Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,766
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,766
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Kredit: Fb Dato' Seri Tiong King Sing
Malaysia dan Indonesia bersetuju memperkukuh kerjasama industri pelancongan dengan menumpukan kepada pembangunan produk pelbagai segmen termasuk pengalaman budaya, pertukaran pendidikan serta pelancongan kesihatan dan kesejahteraan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata persetujuan itu dicapai semasa beliau menghadiri majlis makan malam bersama wakil persatuan industri pelancongan utama Indonesia dalam rangka lawatan kerja ke negara itu, baru-baru ini.
“Semua pihak bersetuju kandungan produk pelancongan perlu terus diperkaya, merangkumi pengalaman budaya, pertukaran pendidikan serta pelancongan kesihatan dan kesejahteraan bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pelawat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata pemulihan pelancongan serantau yang semakin ketara turut membuka peluang kepada Malaysia turut memanfaatkan kedudukannya sebagai hab transit, dalam menarik pelawat dari Eropah dan pasaran jarak jauh yang lain.
Antara fokus utama ialah mempergiat pembangunan pelancongan Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE), di samping memanfaatkan peningkatan permintaan dalam sektor pelancongan perubatan dan kesihatan.
Selain itu, pelajar Indonesia dan warga emas dikenal pasti sebagai segmen berpotensi melalui pelaksanaan program pertukaran pelajar serta pembangunan pakej pelancongan mesra warga emas, khususnya bagi merangsang ketibaan pelawat pada musim luar puncak.
Dalam masa sama, kedua-dua pihak turut meneliti peluasan kerjasama dalam pelancongan pendidikan, termasuk memperkukuh jaringan antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah di kedua-dua negara.
“Memandangkan Indonesia mempunyai lebih 3,000 Institusi Pengajian Tinggi dan sistem sekolah menengah yang luas, ruang kerjasama dalam bidang ini amat terbuka lebar,” katanya.
Dari segi ketersambungan, peningkatan laluan penerbangan termasuk melalui Malaysia Airlines dan syarikat lain dicadangkan bagi memperkukuh kapasiti penerbangan serantau dan jarak jauh, sekali gus berpotensi menarik lebih ramai pelawat antarabangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi transit.
Malaysia-Indonesia Fokus Pelancongan Pelbagai Segmen, Pertukaran Budaya - Tiong
Malaysia, Indonesia, pelancongan, kerjasama, Tion