ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
SEPANG 5 Mei - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengorak langkah untuk kukuhkan kedudukan dalam industri penerbangan antarabangsa dengan melakukan bidaan untuk merebut projek mengendali, mengurus dan menyelenggara Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz (KAIA) Jeddah di Arab Saudi.
Ketua Pegawai Operasi MAHB, Datuk Abd. Hamid Mohd. Ali berkata, syarikat pengendali lapangan terbang dari Malaysia itu telah lulus dalam penilaian kelayakan yang dilakukan pihak berkuasa Arab Saudi.
“Kelulusan ini sekali gus melayakkan kita memasuki peringkat pembidaan. Keadaan ini bermakna MAHB perlu bersaing dengan pengendali-pengendali lapangan terbang terkemuka lain dari seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat agung tahunan MAHB di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
MAHB pada masa ini mengendalikan 39 buah lapangan terbang di Malaysia selain mempunyai operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi di Hyderabad, India dan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen, Istanbul di Turki.
Syarikat pengendali lapangan terbang itu pada masa yang sama menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Doha, Qatar.
Sekiranya MAHB berjaya membida hak operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, syarikat yang membawa jenama Malaysia itu akan memainkan peranan dan skop tugas yang lebih besar di Jeddah berbanding Doha.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, MAHB pada masa ini merupakan syarikat pengendali lapangan terbang kedua terbesar di dunia dengan hanya ketinggalan di belakang sebuah syarikat dari Sepanyol.
Beliau berkata, MAHB sentiasa mengintai peluang perniagaan yang ditawarkan oleh lapangan-lapangan terbang seluruh dunia dengan fokus kepada rantau Asia termasuk Asia Barat yang menjanjikan peluang yang baik.
“Kita bagaimanapun tidak mempunyai sebarang sasaran spesifik untuk menjadi kumpulan syarikat pengendali lapangan terbang paling besar dunia walaupun kita sudah menjadi antara yang terbesar.
“Apa yang penting ialah pengembangan perniagaan ke luar negara dapat menjana pendapatan dan memberi nilai tambah. Pengembangan operasi umpamanya akan meningkatkan reputasi MAHB dalam kalangan rakan kerjasama dan rakan ekuiti yang lain,” katanya.
Ditanya sama ada MAHB mempunyai sasaran baharu selain Jeddah, Badlisham berkata, pihaknya bersedia untuk merebut apa jua peluang yang ditawarkan tidak kira dalam bidang operasi atau penyediaan latihan dalam pengendalian lapangan terbang.
“Sesetengah (projek) sedang dibincangkan atau di peringkat prapenilaian,” katanya.