tahun malapetaka alam
Tahun penuh malapetaka alam
Oleh HATA WAHARI (WARTAWAN UTUSAN)
TAHUN 2006 juga dipenuhi dengan tragedi yang berpunca dari taufan, ribut dan banjir yang silih berganti sejak awal tahun lagi malahan apa yang menarik mengenai taufan pada tahun ini ialah pelbagai nama yang diberikan.
Taufan Larry yang melanda Queensland, Australia pada 21 Mac menyebabkan kerugian lebih RM2.8 bilion di samping memusnahkan ladang pisang bernilai RM840 juta dan tebu (RM560 juta).
Namun paling menyedihkan tragedi di China, Vietnam, Jepun, Filipina dan beberapa lagi negara IndoChina yang berhadapan dengan taufan dan ribut silih berganti.
Taufan Chancu pada Mei mengorbankan 104 orang di China,Vietnam, Filipina; taufan Ewiniar menyebabkan 7,600 orang terpaksa dipindahkan manakala di Seoul, Korea lapan orang terbunuh akibat taufan tersebut sementara ribut Bilis yang melanda pada Julai meragut 228 nyawa di tenggara China.
Taufan Kaemi yang membadai Filipina, Taiwan dan China menyebabkan kira-kira 1 juta penduduk terpaksa dipindah di samping kejadian banjir, bekalan elektrik terputus dan sekolah serta pejabat terpaksa ditutup.
Kemudiannya datang pula taufan Prapiroon pada Ogos merupakan taufan keenam melanda China yang menyebabkan 48 orang terkorban dan meranapkan 7,000 buah bangunan di Guandong dengan anggaran kerugian RM1.1 bilion.
Taufan dan ribut lain yang melanda ialah taufan Saomai dan ribut Bpoha di Taiwan serta China, taufan Wukong membadai Jepun kemudian taufan Xangsane ragut 93 nyawa di tiga negara iaitu China, Filipina dan Vietnam yang meragut lebih 250 nyawa.
Filipina juga silih berganti dilanda taufan seperti Taufan Cimaron menyebabkan 13 maut di Manila diikuti taufan Chebi kemudian dilanda taufan Durian yang menyebabkan 469 orang terbunuh dan taufan itu juga melanda Vietnam yang menyebabkan 70 orang terbunuh, taufan Utor pula melanda pada Disember yang menyaksikan puluhan ribu penduduk terpaksa berlindung di pusat perlindungan sementara.
Banjir juga merupakan elemen utama menyebabkan tragedi menyayat hati yang berlaku di dunia tahun ini, Indonesia dan Filipina merupakan negara yang paling banyak dilanda bencana tersebut.
Korban banjir di Indonesia bermula seawal Januari apabila kira-kira 25 orang terbunuh manakala 100 lagi tertimbus dalam tanah runtuh di Jawa Tengah manakala korban banjir di Sulawesi pada Jun menyebabkan korban mencecah 250 orang apabila hujan turun tidak berhenti-henti selama beberapa hari.
Cuaca pada tahun ini sentiasa berubah ketika hujan ribut di Asia terutama di Asia Tenggara manakala di Amerika Syarikat pula cuaca panas melanda pada Januari terutama di barat daya negara itu tetapi di California lain pula ceritanya, ribut menyebabkan banjir di mana 4,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah dan Gabenor California Arnold Schwarzenegger terpaksa mengisytiharkan keadaan darurat.
Tahun 2006 juga menyaksikan gempa bumi terus menghantui masyarakat dunia.
Sekurang-kurangnya berlaku enam gempa bumi kuat di mana kejadian yang mengorbankan angka yang tinggi ialah gempa bumi di Yogyakarta pada 27 Mei berukuran 6.3 pada skala Richter.
Korban gempa bumi itu mencecah 6,234 orang manakala 46,000 cedera sementara 340,000 penduduk terpaksa dipindahkan dan 217,000 buah rumah musnah.
Indonesia sekali lagi di landa gempa bumi pada 17 Julai berukuran 6.8 pada skala Richter di dasar Lautan Hindi berpusat kira-kira 620 kilometer di selatan Bandung yang menyebabkan berlakunya tsunami mengorbankan 700 orang di selatan Jawa Barat dan Jawa Tengah.