Suka duka Sani
Sani (kanan) berkongsi pengalamannya. FOTO Saiful Iskandar
Kuala Lumpur: Enam bas sudah sedia untuk beroperasi namun tidak mampu membeli bahan api. Itu antara cabaran dihadapi Pengasas Sani Express Sdn Bhd dan Kumpulan Sani United Berhad, Datuk Wan Mohammad Sani Salleh sebelum memulakan perniagaannya pada 2006.
Malah, beliau bersama adiknya bertungkus-lumus menjual tiket bas lebih awal kepada orang ramai di Terengganu dan ibu negara selain terpaksa menunggu hasil jualan berkenaan bagi menyelesaikan masalah itu.
Wan Mohammad Sani berkata, begitu juga dengan perniagan perhotelan yang dijalankan apabila memakan masa hampir dua tahun untuk beroperasi.
"Saya menjangkakan ia dapat dibuka kepada pelanggan dalam tempoh setahun tetapi disebabkan pelbagai masalah dihadapi termasuk tuntutan pelbagai pihak serta pengubahsuaian bangunan menjadikan ia tidak boleh dibuka dalam tempoh ditetapkan.
"Bangunan Sani Hotel pada awalnya adalah bangunan lama iaitu lebih 30 tahun lalu. Jadi, terpaksa diubahsuai dengan sebaiknya untuk keselesaan pelanggan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi jemputan bagi berkongsi pengalaman mengenai perniagaannya kepada SME Bank dan pelanggan bank berkenaan menerusi SME Bank XCESS 2017 di hotel, di sini, semalam.
Menurutnya, pihaknya juga berdepan masalah pemasaran, namun dengan berkat kesabaran dan strategi perniagaan yang efektif termasuk mengiklankan hotel di bas, masalah itu dapat diselesaikan.
"Alhamdulillah, dalam masa enam bulan saya menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai," katanya.
Menurutnya, perlu ada sikap berani untuk menghadapi cabaran, bertanggungjawab dan sentiasa bersiap sedia.
"Saya sendiri tidak pernah terlintas untuk berada di tahap sekarang ini biarpun mempunyai impian menjadi ahli perniagaan sejak remaja lagi," katanya.
Mengimbas kembali sejarah perniagaannya, Mohammad Sani berkata, hasrat untuk menyediakan perkhidmatan bas timbul selepas kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu lebih 20 tahun lalu.
"Saya memulakan perniagaan berdasarkan naluri saya sendiri di samping pengalaman menaiki pengangkutan bas mendorong saya memilih perniagaan ini.
"Berdasarkan peluang yang ada, saya mula membuat kajian, menganalisis dan menyusun strategi bersama beberapa orang rakan perniagaan," katanya.
Katanya, dia mengakui Bank SME banyak membantunya dengan memberi peluang, mencetus dan merealisasikan perniagaannya sehingga hari ini.
"Saya menerima pinjaman sebanyak RM2 juta ketika mahu memulakan perniagaan pada 2006 lalu dan sehingga kini menerima RM100 juta untuk keseluruhan perniagaan.
Katanya, beliau kini dalam perancangan untuk membuka hotel di Langkawi, Melaka dan Pulau Pinang yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Dalam tempoh itu juga saya akan pastikan pengangkutan bas ke seluruh Malaysia serta memfokus industri penerbangan yang hanya membabitkan penerbangan domestik untuk permulaan nanti,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/node/217479