ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
RIYADH 1 Mei - Menteri Luar negara-negara Teluk mengadakan pertemuan di ibu negara Arab Saudi, di sini semalam untuk membincangkan tentang operasi ketenteraan di Yemen, setelah pemberontak Houthi yang disokong Iran enggan mematuhi resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya berundur.
Menteri-menteri dari enam negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) termasuk Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu berkumpul di Riyadh ketika jet-jet pejuang tentera pakatan diketuai Arab Saudi terus melancarkan serangan ke atas kedudukan pemberontakan Houthi.
Menteri Luar Qatar, Khalid al-Attiyah, yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, kempen serangan udara di Yemen menunjukkan komitmen negara-negara pemerintahan beraja di Teluk dalam membantu negara jiran mereka yang diancam.
“Operasi Decisive Storm menunjukkan tanggungjawab GCC terhadap Yemen,” katanya.
Kesemua negara anggota GCC kecuali Oman menyertai tentera pakatan menyerang Yemen.
Negara-negara Teluk akan bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mencapai ‘‘perpaduan dan kedaulatan” di Yemen, katanya, sebelum menteri-menteri itu menyambung mesyuarat mereka secara tertutup.
Iran menafikan dakwaan negara itu membekalkan senjata kepada pemberontak Houthi, sebaliknya menggesa supaya serangan udara dihentikan dan krisis di Yemen diselesaikan melalui rundingan.
Konflik Yemen telah mencetuskan ketengangan di rantau itu dan Iran hari ini berkata, dua kapal pemusnahnya yang dihantar ke Teluk Aden telah tiba di Bab al-Mandab, selat strategik yang terletak antara Yemen dan Djibouti.
Teheran berkata, kapal pemusnah itu akan berada di selat itu sehingga akhir Jun, tetapi menegaskan bahawa kapal-kapal Iran tidak akan memasuki perairan negara-negara lain.
Tentera pakatan telah mengenakan sekatan udara dan laut ke atas Yemen.
Minggu lalu, pegawai Amerika berkata, kapal pengangkut Amerika dan sebuah kapal pengiring beredar dari luar perairan Yemen dan menuju ke Teluk selepas konvoi kapal tentera laut Iran beredar dari perairan itu.
Washington mengesyaki konvoi kapal Iran itu membawa senjata untuk keperluan pemberontak Houthi.
Mesyuarat GCC semalam bertujuan membincangkan persiapan bagi Sidang Kemuncak pemimpin GCC yang akan diadakan Selasa ini, yang akan turut dihadiri Presiden Perancis, Francois Hollande.
Pemimpin-pemimpin GCC yang kebanyakan turut menyertai kempen serangan udara diketuai AS ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria, juga merancang mengadakan pertemuan dengan Presiden AS, Barack Obama pada pertengahan Mei di Washington.
Arab Saudi diwakili Timbalan Menteri Luar Putera Abdul Aziz bin Abdullah pada mesyuarat itu, selepas Putera Saud al-Faisal berundur daripada jawatannya kerana masalah kesihatan.
Raja Salman, semalam melantik Duta Arab Saudi ke Washington, Adel al-Jubeir sebagai Menteri Luar yang baharu menggantikan Putera Saud, yang telah memegang jawatan itu sejak 1975.- AFP