balqis07
CG Top Poster Club

- Messages
- 30,953
Paid Membership
- Joined
- Jan 27, 2010
- Messages
- 30,953
- Reaction score
- 294
- Points
- 136
Shah Alam
Walaupun pihak berkuasa sering menjalankan operasi membanteras mat rempit, namun Dataran Shah Alam dan Dataran Kemerdekaan, di sini, masih lagi menjadi ‘port’ wajib golongan itu setiap hujung minggu.
Bukan sekali, malah saban minggu Bahagian Trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menjalankan operasi di kawasan berkenaan bagi mengesan mereka yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Bagai ‘mencurah air di daun keladi’, kehadiran mat rempit di kawasan itu masih tidak berkurangan dan pada malam minggu tertentu jumlah mereka lebih ramai seakan tidak gentar dengan operasi pihak berkuasa.
Seawal jam 10 malam, kawasan itu dipenuhi ratusan motosikal yang akan ‘bersidai’ di tepi jalan sehingga awal pagi yang ternyata mencacatkan pemandangan dan suasana.
Ini kerana, kawasan dataran itu turut dijadikan kawasan riadah mereka yang berkeluarga untuk anak kecil bermain di kawasan padang bersebelahan, namun aksi mat rempit yang membuat bising dengan enjin deruan motosikal masing-masing sememangnya mengganggu.
Penduduk dari Batu 3, di sini, Muhammad Hidayat Abd Jamil, 29, berkata, sepatutnya kedua-dua lokasi berkenaan dijadikan antara tarikan kepada pelancong yang datang dari luar daerah ini kerana lokasinya sesuai untuk aktiviti riadah dan bersantai.
“Setiap malam minggu keadaan di kedua-dua dataran berubah wajah apabila dipenuhi dengan golongan mat rempit mempamerkan pelbagai aksi yang menyebabkan rasa tidak selesa terutama kepada kepada mereka yang membawa anak kecil dan keluarga.
“Selain itu, aksi mereka ini secara tidak langsung akan membahayakan keselamatan kepada pengunjung lain selain berlaku pencemaran bunyi yang mengganggu aktiviti riadah dan santai,” katanya.
Menurutnya, kehadiran mat rempit itu sekali gus boleh mencemarkan imej bandar raya ini dan berharap pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian bagi mencegahnya daripada terus menjadi kudis terutama dalam kalangan golongan muda.
Katanya, pihak berkuasa diharap bertindak lebih tegas agar mat rempit berkenaan tidak terus mencabar undang-undang selain tidak mengendahkan keselesaan orang ramai yang turut berkunjung di dataran itu pada malam minggu.
Wartawan berkesempatan meninjau keadaan di dua lokasi terbabit dan sempat berbual dengan seorang mat rempit dikenali sebagai Fikri, 20, dari Jalan Kebun, di sini.
Menurut Fikri, pada kebiasaannya mereka berkumpul di dataran berkenaan sebelum bergerak ke lokasi lain sama ada berpusing-pusing di kawasan Shah Alam atau ke Kuala Lumpur dan Klang.
Dia yang terjebak dengan aktiviti merempit sejak di bangku sekolah menengah berkata, kebiasaannya ibu bapanya mengetahui berkenaan kegiatan merempit dan sering melarangnya namun dia tidak mengendahkannya.
“Saya rasa puas apabila dapat meronda dan melakukan aksi dengan kawan. Dan semestinya malam minggu menjadi malam besar bagi kami untuk melepaskan kepuasan itu.
“Bagaimanapun, masih wujud kebimbangan dalam diri sekiranya saya ditahan pihak berkuasa,” katanya.
sumber:http://www.hmetro.com.my/node/57712