SURAT PRESIDEN PAS SAHKAN ADA PERSETUJUAN PERUBAHAN STRUKTUR PN – TUN FAISAL
Editor
28/01/2026
KUALA LUMPUR,- Surat jawapan balas Presiden PAS kepada Presiden Bersatu menjadi bukti jelas bahawa wujud persetujuan awal untuk melakukan perubahan struktur Perikatan Nasional (PN), termasuk penstrukturan semula badan utama gabungan itu dan pindaan terhadap perlembagaannya, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail.
Dalam kenyataan panjang hari ini, Tun Faisal berkata walaupun PAS menafikan beberapa perkara termasuk isu pemansuhan Majlis Tertinggi PN, kandungan surat Presiden PAS sendiri sebenarnya memperakui bahawa sejumlah keputusan penting mengenai hala tuju PN telah dibincangkan dan disepakati sejak pertemuan dua presiden pada 16 Januari lalu.
Menurut Tun Faisal, pertemuan tersebut bukan pertemuan biasa kerana ia turut disaksikan pimpinan tertinggi kedua-dua parti, termasuk Timbalan Presiden PAS, Setiausaha Agung PAS serta Setiausaha Agung Bersatu.
“Ini bermakna ada catatan oleh kedua-dua pihak dan saksi hidup daripada kedua-dua pihak,” katanya.
Tun Faisal berkata, surat Presiden PAS itu juga mengakui beberapa persamaan besar dengan Bersatu, termasuk komitmen mengekalkan perpaduan dalam PN, persetujuan bahawa struktur gabungan perlu ditambah baik, penerimaan kewujudan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif, serta keperluan pindaan Perlembagaan PN melalui jawatankuasa teknikal bersama.
Namun, beliau menegaskan pertikaian sebenar kini tertumpu kepada satu persoalan besar yang menjadi rebutan kuasa dalam PN, iaitu kedudukan jawatan Pengerusi gabungan selepas pembentukan struktur baharu.
Bersatu, katanya, menyatakan secara jelas bahawa jawatan Pengerusi PN telah dimansuhkan berikutan pembentukan Majlis Eksekutif, sekali gus menamatkan keperluan kepada Majlis Tertinggi PN.
PAS pula, menurut Tun Faisal, mengambil pendirian berbeza apabila menegaskan Majlis Tertinggi PN “harus” dan “hendaklah” menjadi Majlis Eksekutif, dengan ketuanya difahami masih bergelar Pengerusi PN.
Perbezaan itu bukan sekadar teknikal, malah memberi gambaran jelas bahawa PN kini berdepan pertikaian asas mengenai struktur kuasa dan hierarki kepimpinan gabungan.
Tun Faisal turut mendedahkan perbezaan ketara dalam tafsiran peranan Majlis Presiden apabila Bersatu melihatnya sebagai badan tertinggi pembuat dan pemutus dasar, manakala PAS pula menganggapnya sekadar badan penasihat dan pengawal selia.
Dalam perkembangan yang lebih membimbangkan, Tun Faisal membangkitkan persoalan sama ada benar wujud perbincangan dan persetujuan pada 16 Januari untuk memanggil Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN pada 29 Januari ini, termasuk dakwaan bahawa Pengerusi PN dan Parti India Malaysia (MIPP) tidak dijemput.
Beliau turut mendedahkan bahawa cadangan asal penubuhan Majlis Eksekutif sebelum ini pernah ditolak oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sendiri, atas alasan kuasa eksekutif sepatutnya kekal pada presiden-presiden parti komponen.
Tun Faisal berkata, pre-council yang dijadual berlangsung esok menjadi medan penting bagi menentukan sama ada PAS dan Bersatu benar-benar dapat menyenaraikan semua perkara yang telah dipersetujui, atau PN bakal terus dihantui percanggahan dalaman yang semakin terbuka.
“Semoga dalam pre-council esok kedua-dua pihak dapat menyenaraikan semua perkara yang telah dibincangkan dan disepakati supaya tidak timbul percanggahan kenyataan,” katanya.