ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Suasana sedih menyelubungi ahli keluarga dan sahabat yang turut mengiringi jenazah Mohd Hafizi hingga ke tanah perkuburan di Darat Pak Chan semalam.
MARANG - 'Mohd Hafizi seakan pasrah dan tahu ajalnya sudah sampai, dia minta agar kami tidak menaruh harapan tinggi untuk melihat dia kembali pulih,'.
Demikian luahan Zaliha Othman, 56, berhubung kata-kata akhir anaknya, Mohd Hafizi Muda, 29, yang meninggal dunia ketika sedang tidur di rumah mereka di Jalan Bukit Gasing, di Seberang Marang di sini kira-kira jam 6.58 pagi semalam.
Menurut Zaliha, tiga hari sebelum anaknya itu menghembuskan nafas terakhir, dia bersembang mengenai keadaan kesihatan anaknya itu... namun Mohd Hafizi meminta agar Zaliha tidak menaruh harapan lagi.
"Kami percaya perubahan dirinya itu ada hubung kait dengan kejadian kemalangan yang menimpanya dua tahun lalu dan penyakit bengkak hati yang dikesan baru-baru ini.
"Jadi, dia minta kami sekeluarga agar tidak lagi berharap untuk dia meneruskan kehidupannya bersama kami lagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bukit Gasing di Seberang Marang itu, semalam.
Zaliha berkata, sebelum ini Mohd Hafizi pernah berhasrat untuk ke pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) jika dia beransur pulih.
"Dia mahu memohon bantuan kewangan kerana sudah tidak mampu bekerja dan bergerak normal selepas jatuh sakit. Namun, hasratnya itu tidak kesampaian," katanya.
Tambah Zaliha lagi, sebelum ini anaknya itu bekerja sebagai juruukur di Kuala Terengganu sebelum menerima tawaran Lembaga Lebuhraya untuk bekerja di Kuala Lumpur namun berhenti kerja berikutan terbabit dalam kemalangan pada Oktober 2013.
"Dia terlibat kemalangan ketika membonceng motosikal bersama rakan sekerjanya. Tiada kecederaan fizikal yang dialami tetapi selepas itu tahap kesihatannya jadi makin merosot dan terpaksa pulang ke kampung.
"Sepanjang berada di rumah ini, saya beri sepenuh perhatian kepadanya. Tetapi, awal pagi tadi (semalam) dia bangun sekitar jam 4 pagi sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.
Keluarga mangsa kemudiannya melaporkan perkara itu kepada polis dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Darat Pak Chan.