Majikan lebih 400 pekerja hijrahan tidak dibayar gaji sudah pulang ke SG: MOM
Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash bercakap kepada media di Kranji Recreation Centre pada 28 Jun 2026. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
SINGAPURA: Majikan kepada lebih 400 pekerja hijrahan yang tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sudah pulang ke Singapura, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash pada Ahad (28 Jun).
Penduduk tetap Singapura (PR), Ramu Palani Velu kini sedang membantu dalam siasatan dan pasportnya dirampas.
IKLAN
Encik Velu ialah pengarah KPA Engineering dan SK Industries, dan disenaraikan sebagai pengarah bagi lima lagi syarikat Singapura, termasuk VVR Plant Engineering - di mana para pekerja syarikat itu tidak dibayar gaji selama beberapa bulan.
Bercakap kepada wartawan semasa lawatan ke Kranji Recreation Centre, di mana beliau bertemu dengan para pekerja daripada ketiga-tiga firma, Encik Dinesh berkata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengambil serius pelanggaran Akta Pekerjaan dan Akta Pekerjaan Tenaga Kerja Asing, dan tindakan akan diambil jika perlu.
Ratusan pekerja dari KPA Engineering dan SK Industries mendapatkan bantuan pada awal minggu ini berhubung gaji tidak dibayar.
Lebih 100 pekerja juga hadir di pusat khidmat MOM di Bendemeer.
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Pusat Pekerja Hijrahan (MWC) menyatakan mereka akan menggunakan dana masing-masing untuk memberikan wang tunai S$200 dan baucar untuk perbelanjaan harian kepada setiap pekerja, selagi pekerja itu adalah anggota MWC atau berdaftar sebagai anggota.
IKLAN
Ketua buruh Ng Chee Meng berkata pada Jumaat bahawa lebih 80 syarikat menawarkan hampir 400 kerja kosong, dengan penempatannya dijadual bermula pada minggu depan.
Beliau menambah para pekerja akan dipindahkan ke kemudahan penginapan tunggal untuk menyelaraskan sokongan dengan lebih baik.
Majikan lebih 400 pekerja hijrahan tidak dibayar gaji sudah pulang ke SG: MOM
Majikan kepada lebih 400 pekerja hijrahan yang tidak dibayar gaji selama beberapa bulan sudah pulang ke Singapura, kata Menteri Negara Tenaga Manusia Dinesh Vasu Dash pada Ahad (28 Jun).