BTC USD 64,916.1 Gold USD 4,448.98
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Santai Monolog Kehidupan

SmileAlways

Legendary Member
gem
Messages
15,856
Joined
Aug 11, 2014
Messages
15,856
Reaction score
1,119
Points
206
Hari ini, Isnin. Mata kuyu. Bermula lagi minggu yang baru setelah dua hari cuti hujung minggu. Kadang-kadang terasa seolah-olah suatu penyeksaan. Aku menjadi aku, dalam kelompok lautan manusia. Berbondong-bondong keluar mencari rezeki pencarian. Dalam dunia metropolitan ini, setiap satu berasakan merekalah yang paling unik, paling istimewa, lain dari yang lain. Hakikatnya? Aku, kau, dia sama sahaja.

Bermula sahaja minggu yang baru, semua di sini. Gelap lagi tanah sudah terpacak. Terperangkap di dalam kotak besi beroda di tengah kesesakan kota. Ada yang laju meluncur, mencari celahan ruang di sisi himpitan manusia.
Mereka berkuda, tidak berkotak. Sesekali naik cemburu manusia dalam kotak dengan manusia berkendera dua roda itu. Masih adakah lagi yang istimewa? Besar atau kecil, mahal atau murah, semua sama sahaja di sini. Tidak ubah seperti sekawan kerbau. Beratur menunggu giliran untuk terjun ke sawah yang berlumpur.

Sampai ke tempat kerja, beratur lagi. Ada berselipar. Ada masih mengelek bakul susu anak. Ada berbut lengkap, ala-ala pelumba motosikal profesional. Aku bersahaja saja, kasut coklat digilap bersinar semasa cuti. Jenama terkenal. Tapi tak ramai yang tahu, harganya RM20 cuma. Aku menyelam di pusat bundle itu hari. Untung hari ini masuk awal. Sempat jugalah menjenguk ke pantri. Cerek air elektrik aku basuh dan isikan penuh dengan air. Boleh lah dibuat air minum kalau ada yang lebih lepas aku buat kopi nanti. Hairan. Di pejabat ini ada 9 anak dara. Aku seorang saja yang teruna. Tapi tak pernah ada yang basuh cerek air ini. Sejukkan air untuk buat air minum jauh sekali.

Tapi kalau bercerita bab kahwin, angan-angan masing-masing saling tak nak kalah. Anak-anak dara zaman sekarang tudungnya mahal, mukanya dijaga, tangannya disimpan daripada membuat kerja. Takut berkedut katanya. Bila bicara bab pengurusan rumah tangga, habis hadis dan sirah cair di mulut. Nabi Muhammad pun membantu isteri katanya. Kisah Siti Khadijah yang sentiasa menanti kepulangan suaminya dan melayan baginda dengan taat dan kasih sayang tidak pula diambil pusing. Ah nak bercerita bab ini sampai tahun depan pun tak kan habis. Tengok sajalah kisah rumah tangga di Facebook. Dikecam teruk, meruntuhkan rumah tangga, menghasut perceraian pun masih ada yang bertenggek di situ hari-hari. Syaitan memang suka mengulit hal-hal lagha.

Apa yang penting, aku buat kerja aku. Apa lah sangat nak dikisahkan dengan perihal orang? Jaga hal orang, kerja yang tak berkesudahan. Hati orang bukan boleh dipaksa. Kita kata buruk, tapi pada dia cantik. Tapi kerja aku jangan sesiapa ganggu. Jangan kata kerja aku, kerja orang pun aku yang buat. Salah atau tak puas hati, mereka diam saja. Cakap macam-macam, alamat lingkup lah kerja. Payah bila orang dapat kerja dengan modal emosi ni. Minta kenaikan pangkat atas dasar dah lama bekerja. Lama bekerja tapi tak reti bekerja pun tak ada guna. Sudahnya aku juga yang buat. Maka bermulalah hari aku hari ini. Hari-hari yang berlalu, sama saja seperti hari-hari yang lalu

Albert Einstein pernah berkata,

“Ada dua benda yang wujud dalam infiniti, kebo**han manusia dan alam semesta. Dan saya tak pasti tentang alam semesta!”

bersambung...
 
Quote ayat albert einstein tu. Teruskan lagi TT.
 
serius pandai tulis ayat..boleh buat skrip..subscribe dulu sini..
 
kredit kepada omghackers.com
nantikan episod 2. mmg lagi best dan bermotivasi
 
Episod 2

Kerja. Kerja bosan. Bosan kerja. Bila buat kerja yang kau tak suka, masa sekejap pun rasa lama. Masuk kerja dengan hati menyampah, meronta, terseksa. Sampai waktu pulang, tak boleh bergegas pula. Sebab apa? Sebab kerja bertimbun. Kerja yang kau tak suka, jadi buat pun lambat. Bila lambat, tak siap. Bila tak siap, bos marah. Jadi mahu tidak mahu, kena juga siapkan. Macam mana nak siapkan? Kena la kerja lebih masa. Tak berbayar pula tu. Tapi nak salahkan siapa? Sendiri yang tak siap kan?

Kalau aku siapkan awal-awal, buat kerja dengan cekap patutnya aku dah boleh balik awal. Tapi kalau balik awal pun, kena menghadap jammed juga. Sebab semua berpusu-pusu keluar serentak. Sebenarnya, memang sengaja aku balik lambat. Jadi bila balik, aku boleh memandu dengan tenang sambil layan lagu-lagu chill. Mungkin aku sengaja melambat-lambatkan kerja. Mungkin juga sebab aku malas. Tapi yang pasti, memang aku balik lambat.

Balik lambat, datang awal. Macam mana kerja tak penat? Nasib baik belum ada bini. Kalau tak mesti kering bini di rumah. Melayan rindu, menunggu suami pulang ke rumah. Nak kirim beli sayur telur pun tak sampai-sampai lagi ke rumah. Ya, mungkin itu lah seronok hidup bujang. Buat apa pun, tak bersangkut paut dengan siapa-siapa. Hidup kau, antara kau dengan tuhan saja. Yang penting, solat jangan tinggal. Balik lewat tak ada yang membebel. Barang dapur tak beli pun sendiri yang lapar. Kau malas, kau duduk dalam tong sampah. Kau rajin, kau duduk dalam rumah bersih. Kau bertanggungjawab atas diri kau sendiri. Perasaan ni, orang bujang yang ada awek pun tak kan faham.

Acap juga, aku sengaja balik malam. Padahal aku habis kerja pukul 5.30 lagi. Tak suka la aku duduk beratur di mesin punch card ramai-ramai. Bukan lah salah beratur, tapi bagi aku itu tanda manusia yang tak seronok bekerja. Sentiasa tertunggu-tunggu waktu pulang. Punch card pukul 5, pukul 4.45 sudah ramai yang beratur. Sebab tu lah aku sengaja balik lambat. Biar aku kerja lebih, jangan kerja kurang. Sekali fikir, nampak macam aku ni suka sangat pula dengan kerja aku. Kalau dah hari-hari datang awal, balik lambat, tak ke gila kerja namanya tu? Entah la. Aku pun tak tahu. Nak kata suka, tak la sangat. Tapi selesa? Ya, mungkin. Aku selesa dengan kerja aku.

Bagi aku, apa lah sangat yang nak di komplen dengan kerja sendiri. Bangun awal pun, bagus. Boleh solat Subuh. Cuba kalau kerja mula pukul 12 tengah hari? Aku rasa tiap-tiap hari aku bangun lewat. Cukup 3 tahun kerja, kena panah petir. Sebab tinggal solat Subuh. Kerja aku separuh kena bergerak, separuh melibatkan pengurusan. Kena lawat rumah orang, sekolah, ukur itu, ukur ini, kadang-kadang melukis, kadang-kadang kena jumpa doktor. Nak dibandingkan dengan kerja cikgu, aku rasa syukur dengan kerja aku. Tak kena menghadap perangai budak-budak nakal. Kalau orang bagi aku jadi doktor sekalipun, aku tetap tak mahu. Doktor kena main dengan darah, nyawa manusia, emosi, selalu berdiri di tengah-tengah antara ambang hidup dan mati pesakit. Kerja berniaga? Ya, memang la kerja fleksibel. Kau bos, kau kuli. Tapi kena ada motivasi. Kalau tak ada jatidiri, buka kedai tak ikut waktu, pelanggan pun lari. Ah ada kerja pun dah kira ok! Biarlah kereta tak mahal. Ada orang kat luar sana anak dah 5, kerja tetap pun tak ada!

Prinsip hidup aku, lebih mudah dan tenang hidup bila mana aku lebih memandang apa yang aku ada, daripada berangan dan risaukan apa yang aku tak ada.
Syukur tu kena dipupuk, dia tak datang sendiri.

Seorang penyair Parsi, Abū-Muhammad Muslih al-Dīn bin Abdallāh Shīrāzī pernah berkata :

“Aku menangis kerana tidak berkasut. Sehinggalah aku melihat manusia lain yang tidak berkaki”
 
from Dr Maza
Walaupun saban masa dan hari, bilangan waktu pergi tidak kembali lagi, tetapi ia tetap meninggalkan kesan pada bilangan yang masih ada. Kenangan, peristiwa, pengajaran dan bekalan yang dikutip oleh hari-hari semalam ditinggalkan untuk hari-hari mendatang. Adakala ia pahit, adakala manis, adakala kita membencinya, adakala kita menangisi kehilangannya dan adakala kita ingin melupai dan mengharapkan supaya bilangan itu tidak pernah wujud dalam diari kehidupan kita. Bilangan yang pergi dan datang jua menyimpan pelbagai rahsia setiap kita. Bukan semua babak lakonan setiap insan diketahui oleh orang lain. Sebahagian besarnya adalah rahsia kehidupan, hanya dia dan Tuhan. Beruntunglah insan yang rahsianya di sisi Yang Maha Esa lebih baik dari apa yang disangka oleh manusia.
 
1. Kalau kita bergaduh dengan pelanggan, walaupun kita menang, pelanggan tetap akan lari.
2. Kalau kita bergaduh dengan rakan sekerja, walaupun kita menang,Tiada lagi semangat bekerja dalam satu kumpulan.
3. Kalau kita bergaduh dengan boss,walaupun kita menang,Tiada lagi masa hadapan di tempat itu.
4. Kalau kita bergaduh dengan keluarga,walaupun kita menang,Hubungan kekeluargaan akan renggang.
5. Kalau kita bergaduh dengan guru,walaupun kita menang,Keberkatan menuntut ilmu dan kemesraan itu akan hilang.
6. Kalau kita bergaduh dengan kawan,walaupun kita menang,Yang pasti kita akan kekurangan kawan.
7. Kalau kita bergaduh dengan pasangan,walaupun kita menang,Perasaan sayang pasti akan terguris.
8. Kalau kita bergaduh dengan sesiapapun,walaupun kita menang,Kita tetap kalah.
Yang menang adalah cuma ego diri sendiri.
Yang ini yg susah,mengalahkan ego diri sendiri.
Renungan bersama...
Apabila kita menerima teguran,usahlah terus melenting dan marah.Bersyukurlah masih ada orang yang mahu menegur kesilapan kita.

Mendengar isteri membebel di rumah, bererti kita masih punya keluarga.
Mendengar suami masih berdengkur di sebelah, bererti kita masih punya suami.
Mendengar ayah dan mak menegur dengan tegas, bererti kita masih punya mak ayah.
Merasa letih dan jemu menasihati anak yang nakal, bererti kita masih punya anak untuk saham akhirat nanti.
Merasa letih setiap ptg selepas penat bekerja, bererti kita mampu bekerja keras.
Membersihkan pinggan dan cawan kotor setelah menerima tamu di rumah, itu bererti kita punya teman.
Pakaian terasa agak sempit, itu bererti kita cukup makan
Mencuci dan menggosok timbunan baju, itu bererti kita memiliki pakaian.
Membersihkan halaman rumah, mop lantai, itu bererti kita memiliki tempat tinggal.
Mendapatkan banyak tugasan, itu bererti kita dipercayai dapat melakukannya.
Mendengar bunyi ekzos & hon dan anak jiran bising, itu bererti kita masih boleh mendengar.
Melihat anak-anak bermain riang, itu bererti kita masih boleh melihat.
Kita masih bernafas, itu bererti kita masih diberi peluang oleh pencipta yang agung untuk bertaubat dan beribadah.

Akhirnya banyak hal yang dapat kita syukuri setiap hari.
Berhenti mengeluh dan bersyukurlah. Kita bersyukur walau diri ini selalu mengeluh tanpa berfikir hikmah di sebaliknya.
Bersyukur diberi kehidupan yang baik pada masa ini dan akan dtg. InsyaAllah.
 
Back
Top
Log in Register