ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
SANGGUP ‘memperjudikan’ nyawa semata-mata ingin memuaskan hati, secara tidak langsung mencerminkan personaliti individu ini.
Bukannya tidak pernah memikirkan sebarang risiko apabila bersetuju untuk melakukan pelbagai aksi lagak ngeri, tetapi menurutnya, aksi-aksi berani dan berbahaya itu seakan telah sebati dalam diri sejak remaja lagi.
Ini kerana, pada zaman remajanya dia merupakan seorang ‘mat rempit’ tegar. Jalan raya mana di Kuala Lumpur ini yang tidak pernah ‘dijelajahi’ dengan motosikalnya setiap malam hujung minggu.
Sejarah silam itu sedikit sebanyak telah membentuk siapa Shahfiez Shamsuri, 36, pada hari ini, seorang pelakon aksi lagak ngeri profesional.
Menjadikan tugas tersebut sebagai kerjaya sambilan pada waktu terluang, Shahfiez atau lebih mesra disapa Shah, sememangnya seorang yang ‘keras’ hati.
Selain dapat dilihat melalui percakapan, gaya dan perwatakan, parut yang terdapat di atas kening sebelah kiri bukti bahawa dia tidak mudah serik dengan apa yang dilakukan sekarang ini.
Begitupun, ulas Shah, parut yang ada itu merupakan ‘kenangan’ manisnya ketika bergelar mat rempit pada zaman remajanya dahulu.
Hari ini siapa sangka, ‘pengalaman’ sebagai seorang mat rempit tegar yang selalu berlumba haram di sekitar ibu kota, telah menukar Shah kepada seorang pelakon aksi lagak ngeri yang disegani dalam kalangan rakan-rakannya.
Bercerita lebih lanjut mengenai pembabitannya dalam bidang aksi lagak ngeri, dia berkata, segala-galanya bermula pada 2005 apabila ditawarkan menjadi pelakon aksi lagak ngeri dengan mengikat kontrak selama tiga tahun bersama bekas pelumba Cub Prix, Wazi Abdul Hamid.
Ketika itu tugasnya hanya membuat demonstrasi mengenai kelasakkan sesebuah motosikal di samping menunjukkan cara-cara menjaga keselamatan ketika menunggang.
“Semasa bekerja dengan Wazi, tugas saya hanyalah melakukan stunt dan demonstrasi yang berkaitan dengan motosikal, selain menunjukkan langkah-langkah keselamatan ketika menunggang motosikal.
“Setahun selepas itu, saya ditawarkan menjadi pelakon aksi lagak ngeri dalam filem Rempit, iaitu filem pertama saya. Selama 15 hari saya berada di lokasi dan melakukan pelbagai aksi seperti berlumba motosikal, jatuh motosikal, dan aksi mat rempit.
“Rentetan daripada tawaran itulah rezeki saya dalam bidang ini semakin murah dan sehingga hari ini saya masih kekal sebagai pelakon aksi lagak ngeri dan sesekali berlakon watak-watak biasa,” ujarnya yang juga seorang kakitangan perbankan di ibu negara.
Menyentuh soal bayaran, Shah memberitahu, ganjaran yang diperoleh tidak begitu banyak lebih-lebih lagi setelah dibahagikan sama rata dengan rakan-rakan yang lain.
Ini kerana setiap aksi yang dilakonkan, dia tidak keseorangan malah akan bekerjasama dengan ahli-ahli kumpulannya yang lain.
Memang pada dasarnya setiap aksi yang dilakukan mampu memperoleh pendapatan sehingga lima angka untuk satu-satu penggambaran filem, tetapi bayaran tersebut bukan hanya untuk dirinya seorang.
“Jika bercakap mengenai soal berbaloi atau tidak, terus terang saya katakan ganjarannya mungkin tidak berbaloi, tetapi memberi kepuasan kepada kami, golongan yang sememangnya meminati bidang ini sejak dari dahulu lagi.
“Dengan cara ini sahaja (berlakon aksi lagak ngeri) kami dapat melepaskan ‘gian’ dan pada masa sama apa yang kami lakukan mendapat bayaran.
“Yang pasti kebanyakan mereka yang melakukan kerja ini hanyalah mencari pendapatan sampingan kerana rata-ratanya sudah mempunyai kerjaya tetap,” tuturnya lanjut.
Bagaimanapun sambung Shah, tidak semua pelakon aksi lagak ngeri bernasib baik kerana sepanjang penglibatannya di dalam bidang tersebut, dia telah ‘hilang’ ramai rakan akibat daripada kecederaan yang di alami semasa penggambaran berlangsung.
Tidak pernah mengetepikan kenyataan bahawa ajal dan maut di tangan tuhan, Shah menjadikan segala kejadian sebagai pengajaran.
Disebabkan itu jugalah dia cukup berhati-hati dan membuat segala persiapan dengan terperinci sebelum penggambaran bermula.
Menurut Shah, sekiranya dia berasa tidak ‘sedap’ hati ketika penggambaran hendak dilakukan, dia akan meminta untuk ditangguhkan dahulu dan akan melakukannya setelah betul-betul bersedia.
“Segala yang berlaku memang di luar kawalan dan kuasa kita sebagai seorang manusia, dan sudah pasti apa yang berlaku memang tidak dapat dielakkan.
“Jika bercakap mengenai kecederaan yang berlaku sepanjang penggambaran berlangsung memang tidak boleh dielak, malah ada juga kecederaan yang membawa maut.
“Daripada apa yang berlaku itulah saya bersama rakan-rakan lain jadikan iktibar dan pengajaran. Ini secara tidak langsung menjadikan kami lebih berhati-hati untuk melakonkan babak yang telah dipertanggungjawabkan kepada kami,” katanya.
Berbual lebih lanjut mengenai soal bayaran, Shah berkata, segala-galanya ditentukan sendiri oleh pelakon aksi lagak negeri tersebut dan ia bergantung sama ada dipersetujui oleh penerbit atau pun tidak.
Dalam sedar tak sedar Shah menyatakan, penglibatannya di dalam dunia tersebut telah sembilan tahun berlalu.
Alhamdulillah sepanjang bergelar pelakon aksi lagak ngeri dia tidak pernah mengalami sebarang kecederaan atau perkara yang tidak diingini.
Dia yang merupakan bapa kepada dua orang cahaya mata memberitahu, telah mempersiapkan diri dengan pelbagai alatan keselamatan, selain mengambil insurans nyawa sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya sesuatu berlaku pada dirinya.
“Sebelum satu-satu penggambaran dilakukan, kami semua pelakon aksi lagak ngeri akan mengambil masa sehingga dua jam untuk mempersiapkan diri dengan segala aspek keselamatan.
“Selepas segala-galanya telah siap dan kami berpuas hati barulah kami menjalani penggambaran babak-babak yang perlu kami lakonkan.
“Dan untuk pelakon aksi lagak ngeri seperti kami, tidak hanya terhad kepada aksi motosikal sahaja bahkan kami turut melakonkan aksi seperti terjun bangunan, bergaduh menggunakan senjata dan sebagainya,” katanya lagi.
Tetapi hari ini, dengan perkembangan teknologi dalam pembuatan filem seperti penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI), perkhidmatan seorang pelakon lagak ngeri kurang diperlukan.
Menyentuh pula mengenai sokongan keluarga, Shah berkata, dia bersyukur kerana diberikan sebuah keluarga yang cukup memahami dirinya.
Tidak pernah menyembunyikan apa-apa baik kepada kedua ibu bapanya mahu pun isterinya, Shah menjelaskan setiap aksi yang dilakonkan akan diberitahu cuma tidak pernah memberitahu bila dia melakukannya.
“Setakat ini alhamdulillah ibu, bapa dan juga isteri cukup memahami kerjaya sambilan saya ini dan mereka memberikan sokongan yang padu.
“Cuma setiap kali apabila hendak melakukan sebarang aksi, saya tidak pernah memberitahu mereka kerana tidak mahu mereka risau,” katanya sebelum mengakhiri bicara.
Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN