afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,296
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,296
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Mana kompas moral parti Melayu-Islam, soal Mujahid
Semalam, Yang di-Pertuan Agong memperkenan Najib Razak menjalani baki hukuman penjara 6 tahun sebagai tahanan di rumah, susulan sabitannya dalam kes SRC International, dengan syarat bekas PM itu bayar denda RM50 juta.
Bekas menteri agama itu berkata, beliau menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong mengurniakan pengampunan bersyarat itu, namun amat bimbang melihat cara Umno dan PAS meraikan keputusan itu seolah-olah suatu kemenangan.
“Di mana maruah kita apabila sabitan kesalahan seperti ini tidak lagi menjadi perkara yang memalukan, tetapi disambut dengan kemenangan, kemenangan meraikan seorang yang sabit kesalahannya di mahkamah?” soalnya dalam kenyataan.
“Lebih membimbangkan apabila Umno mula mengutip wang ahli untuk membantu pesalah membayar denda RM50 juta. Ini bukan kutipan membantu orang miskin atau orang yang ditimpa musibah. Ini kutipan untuk membantu seorang bekas perdana menteri yang didapati bersalah daripada sabitan mahkamah.”
Mujahid berkata, Umno dan PAS mesti membezakan antara menghormati keputusan Agong dengan tindakan meraikan seorang pemimpin yang sabitan kesalahannya masih kekal dalam rekod.
Tambahnya, kehilangan keberanian moral untuk berpendirian tegas menentang rasuah hanya akan menyebabkan Umno dan PAS tidak lagi mampu membela maruah bangsa Melayu dan umat Islam.
“Apa sudah jadi kepada kompas moral politik orang Melayu kita? Tiba masanya orang Melayu membuat keputusan penting perihal maruah mereka,” katanya.
“Jangan biarkan maruah Melayu diperwakilkan kepada mereka yang menormalisasikan jenayah, kelak generasi hadapan akan menganggap jenayah rasuah adalah satu keperwiraan bagi orang-orang Melayu.”
Umno dan PAS sebelum ini menyambut baik pengampunan bersyarat Najib, dengan Umno melancarkan tabung kutipan kilat bagi membantu bekas presidennya itu melunaskan denda RM50 juta supaya dia boleh menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Presiden Umno Zahid Hamidi, turut menzahirkan harapan agar perkembangan ini dapat menyuntik momentum kepada Barisan Nasional (BN) menjelang PRN Melaka akan datang.
Sementara itu, PAS menyatakan rasa syukur atas pengampunan Najib kerana percaya bekas perdana menteri itu masih mampu menyumbang kepada negara walaupun berstatus tahanan di rumah.
Wawasan, yang juga komponen Perikatan Nasional (PN), menzahirkan rasa lega kerana keputusan itu berjaya menoktahkan polemik berhubung isu pengampunan Najib, manakala satu lagi parti anggota PN, Pejuang, menggesa penjelasan terperinci mengenai mekanisme serta syarat yang melayakkan banduan menjalani tahanan di rumah.
