BTC USD 62,128.6 Gold USD 4,466.23
Time now: Jun 1, 12:00 AM

MALAM TERAKHIR P.RAMLEE

soybean

CG Hardcore Club
gemgem
Messages
63,243
Paid Membership
Joined
Feb 15, 2009
Messages
63,243
Reaction score
4,135
Points
661
MALAM TERAKHIR P.RAMLEE
28 May 1973.

241177651_823277284887651_4152352762481714148_n.jpg


Dalam jam 9.00 malam, P.Ramlee duduk termenung di satu sudut di rumahnya sambil memetik bibir meja seolah-olah berfikir sesuatu. Tiba-tiba beliau bangun terus menuju ke telefon lalu mendail nombor telefon seseorang.

"Boleh kita jumpa malam ini di Shah Motel, kerana saya ingin berbincang dengan saudara mengenai skrip filem Azizah yang saudara tulis itu".

Disebabkan ada perkara yang lebih penting, individu itu tidak dapat bertemu P.Ramlee pada malam itu dan meminta untuk bertemu dengan P.Ramlee pada keesokkan harinya dan P.Ramlee juga bersetuju. Sebelum mengakhiri perbualan sempat P. Ramlee menyanyikan lagu Azizah buat temannya itu.

Azizah merupakan lagu pertama yang dicipta oleh P.Ramlee sejak di Pulau Pinang. Lagu itu sangat dekat dengan sejarah hidup P.Ramlee, maka dengan itu P.Ramlee bercadang untuk meriwayatkan lagu Azizah di layar perak.

Pada waktu subuh dalam jam 5.30 pagi, sekali lagi telefon rumah teman P.Ramlee berdering. Kali ini bukan panggilan dari P.Ramlee tetapi Saloma yang memaklumkan bahawa P.Ramlee telah meninggal dunia.

"Encik Osman, abang Ramlee sudah tiada!".

Apabila mendengar sahaja perkhabaran itu, beliau terus jadi bingung seolah-olah tidak percaya kerana malam semalam baharu beliau bercakap dengan P.Ramlee melalui telefon.

Begitulah catatan dari Osman Abadi atau nama sebenarnya Osman Mahmud Baginda, bekas Ketua Pengarang Kumpulan (Majalah) Utusan Melayu. Osman Abadi pernah terlibat dalam dua buah filem arahan P.Ramlee sebelum ini iaitu Gelora dan Putus Sudah Kaseh Sayang sebagai penulis cerita dan skrip.

Teks : HAR
Sumber :
Catatan Osman Abadi, Utusan Malaysia, 30 Mei 1973.
Majallah Filem, bil. 160, Julai 1973
 
GAMBAR TERAKHIR Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. RAMLEE

1 - Gambar ini di ambil pada hari Isnin 21 Mei 1973, lapan hari sebelum Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia pada waktu subuh hari Selasa 29 Mei 1973.

2 - Sedikit kronologi sebelum P. Ramlee meninggal dunia yang pernah diceritakan oleh anak kesayangannya Sazali. Menurut Sazali sebelum bapanya meninggal, beliau telah mengadu kepada Saloma yang beliau sakit dada.

3 - Saloma menawarkan untuk menghantar P. Ramlee ke hospital tetapi beliau menolak dengan memberi alasan ianya hanya disebabkan oleh angin dalam badan. Lantas P. Ramlee meminta Saloma hanya menyapu Tiger Balm di dadanya.

4 - Sekitar jam 5:30 pagi, P. Ramlee sekali lagi mengadu pada Saloma yang sakit dadanya menyerang kembali. Kali ini lebih sakit dari serangan pertama.

5 - Keadaan bertambah panik apabila P. Ramlee meronta-ronta sambil mengatakan, "I mesti mati, sekejap lagi I mesti mati,” kepada Saloma.

6 - P. Ramlee juga sempat memesan kepada anak-anak beliau yang ada di sisinya pada ketika itu supaya menjaga Saloma dengan baik jika ditakdirkan beliau tiada lagi.

7 - Setelah beberapa minit, P. Ramlee diam tanpa berkata-apa. Tubuh badannya pun tidak lagi bergerak. Saloma dan anak-anaknya menjangkakan yang P. Ramlee hanya pengsan lalu segera menelefon ambulans untuk meminta bantuan.

8 - Apabila sampai di Hospital Kuala Lumpur, P. Ramlee disahkan oleh doktor telah meninggal dunia.

9 - Menurut Nasir, tiada bedah siasat dilakukan ke atas jenazah P. Ramlee. "Kami menerimanya dalam keadaan yang sempurna," kata Nasir. Jenazah P. Ramlee kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Jalan Dedap yang pada ketika itu sudah ramai didatangi oleh rakan-rakan dan peminat sejurus mendapat tahu P. Ramlee meninggal dunia.

10 - Selepas dimandikan, jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Kampung Baru dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Jalan Ampang.

11 - Tetapi tahukah anda bahawa pelakon Allahyarham M. Rajoli-lah yang membacakan Talkin pada hari pengebumian P. Ramlee, yang ketika itu sedang berkhidmat sebagai salah seorang imam di Masjid Jamek Kampung Baru.

A L - F A T I H A H

ARTIKEL ASAL : https://www.thepatriots.asia/archives/3468

FB_IMG_1631464846103.jpg
 
DENDAM PADA P.RAMLEE TIDAK PERNAH PADAM

Di era kegemilangan filem Melayu di Jalan Ampas, bukan semua orang suka pada P.Ramlee. Sejak hari pertama P.Ramlee menjejakkan kaki ke studio Jalan Ampas hingga beliau berhijrah ke Kuala Lumpur beliau masih mempunyai musuh.

Ketika L.Krishnan memperkenalkan P.Ramlee buat kali pertama sebagai hero melalui filem Bakti pada tahun 1950, bertambah ramai musuh P.Ramlee. Musuh P.Ramlee dalam kalangan kawan-kawannya sendiri. Apabila nama P.Ramlee telah sampai ke puncak kemahsyuran makin bertambah-tambah musuh P.Ramlee.

Jangan terkejut sebenarnya ada dalam kalangan yang menjadi musuh P.Ramlee itu adalah orang yang nampak rapat dengan P.Ramlee. Perkara ini pernah diceritakan sendiri oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain pada satu forum Bicara Seniman Agung di Universiti Malaya pada tahun 2001. Dalam buku tulisannya yang bertajuk Kisah Hidup Seniman Agung juga ada menyatakan perkara ini.

Musuh-musuh P.Ramlee ini bukan hanya sekadar mengata dan mengutuk P.Ramlee di belakang P.Ramlee sahaja. Malahan mereka juga pernah merancang untuk mencederakan P.Ramlee dengan merosakkan wajahnya. Anggapan mereka apabila rosaknya wajah P.Ramlee dengan sendirinya populariti P.Ramlee akan lenyap. Mereka berpendapat selagi wajah P.Ramlee masih kekal dalam keadaan begitu sampai bila-bila pun nama mereka akan tenggelam dalam dunia filem Melayu.

Allah itu maha kaya, niat buruk untuk mencederakan wajah P.Ramlee akhirnya terbongkar. Rahasia komplot itu akhirnya telah sampai ke pengetahuan Jasni Ahmad. Jasni Ahmad adalah suami kepada Neng Yatimah dan bapa kepada Rosyatimah adalah seorang penyanyi piring hitam. Jasni atau lebih dikenali sebagai Wak Jasni adalah seorang yang sangat disegani dan berpengaruh di Singapura. Ada juga yang menggelarkan beliau sebagai ketua samseng di Singapura. Wak Jasni telah menjalankan siasatan akan komplot mencederakan wajah P.Ramlee ini dan telah memberi amaran kepada mereka sekiranya perkara ini berlaku mereka semua akan menerima akibatnya. Oleh kerana golongan musuh P.Ramlee ini segan dan takut dengan Wak Jasni mereka telah membatalkan perancangan mereka itu dan memohon maaf pada P.Ramlee.

Hakikat yang nyata P.Ramlee sememangnya berjaya dan hebat bukan atas usaha beliau seorang. Beliau memerlukan bantuan rakan-rakan beliau yang berkebolehan dalam bidang masing-masing demi kelansungan sesebuah karya. Tetapi P.Ramlee mempunyai satu bakat yang luar biasa anugerah dari Allah yang membuatkan sentuhannya itu menjadi.

Dari penulis cerita, penulis skrip, penulis lirik, penggubah lagu, jurugambar, jurukamera, penata cahaya, penolong pengarah dan juga pelakon semuanya memainkan peranan yang besar kepada P.Ramlee.

Teks : HAR

Sumber :

P.Ramlee Seniman Agung (1984) – ABI
Filem Melayu Dahulu Dan Kini (1986) – ABI
Gagak Di-Rimba (1966) – Abdullah Hussain
Kisah Hidup Seniman Agung (1979) – Abdullah Hussain
Erti Yang Sakti (1999) – Tun Ahmad Sarji
Bapaku P.Ramlee (2007) – Nasir P.Ramlee
Sukardi Suradi
Dato' Seri Dr. Ahmad Nawab

FB_IMG_1633703077875.jpg
 
P. RAMLEE BERSEDIH

Berikut adalah laporan dari wartawan bernama Hamidon Bahari yang disiarkan oleh Berita Harian, 23 Jun 1968 dengan tajuk akhbar “P. Ramlee Bersara”:-

-----------------------------------------------------------

Pengumuman P. Ramlee bahawa ia akan bersara dari berlakon dalam filem seakan-akan tidak dapat dipercayai oleh peminat-peminatnya. Sebabnya, P. Ramlee bukan baharu dalam dunia filem. Ia telah menghabiskan masa hidupnya selama 20 tahun dengan berlakon. Dan berlakon telah menjadi darah dagingnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang keputusannya itu, saya telah menemui P. Ramlee di Studio Merdeka beberapa hari yang lalu.

Ketika saya tiba di studio itu, biduan, seniman dan pengarah agong P. Ramlee sedang sibuk bertugas. Ia sedang mengarahkan filemnya yang terbaharu “Ahmad Albab”, sebuah filem komedi bercorak Arab. Tapi yang agak berbeza sedikit hari itu bahawa P. Ramlee kelihatan tidak begitu riang seperti selalu. Selalunya P. Ramlee suka berjenaka atau sekurang-kurangnya senyum-senyum manis bila terpandang siapa sahaja. Hari itu ia kelihatan seperti orang banyak berfikir. Sambil mengarah P. Ramlee banyak berhenti dan berjalan ke hujung pangkal, tunduk dan memandang jauh ke depan.

“Inilah filem terakhir saya berlakon.” Kata P. Ramlee sesudah ia selesai bertugas tengah hari itu.

Mengapa Abang Ramlee tidak mahu berlakon lagi?

P. Ramlee yang berusia 40 tahun itu dan pernah terpilih sebagai pelakon dan penggubah muzik terbaik di seluruh Asia dalam Pesta Filem di Tokyo tahun 1957 itu menjawab dengan nada seakan-akan merajuk.

“Saya dah tua. Dah lama saya berlakon. Orang-orang pun dah tak suka saya lagi. Peminat-peminat saya pun semua dah kahwin dah beranak dan dah sembahyang.”

Tapi bintang-bintang filem di Barat banyak yang lebih tua lagi?

“Di Barat lain, di sini lain.” Jawabnya tegas.

Setelah diam seketika ia menyambung lagi: “Sekarang dah banyak perubahan. Dah banyak orang pandai. Mereka suka tengok filem-filem Barat.”

“Kalau P. Ramlee berlakon siapa nak tengok. Nanti budak-budak universiti tanya apa kelulusan P. Ramlee tu.” Tambahnya.

P. Ramlee juga menyebut bahawa orang sekarang hidup berkelas-kelas. “Kelas satu, kelas dua dan kita ni kelas ketiga.”

Ditanya apakah rancangannya di masa depan . P. Ramlee yang pernah menerima kurnia pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dari Yang di-Pertuan Agong Ketiga dalam tahun 1964 dulu, menjawab:

“Saya nak jadi pengarah saja. Saya nak pakai lawa. Pakai tai, macam pengarah-pengarah lain. Macam Jamil Sulong, macam Omar Rojik.”

“Saya dah puas pakai baju panas. Pakai selipar hari-hari datang ke studio macam ini.” Katanya sambil menjinjit baju panas berleher yang dipakainya.

Ia menambah: “Lagipun sekarang saya dah senang sedikit. Saya dah letih jadi budak filem editor. Kalau tidak, kerja itupun saya buat sendiri. Pecah kepala. Mana nak buat cerita, nak buat lagu, nak berlakon dan nak mengarah.”

Tapi kalau peminat-peminat Abang Ramlee minta Abang Ramlee berlakon lagi?

Sekarang pun saya dah terima banyak surat. Mereka minta saya jangan berhenti berlakon. Telefon pun banyak juga. Hari ini pun saya ada terima telefon. Dari Kedah pun ada.” Katanya.

“Tapi macam mana pun saya nak berehat dulu. Kalau pun saya nak berlakon. Lama lagi. Atau pun ada banyak permintaan.” Kata P. Ramlee.

Ditanya adakah ia akan mengarahkan filem-filem jenaka juga selepas ini, P. Ramlee menjawab, bahawa ia ingin mengubah corak arahannya kepada cerita-cerita action.

“Saya nak kasi orang-orang hairan pulak.” Katanya.

Bagaimanapun setakat ini P. Ramlee belum menyebut apakah cerita yang akan difilemkannya nanti.

Menyentuh tentang kemerosotan filem-filem Melayu sekarang, P. Ramlee memberi empat sebab. Pertama: kejatuhan harga getah. Kedua: kerana televisyen. Ketiga: filem-filem luar negeri terlalu banyak diimport dan keempat: orang-orang Melayu sendiri tidak suka tengok filem-filem Melayu.

Ditanya mengapa ia tidak merakamkan lagu-lagu baru lagi ke piring hitam sekarang. Biduan yang suaranya masih seperti dulu juga itu menjawab:

“Ada. Baru-baru ini saya ada rakamkan 12 lagu. Empat lagu sudah pun keluar rekodnya – lagu-lagu “Senjakala”, “Bulan Mengambang”, “Dewi Ilhamku”, dan “Terbang burung terbang.”

Tapi jarang-jarang benar suara Abang Ramlee kedengaran di radio sekarang?

“Entahlah. Saya pun tak tau kenapa.” Katanya.

SUMBER: Microfilm Reel NL5468

[Legasi Pemikir – LEKIR]
 
Mengemis di negara sendiri.

Zaman berubah tu betul.

Kalau kerajaan support dia, boleh gi jauh lagi tu.

Tapi memang fahamlah bila dia kata dah penat.
 
Back
Top
Log in Register