullah ketara sekali dalam pandangan hidupnya. Pelayaran beliau ke negeri-negeri Melayu Pahang, Terengganu dan Kelantan mencelikkan mata beliau kepada kezaliman pemerintahan feudal Melayu. Rakyat dipaksa bekerja untuk raja tanpa gaji atau upah pada bila-bila masa. Anak dara dan isteri mereka yang dikehendaki oleh mereka kerap dirampas oleh mereka. Demikian juga dengan harta-benda mereka. Dengan demikian, tidak ada ransangan di kalangan rakyat untuk bekerja dan mereka hidup dalam kemiskinan.
Jadi, pemikiran dan sifat revolusioner Munshi Abdullah bukanlah semata-mata kerana pengaruh fikiran humanis tokoh-tokoh Eropah ini ke atas beliau. Pengaruh ini tidak kita nafikan, tetapi dalam diri Abdullah sendiri terdapat bibit-bibit fikiran rasionalis dan humanis, yang boleh kita katakan berasal dari agama Islam yang beliau anuti.
Beliau dianggap sebagai pembaharu dalam perkembangan sastera Melayu. Para sarjana kolonial pun meminati karya-karya sasterawan yang hidup dalam abad ke-19 itu, kerana sikapnya yang sangat pro-Eropah.
Kendati, Abdullah tidak boleh dikatakan pendukung penjajahan Inggeris atau Eropah. Walaupun ia mengagumi dan mengalu-alukan fikiran humanis Eropah, ia mengecam pegawai-pegawai Eropah yang zalim. In ternyata dalam sikap beliau terhadap pegawai kolonial Belanda yang bernama Van Goor.
Tulis Abdullah tentang beliau, “Ia itulah lintah yang meminum darah hamba Allah. Maka adalah ia menaruh empat orang mata-mata. Maka sekalian mata-mata itu seperti pacat melompat. Barang di mana bertemu manusia atau binatang, dihisapnya darahnya, kerana ia segera hendak menjadi ular sawa. Maka mereka itulah tukang mengintai segenap rumah. Maka apabila didapatinya sedikit kudis sahaja, maka dibesarkannyalah, katanya: ‘Engkau kelak nanati menjadi tokak’, dengan beberapa gertak. Maka oleh sebab orang itu ketakutan, diberinyalah upah akan dia. Maka diamlah ia, pergi ia memberitahu kawannya. Maka ia pun datanglah pula menggertak orang itu, kepadanya pula diupah sedikit. Demikianlah halnya segala hamba Allah kena aniaya pada zaman itu di Melaka…”
Bukan seorang pegawai penjajah ini saja yang beliau kritik. Dalam Pengenalan oleh Kassim Ahmad kepada Hikayat Abdullah, beliau menyebut sekurang-kurangnya lima kes kritikan beliau terhadap tokoh-tokoh Eropah ini.
Kritikan terbuka kepada sistem feudal dan sikap sesetengah orang Melayu yang negatif merupakan suatu yang tidak ada dalam karya sastera sebelum Abdullah Munsyi. Abdullah Munsyi bukan sahaja mengkritik raja dan orang Melayu yang malas dan tidak pandai menaruh tempat untuk belajar bahasa ibundanya, malahan mengkritik sikap pegawai Inggeris yang pemabuk dan tidak memahami hati budi orang Melayu.
Malahan, karya Abdullah juga mempunyai data sejarah pada zamannya yang sekaligus dapat dianggap sebagai antara karya sastera sejarah. Secara langsung, Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita (Dr) Haji Ismail Hussein, meletakkan Abdullah Munsyi sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden kerana isi pemikiran karyanya itu dan teknik kepengarangannya yang jauh lari daripada teks sastera hikayat era sebelumnya. Bagaimanapun penilian per se ke atas kritikan yang dilontarkan Abdullah Munsyi lewat karya autobiografinya haruslah diteliti dalam makalah khusus.
Abdullah Munsyi berada dalam dua situasi iaitu menjelang keruntuhan kuasa politik kaum bangsawan Melayu dan bermulanya kegemilangan pengaruh asing. Senario itu telah memungkinkan Abdullah membawa pembaharuan dalam karya-karyanya yang tidak terikat lagi pada tradisi istana. Ini jelas dalam kebanyakkan karyanya tidak lagi memberi penekanan pada golongan feudal seperti dalam Hikayat Abdullah.
Abdullah Munsyi menunjukkan sikap benci dan menganggap budaya raja-raja Melayu sebagai kolot. Beliau menganggap raja-raja Melayu zalim kerana kehendak mereka tidak boleh dihalang atau dilarang jika tidak buruk padahnya. Sikap dan pemikirannya yang bencikan golongan jelas melalui gambaran betapa hodoh dan *****nya raja-raja Melayu dalam karyanya seperti Hikayat Abdullah Munsyi seperti gambaran tentang Sultan Hussin yang dikatakan gemuk dan kuat makan.