ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Kelihatan ahli keluarga masih terkejut dengan insiden berkenaan.
REMBAU - "Dua hari lepas arwah ada cerita kepada saya, dia bermimpi didatangi orang alim berpakaian serba putih yang menasihatinya untuk tidak mencari harta dunia tetapi harta di akhirat."
Harun Dahlan, 55, meluahkan demikian ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, semalam.
Malam kelmarin, sekitar jam 9.00, anak saudaranya, Mohd Amar Abd Rahman, 29, berasal dari Kampung Senama Ulu, di sini, maut kemalangan di kilometer 26, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Pekan Rembau.
Menurut Harun, arwah baru sahaja pulang ke kampung halaman dan bekerja sendiri di sini serta tinggal bersama ibu saudaranya, Ramlah Dahlan, 50, susulan sudah kematian ibu sejak beberapa tahun lalu.
"Arwah menangis menceritakan mimpinya kepada saya. Dia menangis dan bertanya apa perlu dilakukannya untuk menebus dosa-dosa lalu.
"Saya nasihatkan dia jangan terlalu banyak berfikir dan segera bertaubat kerana Allah lebih mengetahui. Malah sejak sebulan sebelum kejadian, arwah sering ikut saya berjemaah di surau berdekatan termasuk solat Subuh," katanya.
Harun berkata, dua hari sebelum kejadian, ahli keluarga menyedari arwah lebih banyak berdiam diri dan lebih suka termenung serta menghabiskan masanya seorang diri berbanding berbual dengan ahli keluarga termasuk anak buahnya yang baru berusia tiga minggu.
Mohd Amar, anak sulung daripada dua beradik, sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur sebagai pelukis pelan serta pekerjaan berkaitan teknologi maklumat, pulang ke kampung sejak tiga bulan lepas melakukan kerja yang sama atas permintaan rakan-rakan.
"Saya terkejut apabila dapat tahu dia kemalangan dan segera ke tempat kejadian. Sebaik tiba, saya lihat tubuhnya sudah ditutupi kain," kata Harun.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, sehingga kini (jam 12.00 tengah hari), polis masih belum menerima laporan daripada kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave maut dipercayai digilis kenderaan berat.
"Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Tengku Mohd Redzuan Tengku Ishak di talian 06-6852222.
"Mangsa maut di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Tampin untuk proses bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.