BTC USD 62,068.1 Gold USD 4,328.60
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Merah, emas warna kegemaran

ZONDA

Legendary Member
gem
Messages
14,904
Joined
Feb 8, 2011
Messages
14,904
Reaction score
46
Points
120
image.jpg



“MERAH tua dan warna emas memang warna kegemaran saya. Daripada dahulu sehingga sekarang, saya tetap setia dengan warna-warna tersebut dan tidak pernah jemu,” ujar Zaiton Alias sewaktu saya berkunjung ke rumahnya baru-baru ini.

Memang bertepatan sekali apa yang dikatakan kerana hampir keseluruhan hiasan dalaman rumah teres dua tingkat di Bukit Damansara, Kuala Lumpur itu, adunan daripada dua warna tersebut.

Rona merah tua dan keemasan berpadu cantik dan dapat dilihat pada perabot yang tersusun kemas di ruang tamu.

Dua buah kerusi yang dibeli dari China dengan fabrik bercorak jalur merah dan kuning keemasan diletakkan di tepi dinding utama yang berhadapan dengan keseluruhan ruang tamu.

Ruang ini turut diisi dengan set sofa tiga dan dua dudukan berwarna kuning muda yang dipenuhi dengan beberapa kusyen empat segi. Santai dan tenang berada di ruang tamu ini yang turut dihiasi dengan jambangan-jambangan bunga hidup dan tiruan.

Mengenali Zaiton, sememangnya wanita ini gemar menghias rumah dengan jambangan bunga hidup lebih-lebih lagi apabila ada tetamu yang datang ke rumah.

Bunga-bunga hidup membuatkannya gembira dan seronok apabila berada di rumah.

Katanya, melihat keindahan semula jadi bunga-bunga tersebut dapat menghilangkan kepenatan atau masalah yang dihadapi.

Dia yang sering melancong ke luar negara gemar membeli pelbagai barangan perhiasan rumah seperti barangan kristal, mangkuk kaca yang unik dan sebagainya yang menghiasi atas meja, sudut, di ruang makan dan dapur.

Sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke rumah Zaiton yang telah didiami lebih 30 tahun itu, tidak akan terasa berada di rumah lama kerana konsep hiasannya yang moden dan kontemporari.

Mungkin dari luar tidak terlihat langsung daya tarikannya, namun berbeza apabila masuk ke dalam rumah.

Keseluruhan dinding ruang tamu dihiasi dengan kertas dinding berwarna kekuningan bagi disesuaikan dengan perabot yang ada, sementara hamparan permaidani yang bercorak dan berwarna lembut mengalas lantai.

“Walaupun rumah ini kecil, saya cukup selesa tinggal di sini. Apa yang penting, saya menghias mengikut kehendak saya sendiri dan tidak mahu terikut-ikut dengan cara hiasan orang lain kerana saya mahu melihat apa yang saya suka.

“Semua susun atur perabot saya lakukan sendiri. Setiap tiga bulan, saya mengubah susun atur perabot supaya tidak berasa jemu dan bosan. Jika keluar ke mana-mana dan terlihat barangan atau perabot yang cantik, saya akan beli. Biasanya saya tidak membeli yang besar-besar sekadar yang kecil-kecil sahaja supaya rumah tidak nampak terlalu berserabut,” kata Zaiton.

Bukan hanya menumpukan perhatian menghias di ruang tamu, ruang makan yang terletak di tingkat atas turut dihias. Walaupun ringkas, ada daya tarikannya kerana ruang ini sering menjadi tempat teman-teman berkumpul apabila berkunjung ke rumahnya.

Set meja makan kayu dengan enam kerusi diletakkan di ruang makan ini yang turut dihiasi dengan gambar-gambar keluarga, barangan perhiasan dan balang-balang kaca yang tersusun di atas almari kecil rekaan lama yang baru beberapa bulan dibeli.

Gambar NOOR AZLINA JAAFAR
 
Back
Top
Log in Register