BTC USD 85,908.5 Gold USD 4,322.66
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Misteri Lembaga Tanpa Kepala di Penjara Pudu

lempeng

Fun Poster
Messages
895
Joined
Dec 16, 2005
Messages
895
Reaction score
145
Points
23
⚖️ Misteri Lembaga Tanpa Kepala di Penjara Pudu



Semasa saya bertugas di Penjara Pudu, Kuala Lumpur, ada seorang pegawai polis yang bertugas sebagai Pegawai Penyiasat memang tidak percaya kewujudan alam mistik.



“Hantu-hantu ni karut belaka. Aku ni yang selalu tengok mayat tak pernah jumpa hantu pun!” kata pegawai penyiasat itu dengan angkuh setiap kali mendengar cerita-cerita dari para pengawal di Penjara Pudu yang sering terserempak dengan hantu ketika bertugas.



Suatu hari, pegawai penyiasat ini datang lagi ke Penjara Pudu untuk sesi temuduga ke atas tiga orang banduan akhir yang bakal menjalani hukuman gantung.

Pegawai tersebut tiba ketika hari sudah lewat petang, dan mengikut prosedur, pegawai itu sepatutnya tidak dibenarkan masuk pada waktu sebegitu. Tapi oleh kerana beliau sudah biasa berurusan dengan pihak penjara, maka dia akhirnya diberikan keizinan untuk masuk atas sebab kelancaran tugas.



Ketiga-tiga orang banduan yang perlu melalui sesi soal jawab dengan pegawai penyiasat sebelum menjalani hukuman gantung terdiri daripada dua orang lelaki dan seorang wanita, dan ia dilakukan di dalam sebuah bilik siasatan khas.



Setelah selesai menemuduga kedua-dua banduan lelaki, kini tiba pula giliran banduan wanita pula - dia masuk dan terus duduk di hadapan pegawai penyiasat itu dengan kepala yang tunduk hanya memandang lantai.



Pegawai itu lantas mengajukan beberapa soalan kepada wanita tersebut, tapi hanya dijawab dengan acuh tak acuh. Kepalanya tetap tunduk sepanjang sesi soal jawab tersebut berjalan. Pegawai penyiasat mula merasa berang dengan sikap banduan wanita tersebut.



Bila ditanya sekali lagi, banduan wanita itu tetap enggan memberikan kerjasama. Hanya beberapa soalan saja yang benar-benar dijawab. Itu pun dalam keadaan kepalanya masih tunduk.



Baru 10 minit sesi soal jawab berjalan, banduan wanita itu tiba-tiba minta keizinan untuk ke tandas yang terletak di dalam bilik siasatan itu. Sementara menunggu banduan wanita itu selesai urusannya di bilik air, pegawai penyiasat itu membelek hasil laporan temuduga dengan dua banduan lelaki tadi yang telah lengkap, manakala masih mengumpul maklumat temuduga dari banduan wanita itu.



Dua minit kemudian, banduan wanita tadi datang semula ke meja, duduk dengan kepalanya tunduk memandang meja. Rambutnya yang panjang paras bahu menutup sebahagian muka kiri dan kanannya.


1748939146588.png



“Jawab soalan saya yang tadi. Jangan tengok lantai. Pandang saya!!” tengking pegawai penyiasat itu sambil merenung banduan wanita tersebut.



Bila diasak berulang kali, barulah banduan wanita itu mengangkat mukanya perlahan-lahan.



Terkejut sungguh pegawai penyiasat tadi. Barulah dia dapat melihat wajah sebenar banduan wanita tersebut. Wajahnya sangat cantik. Matanya bersinar, kulitnya putih mulus. Banduan wanita itu lantas tersenyum ke arah pegawai itu, menampakkan barisan giginya yang putih bersih.



Namun yang peliknya, senyuman banduan wanita itu seperti ada sesuatu yang tersirat. Matanya tajam merenung pegawai penyiasat itu tanpa menjawab sebarang soalan.



Tiba-tiba laungan azan maghrib berkumandang dari arah masjid berdekatan.



Dan…. sebaik saja mendengar suara azan itu, banduan wanita itu tiba-tiba terus menjerit dan melolong seperti orang gila hingga bergema billik tersebut.



‘Heeeehhhhhhheeeeeeeeeeeheeeeeeee…Aaaaarrrrrrggggghhhhhhhhh’



Tidak semena-mena, kepala banduan wanita itu pecah. Darah menyembur keluar membasahi meja serta lantai, dan kemudian ia terus tercabut dari badan banduan wanita itu lalu tergolek ke arah pegawai penyiasat yang sedang berada dalam keadaan terkejut. Tanpa berlengah, beliau terus meluru berlari keluar dari bilik dan pergi kepada seorang warden yang sedang menunggu di depan pintu.



“Kenapa tuan?” soal warden apabila melihat pegawai penyiasat itu yang menggeletar, cemas dan pucat lesi wajahnya. Sebaik saja mendengar cerita dari pegawai penyiasat tentang kejadian yang baru saja berlaku dalam bilik siasatan, warden itu sangat terkejut.



Setahu warden itu, hanya pegawai penyiasat itu saja yang tinggal di dalam bilik siasatan. Kesemua banduan yang terlibat dalam proses temuduga telah pun dihantar pulang ke sel masing-masing.



“Betul tuan. Selepas banduan wanita tu pergi ke tandas, dia terus keluar dari bililk. Jadi kami bawa dia balik ke sel,” terang warden penjara.



“Jadi, siapa banduan wanita yang saya temuduga selepas balik dari tandas tadi?” soal pegawai penyiasat itu.



Warden tersebut hanya mengeleng-gelengkan kepala.



Selepas kejadian tersebut, pegawai penyiasat itu tidak berani lagi bercakap besar. Dia juga percaya mkhaluk halus memang wujud dan turut mendiami Penjara Pudu.



Siapa pula gerangan wanita yang kepalanya tercabut dari badan itu?



Sebenarnya sudah ramai banduan atau warden penjara yang dah terserempak dengan ‘banduan wanita’ itu.



Menurut kisah yang diberitahu kepada saya, wanita itu sebenarnya seorang bekas anggota komunis yang ditangkap ketika melakukan serangan hendap di Balai Polis Beranang.



Selepas gerombolan komunis menyerah kalah, ada saki-baki anggota komunis yang masih degil menyerang Balai Polis Beranang untuk merampas senjata. Ketika serangan itu, dua orang rakan lelakinya ditembak mati, manakala wanita itu berjaya ditangkap. Anggota komunis wanita itu seterusnya ditahan dan dipenjarakan di Penjara Pudu.



Wanita itu kemudiannya dijatuhi hukuman gantung. Malangnya, semasa hukuman sedang dijalankan, tali gantung yang digunakan tiba-tiba tidak berfungsi dengan baik dan semasa sedang digantung, tali tersebut telah menghiris leher banduan wanita itu sehingga kepalanya bercerai dari badan.



Sejak itulah, banduan-banduan dan warden Penjara Pudu sering terserempakdan diganggu dengan lembaga wanita ini terutama di blok hukuman gantung.



Ada yang ternampak jelmaannya tanpa kepala, atau dia sedang memegang kepalanya di tangan. Yang paling mengerikan ialah yang pernah jumpa kepalanya yang sedang bergolek-golek di lantai.


:::::::::::::::::::::::::::::::::::::

Kisah ini diceritakan kepada wartawan Mastika, Kairul Anwar Yusop oleh Haji Nor Shahid Mohd Nor, bekas Timbalan Pengarah Penjara. Beliau pernah memegang jawatan Pegawai Penguasa Penjara Pudu dari tahun 1978 hingga 1981 sebelum bersara pada tahun 1989.

Sumber: Mastika, Mei 2011.
 
Last edited:
Back
Top
Log in Register