BTC USD 62,775.4 Gold USD 4,336.70
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Motivasi Jutawan

alsar

Active+ Member
Messages
2,707
Joined
Aug 18, 2009
Messages
2,707
Reaction score
228
Points
38
http://www.youtube.com/watch?v=ToS80o6m6xk&feature=player_embedded

Assalamualaikum...

Tujuan saya buka thread ni adalah untuk memotivasikan diri kita bersama dalam merangka strategik memartabatkan agama dan bangsa kita. Kalau orang lain boleh berjaya mengapa kita tidak?

Bagi sesiapa yang mempunyai cerita/motivasi menarik untuk dikongsi, boleh lah share kat sini.:)


sani.jpg


Rakan karib inspirasi Sani
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN
[email protected]

PADA usia 33 tahun, anak muda ini bagaikan memiliki segala-galanya. Perniagaan yang memberi pulangan jutaan ringgit, bangunan sendiri sebagai pusat operasi perniagaan dengan kos pembelian serta pengubahsuaian mencecah RM7 juta, memandu kereta Ferrari F360 Modena bernilai RM1 juta dan mendiami banglo mewah bernilai RM 9 juta.

Memang selayaknya anak muda itu digelar jutawan, tetapi dalam pertemuan baru-baru ini, beliau lebih gemar merendah diri dan mengatakan apa dimilikinya hari ini adalah rezeki diberi Allah SWT.

“Saya berusaha keras untuk capai kejayaan seperti hari ini. Namun, ketentuannya adalah daripada Allah SWT,” kata anak muda itu.

Anak muda yang dimaksudkan adalah Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (SUSB), Datuk Wan Mohammad Sani Salleh, 33. Sejak tiga tahun lalu di sana-sini namanya sering menjadi sebutan.

Namanya harum kerana bas berwarna merah yang terukir namanya sendiri. Siapa tidak pernah mendengar nama Sani Express.

Destinasi ke ‘Pantai Timur’ sudah ditawan dan kini semakin ligat meneroka destinasi ke Alor Setar di utara.

Lebih mengagumkan, bermula bulan ini 25 bas dimiliki, semuanya bas dua tingkat yang tampak elegen dan semestinya menjanjikan keselesaan.

Bagi Wan Mohd Sani atau lebih mesra dengan panggilan Sani, apa dikecapinya hari ini di luar jangkaan, malah tidak pernah diimpikannya. Beliau memulakan perniagaan atas dasar minat dan mahu merubah kehidupannya ke tahap lebih baik.

“Biasalah... dulu saya seperti ‘main-main’. Masuk industri hiburan, jadi model, penyanyi dan pelakon sehingga lama kelamaan saya sedar sampai bila saya harus begitu.

“Ketika itu hidup sekadar untuk cari makan dan hiburkan diri sendiri. Bukan saya kata bidang hiburan tak menjanjikan kejayaan, tetapi biasanya sukar untuk cemerlang dalam bidang itu,” katanya ketika ditemui di Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral, Klang bersama rakan karibnya, Pengarah Urusan Federal Malay Holding Sdn Bhd, Datuk Sharifuddin Musa.

Selama beberapa tahun menceburi bidang hiburan, Sani mengakui tidak nampak masa depannya dalam bidang itu.

Rakannya sejak zaman kanak-kanak, Datuk Sharifuddin dijadikan sebagai inspirasi selepas melihat rakannya berjaya dalam perniagaan.

“Melihat rakan yang berjaya, terutama Datuk Din (Datuk Sharifuddin), saya berasa ketinggalan. Dulu dia pernah bersama-sama saya menjadi model, tetapi dia meninggalkan bidang itu terlebih dulu untuk berniaga sehingga berjaya.

“Pada masa sama saya sedar, umur semakin meningkat dan yang boleh merubah keadaan saya ketika itu hanya diri saya sendiri,” katanya yang pernah menganggotai kumpulan Impression bersama Norman Hakim dan Eizlan Yusof.

Beliau meletakkan tekad untuk merubah tahap kehidupannya dengan berniaga sendiri.

Katanya, beliau bermula dengan membuka bengkel membaiki kenderaan di beberapa tempat seperti Kuala Lumpur dan Terengganu dan seterusnya mencuba perniagaan dalam bidang pengangkutan iaitu bas yang sememangnya menjadi minatnya.

“Ketika zaman sekolah, saya bersekolah di Kuala Terengganu dan keluarga pula di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Apabila berpeluang pulang ke Kuala Lumpur saya memilih bas sebagai pengangkutan.

“Boleh dikatakan rutin saya ketika bercuti hanya menaiki bas dan tidur di atas bas. Jika ada cuti sehari sekalipun, malam saya naik bas ke Kuala Lumpur dan pada malam keesokan harinya saya pulang ke Kuala Terengganu,” katanya.

Ketika memulakan perniagaan dalam bidang pengangkutan, pelbagai cabaran getir terpaksa ditempuh dan beliau perlu bekerja keras sehingga terpaksa tidur di pejabat.

Pada 2003 Sani menubuhkan SUSB khusus untuk perniagaan pengangkutan itu.

“Ketika itu saya bersama dua lagi rakan kongsi. Namun tidak lama kemudian dua rakan itu menarik diri, menyebabkan saya terkontang-kanting seorang diri. Keadaan ketika itu memang getir,” katanya.

Beliau terpaksa berhati-hati kerana sebarang keputusan dibuat adalah tanpa dirujuk kepada sesiapa.

“Ketika ada dua rakan kongsi itu, saya boleh merujuk kepada mereka, tetapi apabila seorang diri, saya perlu membuat keputusan sendiri.

“Jika tersilap membuat keputusan, memang saya akan jatuh. Justeru sebelum membuat keputusan, saya fikir 10 kali,” katanya.

Sani berkata, ketika itu beliau hanya ada seorang pekerja dan dengan menggunakan sepenuhnya kudrat dan buah fikirannya, segala perancangan untuk memulakan operasi bas ekspres yang diimpikannya hanya menampakkan hasil selepas tiga tahun bertungkus lumus dan modal daripada institusi kewangan.

Katanya, beliau menanggung risiko besar kerana pinjaman yang dibuat, tetapi beliau berani dan yakin dengan apa yang dibuat.

“Bayangkan jika apa yang saya buat tidak menjadi. Bagaimana saya dapat melunaskan pinjaman dalam jumlah besar itu?

“Apapun pada Januari 2006 Sani Express ada di jalan raya dan alhamdulillah perjalanan perniagaan ini lancar, mendapat sambutan dan sejak itu perniagaan saya semakin pesat berkembang,” katanya.

Sani membuktikan ‘jalan’ dipilihnya berbaloi kerana hanya dalam tempoh tiga tahun Sani Express menunjukkan prestasi luar biasa.

Daripada seorang pekerja, Sani kini mempunyai 150 kakitangan sendiri. Daripada pejabat kecil di Ukay Perdana, Sani kini ada wisma sendiri yang dibeli dan diubahsuai dengan belanja mencecah RM 7 juta.

Wisma tiga tingkat dinamakan Wisma Dato’ Sani di Klang Sentral itu serba lengkap. Selain menjadi pusat operasi, wisma itu dilengkapi asrama, pusat latihan dan surau.

Paling menarik, segala operasi di kaunter tiket Sani Express di setiap negeri dipantau secara langsung menerusi kamera litar tertutup yang dipancarkan terus ke wisma berkenaan.

Menurut Sani, selain minat, antara faktor kejayaannya adalah sikapnya yang tidak malu bertanya dan belajar daripada sesiapa saja.

“Saya bukan sekolah tinggi sangat. Saya belajar daripada orang berpengalaman, malah dengan sesiapa saja. Dengan pemandu bas saya belajar, dengan mekanik saya belajar, malah dengan orang yang pernah gagal juga saya belajar kerana kegagalan itu akan saya jadikan iktibar.

“Daripada situ kita dapat ilmu, malah sampai sekarang saya masih belajar. Saya buat analisis dan kajian sendiri, baru kita boleh kendalikan perniagaan dengan baik,” katanya.

Statusnya sebagai orang bujang juga banyak memberi kelebihan kepadanya.

Beliau belum berkeluarga dan mampu memberi tumpuan 100 peratus kepada perniagaan.

“Setakat bekerja keras dari siang hingga tengah malam, ia ibarat alah bisa tegal biasa,” katanya yang menganggap pengalaman menjadikan bas ekspres sebagai pengangkutan utamanya dulu turut menjadi faktor kejayaannya.

“Dari dulu saya guna pengangkutan awam (bas ekspres), jadi saya tahu apa yang pelanggan nak dan saya gunakan pengalaman itu ketika menguruskan Sani Express.

“Selain itu saya mengambil berat setiap jawatan yang ada di syarikat ini, daripada kerani kaunter hinggalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Ini kerana jika satu saja jawatan tidak berfungsi dengan baik, operasi syarikat akan terganggu,” katanya yang mesra dengan kakitangannya.

Sani berkata, tanpa keberkatan dan doa juga, tidak mungkin beliau berjaya.

“Apa jua perkara yang kita lakukan, kita kena berpegang kepada agama. Buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang.

“Doa juga penting dan dalam hal ini ibu saya Sharifah Aini Syed Ibrahim Jamalulai sering mendoakan saya, begitu juga ayah saya. Kita juga perlu ingat kepada orang yang pernah membantu kita,” katanya.

Profil

  • NAMA: Datuk Wan Mohammad Sani Salleh
  • USIA: 33 tahun
  • LAHIR: 24 Julai 1976 di Kuala Ibai, Kuala Terengganu, Terengganu
  • ADIK BERADIK: Keempat daripada enam beradik
  • PENDIDIKAN: Diploma Pengurusan Perniagaan Kolej Sunway (1994)
  • JAWATAN: Pengarah Urusan Sani United Sdn Bhd (Sani Express Sdn Bhd, Sani Properties Sdn Bhd dan Sani Hotel Sdn Bhd).
  • PENCAPAIAN: Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah (Jun 2009) dan Anugerah Usahawan Cemerlang Dewan Perniagaan Melalyu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur (April, 2009)

P/S : Sifat cemburu kepada kejayaan rakannya telah menjadikan Dato Wan Mohd Sani berusaha gigih dan bersungguh-sungguh utk berjaya, rakan baik beliau juga yg sentiasa terbuka utk membantu dan membimbing beliau juga wajar kita contohi. Sesungguhnya sifat kikir utk berkongsi ilmu dan busuk hati tidak wajar ada pada setiap individu yg hendak berjaya. Diharap perkongsian cerita pada kali ini dapat memberi manafaat pada kita semua
 
Last edited:
RAJA KURMA Yusuf Taiyoob!

yusuf+taiyoob.jpg


myMetro » Ekspresi
Karisma: Yusuf Raja Kurma

Oleh BADRILA JAMLUS
[email protected]

“INI adalah pencapaian saya selepas 30 tahun bergelumang dalam perniagaan, apatah lagi saya bermula dari zero (kosong),” kata Datuk Yusuf Taiyoob secara ringkas sebaik saja beliau mempelawa wartawan dan jurugambar Metro Ahad memasuki ruang pejabat barunya di kawasan perindustrian Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, Pulau Pinang.

Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut.

Nama Yusuf Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem, Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.

Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’.

Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar di seluruh negara.


Prinsip utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.

“Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga.

“Itu menyedarkan saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Yusuf yang masih kelihatan muda dan bertenaga meskipun usia mencecah 50 tahun berkata, selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus, makanan kering dan rempah.

Beliau kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di negara ini.

Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan dengan jaminan produk berkualiti.

Yang penting, menurut Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan mereka untuk bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku meskipun sedar kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan mereka.

“Selain itu kita perlu bersyukur dengan rezeki diberikan Allah dan jangan cepat lupa diri,” katanya yang sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu disiarkan setiap kali menjelang Ramadan.

Dalam usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan segar, beliau membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi terkini dalam mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.

Teknologi yang diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas amonia dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara automatik jika berlaku kebocoran.

Ketika ini kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu memuatkan kira-kira 7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan kering untuk kira-kira 3,000 tan barangan.

Syarikat itu ketika ini mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah ratus dari kira-kira 30 negara, antaranya Amerika Syarikat, Iran, Dubai, Afrika Utara dan Arab Saudi.

Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun depan.

Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang diimport dari Iran tidak berapa elok, namun beliau tidak panik.

Ini menyebabkan Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya tidak menghadapi masalah sama pada masa akan datang.

“Keadaan berubah apabila saya mempunyai lebih pengalaman berbanding pada awal pembabitan. Dulu, disebabkan percayakan pengeluar dan pembekal dari sana (Iran), akhirnya saya terkena,” katanya.

Beliau berkata, syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

Pada masa ini syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga berpatutan.

Kurma mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma madu) dan thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

“Dalam menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik pembungkusan yang elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum membelinya, malah saya menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaan kami ialah kepuasan pelanggan.

“Saya juga memberi jaminan kepada pelanggan, kurma yang rosak boleh diganti dengan kurma yang lain,” katanya yang boleh dianggap sebagai satu daripada pengimport terbesar produk makanan di rantau Asia kerana kebanyakan produknya diimport dari lebih 30 negara.

Malah, Ramadan ini beliau sibuk membekalkan kurma kepada peniaga selepas mendapat banyak bekalan kerana sesuai dengan musim kurma pada Ogos, September dan Oktober.

Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah lupa untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.

“Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” katanya.


PROFIL:
  • NAMA: Datuk Yusuf Taiyoob
  • JAWATAN:Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
  • ASAL: Georgetown, Pulau Pinang
  • UMUR: 50 tahun
  • ISTERI: Datin Yusnita Ramli
  • ANAK: Waseem (9), Safiya (6) dan Safina (3)
  • ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik
  • JENIS PERNIAGAAN: Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan
 
Jutawan Dermawan

myMetro » Ekspresi
An-Nur: Jutawan dermawan

Bersama Zaharuddin Abd Rahman (Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam UIAM)
[email protected]

BAHAGIAN SATU

“ADAKAH anda gila?” Itu yang dikatakan oleh akauntan kepada jutawan bernama Brian Burnie apabila majikannya menyatakan hasrat untuk menderma hotel mewahnya bernilai sekitar RM112 juta.

Perasaan saya bercampur-campur setiap kali membaca berita sebegini. Minda pula berkecamuk memikirkan rasional dan dorongan yang memberi mereka kemampuan untuk menderma sebegitu banyak.

Kemungkinan, ramai akan terus bersangka buruk apabila membaca kisah dan berita dermawan si kaya seperti itu. Tidak dinafikan, ramai juga yang kagum dengan sifat dermawan mereka.

Mari kita cuba cari sebab luaran kedermawanan mereka dalam tulisan ini. Jika dulu, saya sering membaca pengasas Microsoft, Bill Gates, menderma di sana sini di samping yayasan yang ditubuhkannya. Kini, seorang lagi jutawan di Britain melakukan perkara sama.


Sumbangan Bill Gates

Pada Jun 2008, Bill Gates yang berumur 52 tahun membuat pengumuman akan meninggalkan sejumlah hartanya yang bernilai lebih RM200 bilion untuk tujuan kebajikan dalam surat wasiatnya.

Wang itu akan diletakkan di dalam Yayasan Bill and Melinda Gates untuk membiayai kajian kesihatan dan perubatan serta pendidikan di seluruh dunia. Yang mengagumkan saya ialah kata-katanya:

“Kami mahu memberi sesuatu kepada masyarakat yang mampu menyumbang kepada kebaikan secara keseluruhan untuk semua. Kami mahu menyumbang kepada dunia.”

Warren Buffet dan dermanya

Pada Jun 2006, saya terkejut membaca berita billionaire bernama Warren Buffet, 75, melakukan derma amal kepada Yayasan Gates untuk tujuan sama. Jumlah yang didermakan bukan kecil tapi lebih RM158 bilion.

Lebih menarik, Buffet mahu setiap sumbangannya yang dibuat secara tahunan itu digunakan pada tahun itu juga dan tidak mahu ditangguh-tangguh.

Pada 14 Mei lalu, saya membaca kisah seorang jutawan Britain mendermakan hotel mewahnya — yang asalnya sebuah rumah besar lama berusia beratus tahun sebelum diubahsuai dengan kos sekitar RM89 juta.

Pada asalnya, dia ingin menggunakan seluruh keuntungan jualan hotel mewah itu untuk tujuan kebajikan, namun ditukar ideanya. Kini, dengan rasminya hotel mewah itu akan dijual dan seluruh hasilnya bakal didermakan kepada persatuan kanser.

Kos jualannya sudah tentu melebihi RM110 juta. Berikut, tiga kata-kata beliau yang menarik hati saya:

“Memiliki harta serta mencari sebanyak mungkin wang adalah penting, tetapi kepentingan kepada masyarakat melebihi segala-galanya. Masyarakat lebih memandang wang sebagai perkara paling utama tetapi bagi saya, ia sebaliknya.

“Saya tidak mahu itu semua dan hanya berharap mahu melakukan lebih banyak perkara yang membawa kebaikan kepada masyarakat.

“Kita boleh mewasiatkan semua harta yang ada kepada badan kebajikan selepas kita mati, tetapi mengapa tidak melakukan sesuatu yang bernilai kepada masyarakat secara keseluruhan ketika kita masih hidup.”

Apa yang disebut pertama tadi bertepatan dengan tanggung jawab sosial dalam Islam. Malah di dalam Islam, pembangunan jati diri individu jauh lebih penting daripada pembangunan material, seperti bangunan pencakar langit dan sebagainya.

Yang kedua pula bertepatan ajaran Islam supaya tidak bersikap pentingkan diri sendiri dan sentiasa memikirkan manfaat yang diperoleh untuk dikongsi dengan orang ramai.

Yang ketiga pula bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW: “Dan janganlah kamu bertangguh-tangguh (dalam bersedekah) sehingga sampainya (nyawamu) di kerongkong (hampir mati).” (Riwayat Al-Bukhari, no 1353)

Apa lagi motif mereka?

Saya suka memikirkan motif positif dan sihat berbanding agenda terselindung ketiga-tiga individu berkenaan.

Selepas menolak andaian negatif selain membaca dengan lebih lanjut, baru terzahir beberapa sebab rasional. Antara paling utama adalah falsafah mereka dalam membentuk masa depan anak dan ahli keluarga.

Mereka mengambil keputusan menderma kerana tidak mahu meninggalkan harta yang terlalu banyak kepada anak kerana kelak akan membebankan mereka.

Malah, meninggalkan harta melimpah ruah juga dianggap tidak rasional. Falsafah mereka, tinggalkan cukup-cukup saja, namun anak masih perlu terus berusaha.

Buffet pernah berkata di majalah Fortune:

“Memberi anak anda terlalu banyak wang adalah satu beban dan bukan pemberian. Ia bukan perkara yang rasional untuk dilakukan.”

Saya mengira falsafah itu ada benarnya, masakan tidak, si anak pasti tidak akan dapat berkongsi rasa sukar, cabaran dan jerit perih yang dilalui ayahnya.

Malah, si anak akan ditinggalkan lemas dalam kekayaan mega tanpa sebarang usaha, kelak tiada apa lagi yang relevan untuk mereka lakukan, kecuali menghabiskan harta yang terlalu lumayan itu.

Hasilnya, otak mereka pasti menjadi mati dan lebih dahsyat, akan mencatatkan sejarah buruk dalam keluarga kerana terlalu lalai untuk menghabiskan harta, akhirnya menjadi beban dan masalah kepada masyarakat.

Tiada manfaat yang diberinya kepada masyarakat berbanding ayahnya yang bertungkus-lumus mencapai apa yang ada di depan matanya.

Kejayaan ayah mereka dicapai dengan 1,001 macam manfaat dipanjangkan kepada orang ramai, namun si anak akan menghancurkan segala-galanya.

Tujuh tahun lalu, Buffet pernah berkata dalam berita di ABC New ‘Nightline’ bahawa dilahirkan dalam kemewahan tidak melayakkan anaknya untuk menikmati keseluruhan harta.

Tidak dinafikan, ramai memuji tindakan mereka berdua dan tidak kurang juga yang mencela dengan pelbagai anggapan.

Apapun kritikan terhadap hartawan bukan Islam, bagi jutawan Muslim, Islam menganjurkan pendekatan yang sedikit berbeza, banyak pula yang sama. Yang paling berbeza adalah keperluan jutawan Muslim untuk menyembunyikan sumbangan dan sedekahnya.

Allah SWT berfirman: “Dan sekiranya kamu menyembunyikannya (sedekahmu) dan memberikannya kepada fakir miskin, demikian adalah LEBIH baik bagimu.”

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sedekah yang dilakukan secara sembunyi memadamkan kemurkaan Allah SWT.”
 
coming soon... tokputih and KSSB Team.... 6 month to go:D
 
Motivasi jutawan : Tips jadi kaya

mh_02_big.jpg


Rahsia jadi kaya
Oleh Diyanah Anuar
[email protected]



Kerja keras, tidak sombong, nasib kunci jadi jutawan

SEBUT soal wang, siapa saja tidak tertunggu-tunggu jika diberi peluang menjadi lebih kaya. Mengapa tidak, kemakmuran dan kejayaan hidup selalu dikaitkan dengan kesenangan dan keselesaan yang diukur dalam bentuk Ringgit Malaysia (RM).

Faktor kesenangan dan keselesaan hidup inilah yang menjadi matlamat kebanyakan individu dalam meniti hari dan merancang kehidupan.

Namun, usah bermimpi di siang hari atau memasang angan-angan kosong. Kekayaan bukanlah sesuatu yang mudah diperoleh. Jika disingkap cerita individu yang diiktiraf sebagai manusia paling kaya di dunia, sebahagian besar daripada tokoh ini menempuhi perjalanan hidup yang sukar.

Sepanjang survival hidup itulah mereka merasai 'jatuh dan bangun' serta menempuh pelbagai dugaan dalam mencapai kejayaan.

Dalam berangan-angan menjadi kaya, mungkin ramai antara kita tercari-cari modul yang boleh dicontohi bagi meraih gelaran jutawan. Jika ada panduan atau rujukan, sekurang-kurangnya strategi boleh direncanakan bagi merealisasikan impian.


Kisah kejayaan beberapa hartawan tempatan yang tersenarai sebagai antara 40 individu terkaya di Malaysia mungkin boleh anda jadikan inspirasi. Sikap yang diamalkan termasuk perkara yang mendorong mereka yang kebanyakannya lelaki layak dijadikan resepi mencipta kejayaan sama.

Antara yang dapat dikongsi ialah kisah di sebalik kejayaan hartawan yang menduduki tempat pertama, Tan Sri Robert Kuok atau 'Raja Gula' membina empayar.

Kuok disifatkan usahawan yang mempunyai falsafah perniagaan dan apa yang nyata, beliau sentiasa mahu belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Dalam temuramah bersama majalah antarabangsa baru-baru ini, Kuok mendedahkan satu-satunya cara untuk berjaya dalam perniagaan adalah dengan tidak bersikap sombong dan bersedia berkongsi dengan individu yang lebih bijak.

Tidak hairanlah, Kuok mengekalkan status tertinggi dalam senarai jutawan tempatan sejak tahun 2006 (senarai individu paling kaya di Malaysia oleh Forbes Asia). Hartawan ini mencatat nilai kekayaan AS$9 bilion (RM31.5 juta).

Manakala usahawan terkemuka yang terkenal dengan sikap dermawannya, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary menduduki tangga kelapan tahun ini. Menurut Forbes, nilai kekayaan Syed Mokhtar berjumlah AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion).

Syed Mokhtar dilaporkan seorang yang sentiasa berusaha keras memperbaiki taraf hidupnya sejak dulu. Bermula dengan membantu ibu bapanya berniaga lembu sekitar tahun 1960-an, beliau beralih kepada perniagaan perkhidmatan lori pada selepas mendapat bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara). Kemudian beliau berniaga beras secara kecil-kecilan.

Kini empayar perniagaan yang dibangunkannya merangkumi pelbagai bidang seperti pengangkutan dan logistik, operasi pelabuhan, perladangan dan hartanah.

Kejayaan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1429 ini membuktikan apa saja yang dicita-citakan mampu dicapai andai kita gigih bekerja, tawakal dan berdoa kepada Allah. Selain itu, kita harus memanfaatkan apa saja keistimewaan dan kebijaksanaan kurniaanNya serta tidak bergantung kepada nasib dan takdir semata-mata.

Sering mencari dan menyahut cabaran dalam kerjaya adalah antara 'rahsia kejayaan' seorang lagi tokoh korporat iaitu Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim. Beliau yang menduduki tangga ke 11 dalam senarai kali ini pernah dilaporkanberkata, cabaran mendorong seseorang berusaha lebih kuat.

Azman adalah individu yang optimistik, sentiasa berfikiran terbuka dan mencuba mendapatkan apa yang beliau idamkan.

Bagi yang ingin mengikut jejak langkah tokoh korporat dan hartawan membina empayar, sikap dan semangat mereka dalam membangunkan perniagaan serta membina kekayaan wajar menjadi panduan.

Selamat berusaha!

Tip jadi kaya.

1. Mereka yang kaya percaya mereka boleh menjadi kaya.

Jika anda ragu-ragu dengan kemampuan menjadi kaya, ambil mana-mana majalah perniagaan dan lihat laporan mengenai kejayaan yang dicapai ramai ahli perniagaan.

Jangan fikir anda tidak mempunyai bakat seperti mereka. Sebaliknya cari jalan bagaimana mendapatkan kemahiran itu. Percayalah, jika anda sendiri tidak yakin bahawa anda boleh menjadi kaya, anda tidak akan berpeluang merasainya.

2. Mereka yang kaya meluangkan masa dan tenaga untuk belajar mengenai wang.

Biarpun terlalu menginginkan wang mereka menokok. ramai yang tidak meluangkan masa belajar dan memahirkan diri mengenai kaedah menjana wang. Sedangkan orang kaya sering meluangkan masa dan berusaha 'melebatkan' wang.

3. Mereka yang kaya mendapatkan nasihat kewangan betul

Antara rahsia penting golongan hartawan ialah mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada institusi kewangan untuk mendapatkan nasihat. Ini kerana kebanyakan daripada institusi terbabit hanya mahu menjual produk dan perkhidmatan yang menguntungkan mereka saja. Golongan kaya akan mendapatkan khidmat nasihat dari pihak profesional dan berkecuali dalam menguruskan kewangan mereka.

4. Mereka yang kaya bijak mengaplikasikan teknik menjana kekayaan

Untuk mengaplikasi teknik menjana kekayaan bukan mudah. Ia memerlukan perubahan tabiat, kebiasaan dan keselesaan yang tidak memberikan keuntungan. Jika ingin berjaya, anda mesti bersedia untuk mengubah amalan tidak produktif anda selama ini.

5. Mereka yang kaya tahu bahawa mereka ingin menjadi kaya.

Istilah 'kebebasan kewangan' sememangnya sukar untuk memotivasikan diri. Tapi bagi golongan kaya, mereka tahu bagaimana kebebasan kewangan memberi manfaat kepada mereka. Misalnya, peluang menghabiskan lebih masa bersama keluarga, melancong dan sebagainya. Pendek kata, mereka tahu mengapa mereka perlu menjadi kaya.

Legasi Jutawan Malaysia

# Bilangan hartawan Melayu dalam senarai `40 Individu Paling Kaya di Malaysia Forbes Asia' bagi tahun ini meningkat kepada sembilan berbanding lapan tahun lalu dengan nilai aset terkumpul mereka mencecah AS$2.603 bilion (RM9.132 bilion).

# Nilai aset terkumpul itu bagaimanapun 28.88 peratus lebih rendah berbanding AS$3.65 bilion (RM12.84 bilion) tahun lalu dan hanya mewakili 7.15 peratus kekayaan terkumpul semua individu dalam senarai 40 orang paling kaya Malaysia itu yang berjumlah AS$36.41 bilion (RM127.74 bilion).

# Usahawan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim terus mengekalkan kedudukan masing-masing sebagai orang Melayu paling kaya dan kedua paling kaya tahun ini.

# Turut mengekalkan kedudukan adalah Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir pada tempat ke-3 dan Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun tempat ke-4.

# Syed Mokhtar mempunyai kekayaan AS$1.1 bilion (RM3.86 bilion), manakala Azman AS$470 juta (RM1.65 bilion).

# Walaupun kekayaan Syed Mokhtar dan Azman masing-masing susut daripada AS$1.8 bilion (RM6.32 bilion) dan AS$700 juta (RM2.46 bilion) tahun lalu, mereka mengekalkan kedudukan di tempat ke-8 dan ke-11 dalam senarai `40 Individu Paling Kaya di Malaysia' tahun ini.

# Mokhzani dan Kamarudin pula masing-masing memperbaiki kedudukan dari tempat ke-20 dan ke-21 tahun lalu kepada ke-16 dan ke-19 tahun ini.

# Peningkatan itu di sebalik penurunan nilai kekayaan masing-masing daripada AS$290 juta (RM1.02 bilion) kepada AS$215 juta (RM754.29 juta) dan AS$280 juta (RM982.34 juta) kepada AS$205 juta (RM719.21 juta) tahun ini.

# Tiga hartawan Melayu baru yang memasuki senarai tahun ini ialah Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holding Bhd, Tan Sri Rozali Ismail pada tangga ke-31; Pengerusi Hard Rock Cafe Enterprise Malaysia, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir di tangga ke-37 dan Ketua Eksekutif Ranhill Bhd, Tan Sri Hamdan Mohamad di tangga ke-38.

# Nilai aset ketiga-tiga individu itu masing-masing berjumlah AS$130 juta (RM456.08 juta), AS$100 juta (RM350.83 juta) dan AS$98 juta (RM343.82 juta).

Artikel ini diperolehi dari arkib berita harian
 
JUTAWAN DUNIA : Colonel Harland Sanders (Lazat sehingga menjilat jari)

sanders_h.jpg


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Biasakah anda mendengar slogan ini “Lazat sehingga menjilat jari”…..pastinya slogan tersebut berkait rapat dengan restoren makanan segera yg terkemuka di Malaysia dan di seluruh dunia, Kentucky Fried Chicken atau nama pendeknya KFC.

Sememangnya restoren ini akan menjadi tempat wajib pergi bagi penggemar ayam goring. Saya sememangnya dari dulu tertarik dengan maskot dan logo rasmi KFC iaitu gambar Colonel Harland Sanders, lelaki berambut,bermisai dan berjanggut putih yg sememang nya sinonim dengan KFC.

Pastinya terdapat kisah menarik disebalik kejayaan Sanders menjulang nama KFC kepesada antarabangsa. Sanders dilahirkan di Kentucky sekitar tahun 1890 dan merupakan anak sulong daripada 5 adik beradik. Ayah beliau yg meninggal pada usia beliau 5 tahun memaksa ibunya bekerja bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Memandangkan ibunya sering keluar bekerja, tanggungjawap menjaga adik-adiknya terletak pada bahu Sanders yg juga dipertanggugjawapkan untuk menyiapkan makanan untuk adik-adiknya. Walaupun masih berusia 6 tahun, minat Sanders dalam memasak membuatkan ibunya mengajar pelbagai resepi kepada Sanders termasuklah resepi Ayam goreng yg telah membuatkan beliau kaya raya.

Permulaan kehidupan Sanders tidaklah begitu berjaya kerana beliau banyak bertukar kerjaya bermula daripada bekerja di Stesen keretapi, peguam amatur,kerani,tukang gunting rambut, dan agen insuran dan bermacam-macam lagi. Pendek kata, beliau akan mencuba apa saja peluang yg beliau rasakan mampu untuk menjadikan beliau kaya raya.

Pada usia beliau 40 tahun, beliau telah menjalankan perniagaan petrol stesen bersama keluarganya dan kebetulan ramai pengembara yg singgah di petrol stesennya untuk berehat. Sanders telah menjamu orang-orang yg singgah ke petrol stesennya dengan resepi Ayam goreng yg diajar ibunya dan ia mula menjadik kegilaan dikalangan pengembara-pengembara tersebut.

Kerana pemintaan yg ramai, beliau telah memulakan operasi perniagaan makanannya di restoren berhadapan dengan petrol stesennya. Setiap orang yg berkunjung ke restorennya pasti akan menyukai resepi Ayam goreng beliau yg dimasak didalam ketuhar wap bersama pelbagai jenis herba dan rempah.

Malang menimpa Sanders pada tahun 1952 apabila kerajaan membuat lebuhraya dan laluan ke petrol stesen dan restoren Sanders terpaksa ditutup sehingga beliau terpaksa mejual semua aset beliau. Sanders kehilangan segalanya dan yg hanya tinggal pada beliau adalah resepi Ayam gorennya sahaja. Beliau tidak berputus asa dan bertekad untuk memfrancaiskan resepi Ayam Gorennya.

Beliau bertemu dengan rakan Pete Harman yg muncul dengan idea “Ketucky Fried Chicken.” Sander tidak menoleh kebelakang lagi dan menjelajah keseluruh Amerika untuk memfrancaiskan perniagaannya. Beliau amat berhati-hati dan peka dengan setiap pekakasan yg digunakan di restoren yg memfrancaiskan KFC, jika terdapat apa-apa yg tidak mengikut spesifikasi beliau, beliau akan membatalkan kontrak serta merta.

Pada 1963, Usahawan John Y. Brown dan Jack Massey membuat tawaran untuk membeli KFC daripada Sanders. Tawaran 2juta USD dan gaji 40,000usd beserta jawatan tetap di KFC sebagai duta pada waktu itu diterima Sanders. KFC berkembang dari tahun ketahun dan tersenarai didalam Bursa Saham Amerika pada tahun 1969. Sanders telah menjadi jurucakap dan menjelajah keseluruh dunia untuk memperkenalkan KFC dimata dunia.

Beliau meninggal dunia pada tahun 1980 disebabkan lukemia. Kejayaan Sanders hanya datang pada usianya 65 tahun dan beliau meninggal dunia pada usia 90 tahun. Beliau membuktikan bahawa usaha yg gigih dan berterusan pasti akan membuahkan hasil. Tidak terlambat utk seseorang itu memulakan sesuatu utk mengubah hidupnya.
 
JUTAWAN DUNIA : Suze Orman, Jutawan yg pernah Muflis..

suzeormanclutch.jpg


Susunan Fairul Asmaini Mohd Pilus
[email protected]


“KETIKA kecil, saya malu kerana mempunyai masalah dalam pertuturan dan sukar untuk menyebut perkataan yang mempunyai huruf r's, s's dan t's dengan betul.

“Ia menyebabkan saya tidak dapat bercakap dan membaca dengan betul ketika di sekolah. Keadaan berkenaan memaksa saya menduduki ujian bacaan dan biasanya mencatatkan markah antara yang paling rendah di dalam kelas.

“Masalah berkenaan menghantui sepanjang sesi persekolahan termasuk ketika melanjutkan pelajaran di universiti. Sampai sekarang saya sukar menyebut beberapa perkataan dengan betul seperti fear dan fair, bear dan beer yang disebut seakan sama,” kata pakar kewangan terkenal, Suze Orman.

Suze, 48, adalah anak kepada pasangan imigran dari Russia, Ann dan Morry Orman. Menurutnya, dia bukan berasal daripada keluarga berada dan disebabkan itu, terpaksa ber gantung sepenuhnya kepada universiti komuniti negeri jika mahu melanjutkan pelajaran.

Kata wanita yang berasal dari South Side, Chicago, Amerika Syarikat (AS) ini, biarpun ujian penilaian SATs yang di dudukinya tidak memberi keputusan memberangsangkan, apa yang memeranjatkan ialah permohonannya ke Universiti Illinois, tetap diterima

“Ia umpama mimpi yang menjadi kenyataan. Ketika saya sampai di universiti berkenaan dan berjumpa dengan pe nasihat kursus, dia bertanya kepada saya apa yang saya mahu pelajari.

“Dengan penuh yakin saya memberitahu saya ingin menjadi pakar bedah otak tetapi penasihat berkenaan hanya tergelak dan menganggap itu hanya angan-angan kerana gred tidak memenuhi kriteria.

“Dia (penasihat) kemudian mencadangkan saya supaya mengambil kursus lebih mudah dan tidak membebankan iaitu berkaitan bidang kerja sosial,” katanya yang mengakui percakapan lantang dan cepat, membantunya menyembu nyikan kekurangan dirinya.

Menurut Suze, selepas tamat pengajian, dia pernah menjadi pelayan di kedai roti Buttercup dan ketika di sana dia berkenalan dengan seorang pelanggan yang kemudian mem beri pinjaman AS$50,000 (RM175,000) kepadanya untuk merealisasikan impian membuka restoran sendiri.

Begitupun, dengan harapan memperoleh keuntungan lebih, dia menggunakan duit berkenaan untuk melabur dalam Merrill Lynch tetapi empat bulan kemudian, dia dapati broker saham menipunya.

“Saya menyertai pelaburan saham dengan harapan untuk mendapatkan lebih banyak wang, tetapi impian itu hancur selepas broker menipu.

“Tetapi ia banyak mengajar saya untuk menyertai sesuatu, kita perlu melengkapkan diri dengan ilmu terlebih dulu.

“Hanya dengan ilmu kita dapat menguruskan sesuatu berkaitan wang dan kewangan dengan betul,” katanya yang pernah menjalani latihan kewangan sebelum membuka firma kewangannya sendiri selama 10 tahun.

Wanita lantang yang dikenali sebagai antara penasihat kewangan serta pakar motivasi terunggul dunia itu sebelum ini pernah diiktiraf sebagai penulis buku jualan mega da ripada New York Times serta menjadi editor penyumbang dalam majalah Oprah, O.

Selain itu, Suze juga pernah dua kali memenangi anugerah pengacara televisyen terbaik menerusi rancangannya, Suze Orman Show, pada majlis anugerah Emmy.

Lebih istimewa, wanita ini turut mencipta rekod tersendiri selepas dia meraih enam anugerah berprestij, Gracie, yang hanya mengiktiraf saluran radio serta rancangan televisyen kabel terbaik membabitkan wanita.

Pada Oktober lalu, Suze turut dianugerahkan Anugerah Kualiti Kebangsaan daripada pihak hak asasi manusia ma nakala majalah Time mengangkat wanita ini sebagai antara 100 wanita paling berpengaruh di dunia.

Antara karya yang pernah dihasilkan Suze ialah, Action Plan, Women&Money, Owning The Power To Control Your Destiny, The Money Book for the Young Fabulous & Broke, The Laws of Money, The Lessons of Life, The Road to Wealth, The Courage to Be Rich (dijual lebih satu juta naskhah), The 9 Steps to Financial Freedom, (dijual lebih tiga juta naskhah dan menjadi buku terlaris di AS), Suze Orman’s Financial Guidebook, You’ve Earned It, Don’t Lose It dan Ask Suze Library System.

“Jika dibandingkan dengan apa yang dimiliki hari ini dengan harta saya 20 tahun lalu, pasti ramai tidak percaya bahawa Suze Orman ini adalah orang yang sama dengan Suze Orman di South Side, Chicago, 40 tahun lalu.

“Untuk berada di tempat sekarang, saya melalui pelbagai suka duka dan pernah diisytiharkan muflis kerana tidak mampu membiayai hutang.

“Tetapi, apa yang penting, kita perlu bangkit dan mencari jalan terbaik untuk membebaskan diri daripada belenggu hutang serta masalah.

“Kita juga perlu bijak mengawal perbelanjaan dan menilai terlebih dulu kemampuan diri sebelum membuat keputusan untuk memiliki sesuatu,” katanya yang mengamalkan mem beli barangan secara tunai dan bukan berhutang meng gunakan kad kredit.


Moga cerita kejayaan beliau menjadi motivasi kita bersama. Sama-sama kita bangkitkan kembali semangat untuk menebus segala kesilapan lalu untuk melakar kejayaan yg akan mendatang. Video ini untuk perkongsian anda semua.
 
Kisah Saudagar Burger

29072009670.jpg


Kisah saudagar burger
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
[email protected]


"PENIAGA burger seperti kami memang tidak dipandang tinggi apatah lagi dikaitkan dengan imej selekeh selain dianggap sebagai golongan tidak mempunyai masa depan cerah.

"Tetapi itu semua tidak menjadi halangan kerana apa yang penting, kami mencari rezeki halal dan kehadiran peniaga seperti kami sememangnya terkenal serta mewarnai lagi sesuatu kawasan atau jalanan," kata belia berwawasan, Nazri Ismail, 31, dari Tampoi, Johor Bahru, Johor.

Nazri yang juga juara pertandingan memasak burger anjuran Lady's Choice, menceburi perniagaan berkenaan selepas terdorong untuk mengubah taraf kehidupan keluarganya.

Menurutnya, selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mencuba pelbagai pekerjaan termasuk sebagai budak penghantar barangan serta pekerja am di beberapa pasar raya di sekitar Johor Bahru.

Ketika itu, waktu kerjanya mengikut waktu pejabat dan pada sebelah malam, dia membantu di gerai burger rakannya.

Pada mulanya, ia hanya sekadar suka-suka untuk membantu rakan tetapi lama kelamaan, selepas melihat sendiri potensi serta keuntungan diperolehi, dia mengambil keputusan untuk membuka sendiri perniagaan berkenaan di kampungnya sendiri iaitu di Kampung Pasir dengan modal permulaan sebanyak RM150 daripada simpanannya.

"Sebagai remaja yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, saya memang bermula dengan kosong dan hanya bertawakal kepada Allah. Mujurlah, ketika kecil, saya sering menemani arwah ayah berniaga makanan dan pengalaman berkenaan sedikit sebanyak digunakan ketika membuka gerai burger berkenaan.

"Pada awalnya, saya hanya menggunakan meja lipat dan hanya menjalankan perniagaan selepas waktu bekerja iaitu dari jam 7.30 petang hingga 12 malam.

"Pendapatan yang diperoleh pada tiga bulan pertama memang tidak memberangsangkan tetapi masuk bulan keempat, perniagaan burger saya mula dikenali ramai dan memperoleh keuntungan lumayan," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan Kembara Kejayaan Lady's Choice di ibu negara, baru-baru.

Hadir sama, Pengarah Sumber Manusia dan Perhubungan Korporat Unilever, Nik Mustapha Nik Muhammad; Pengarah Urusan Unilever FoodSolutions, Victor Warren serta dua pemenang pertandingan memasak burger yang terdahulu iaitu Faizal Muhammad dan Ruddy Ibrahim.

Kini, diam tak diam, sudah hampir 11 tahun Nazri berkecimpung dalam dunia perniagaan berkenaan dan kini semakin dikenali selepas memenangi pertandingan memasak burger, dua tahun lalu.

Nazri kini memiliki empat gerai burger serta mampu menggaji pekerja dengan pendapatan bulanan cukup lumayan dan mampu membeli apa juga yang diimpikan selama ini.

Menurut Nazri, apa yang dikecapinya hari ini adalah rezeki yang dikurniakan Allah sebagai balasan kepada usaha yang tidak pernah mengenal jemu selama ini.

Biarpun berstatus usahawan kecil, dia yakin perniagaan berkenaan mampu memberikan keselesaan dan kesenangan kepada keluarga.

"Tiada apa yang mustahil untuk dicapai jika kita rajin dan cekal berusaha. Bagi remaja yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan burger ini, ingatlah, rezeki tidak akan datang bergolek, sebaliknya kita perlu bekerja keras untuk mendapat pulangan yang diinginkan.

"Namun, apa yang penting, hati perlu ikhlas dan buang sikap mudah putus asa kerana masa depan kita, hanya kita yang dapat menentukannya," kata bapa kepada tiga anak yang kini terbabit mengikuti program jelajah bersama Faizal dan Ruddy ke seluruh negara.

Nik Mustapha berkata, program kembara berkenaan memberi tumpuan kepada usaha untuk menjelajah ke pelosok Semenanjung Malaysia bagi berkongsi kejayaan serta petua perniagaan dengan rakan seperjuangan sekali gus membantu pemilik perniagaan burger untuk membesarkan lagi perniagaan mereka.

"Program ini adalah salah satu cara untuk kami membalas budi baik masyarakat dengan menyediakan saluran untuk peniaga burger ini menimba kemahiran berjaya daripada rakan mereka.

"Usahawan muda seperti peniaga burger ini sememangnya mewakili segmen pasaran serta berpotensi untuk dimajukan.

"Untuk itu, Nazri, Faizal dan Ruddy akan mengadakan sesi lawatan gerai burger terpilih dalam masa 30 hari. Kami berharap, peniaga burger akan mengambil peluang ini untuk memperoleh sebanyak mana pengetahuan daripada tiga juara burger ini dan menjadikan mereka sebagai contoh untuk berjaya dalam perniagaan berkenaan," katanya.

Artikel ini diperolehi daripada arkib harian metro

P/S: Tidak kira apa cabang perniagaan yg anda lakukan,lakukan ia dengan ilmu dan kesungguhan, walaupun anda hanya berniaga burger, ia adalah perniagaan dan anda berhak menentukan kejayaan utk perniagaan anda.
 
Last edited:
Back
Top
Log in Register