ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Ibrahim (kiri) dan Mohd Radzif melihat dokumen perjanjian yang ditandatangani antara Mara dan SME Bank dalam satu majlis di Kuala Lumpur, semalam.
USAHAWAN mikro Bumiputera kini lebih mudah untuk membesarkan perniagaan mereka sehingga ke taraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui kerjasama terbaru antara Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan SME Bank yang ditandatangani, semalam.
Perjanjian itu adalah susulan daripada kolaborasi terjalin sejak sekian lama antara Mara dan SME Bank yang bersetuju menjalinkan kerjasama strategik dalam pelbagai aktiviti yang bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta usahawan Bumiputera.
Ketua Pengarah Mara Datuk Ibrahim Ahmad berkata, melalui kerjasama itu, usahawan mikro Bumiputera yang memerlukan pembiayaan bernilai lebih besar akan diserahkan kepada SME Bank bagi melicinkan lagi perjalanan mereka untuk membesarkan perniagaan.
"Pinjaman pembiayaan Mara ada had sehingga RM500,000. Jadi jika ada usahawan yang datang kepada kita dan perlukan pinjaman RM1 juta, kita akan secara terus hubungi SME Bank (untuk membantu usahawan tersebut).
"Mara kini ada 60,000 usahawan mikro dan jika mereka boleh besarkan perniagaan menjadi PKS, lebih banyak pekerjaan boleh dihasilkan di negara ini," katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Mara dan SME Bank di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu, Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, kelicinan dalam proses membesarkan perniagaan daripada mikro kepada PKS akan memudahkan usahawan di negara ini mencatat kadar pertumbuhan perniagaan berlipat kali ganda.
"Kerjasama ini adalah untuk meningkatkan keupayaan usahawan dan menyediakan ekosistem untuk menaik taraf daripada perniagaan mikro kepada PKS.
"Setakat ini, kita telah mengenal pasti 61 usahawan mikro Mara (yang berpotensi menjadi PKS)," katanya.
Pelajar Mara perlu jadi pencipta kerja, bukan sekadar pencari kerja
Sebelum itu, dalam ucapannya, Ibrahim menegaskan untuk mencapai matlamat menjadi negara maju, Malaysia terlebih dahulu perlu menjadi negara yang mempunyai budaya keusahawanan.
"Hari ini, kita hidup dalam era keusahawanan, ianya sudah menjadi budaya.
"Sebelum boleh menjadi negara usahawan, kita memerlukan masyarakat usahawan. Untuk hasilkan masyarakat usahawan, kita perlu hasilkan individu yang ada ciri-ciri keusahawanan," katanya.
Menurut beliau, berdasarkan matlamat itu, Mara menerusi bahagian pendidikannya berusaha memastikan lebih 160,000 pelajar yang kini dibimbing di bawah agensi itu bukan sekadar menjadi individu yang mencari kerja apabila tamat pembelajaran sebaliknya menjadi pencipta peluang pekerjaan.
Ibrahim berkata, proses mengubah mentaliti itu perlu dibuat oleh agensi seperti Mara dan SME Bank dan beliau mengharapkan kerjasama yang dipersetujui kedua-dua pihak itu akan membantu negara membina masyarakat perdagangan yang boleh menghasilkan banyak pekerjaan.
Selain pinjaman perniagaan, perjanjian itu akan turut menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dalam menjalankan program pembangunan usahawan dan latihan serta rundingan dalam aspek keusahawanan, pendidikan, pelaburan serta pengurusan dan pentadbiran.
Antara aktiviti bersama yang dirancang adalah perkongsian maklumat usahawan, mengoptimumkan kemudahan yang dimiliki kedua-dua agensi serta kerjasama menganjurkan aktiviti keusahawanan seperti usaha promosi, pemasaran serta program peningkatan keupayaan.