Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Kumpulan 40 Gajah Liar Tingkat Risiko Konflik Berulang Di Pos Gob
Konflik manusia-gajah di Pos Gob di sini berisiko berulang susulan kehadiran kumpulan kira-kira 40 ekor gajah liar ID Nenggiri yang menjadikan kawasan sekitar Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah sebagai habitat dan laluan semula jadi.
Risiko itu kembali mendapat perhatian apabila seekor gajah liar jantan dewasa menghampiri tapak perkhemahan kira-kira 150 peserta Kembara Rakyat Nenggiri pada 24 Ogos lepas, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan pengunjung di kawasan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan Wan Mohd Adib Wan Yusoh berkata pihaknya akan menggerakkan anggota ke Pos Gob bagi menjalankan pemantauan serta penilaian awal susulan kejadian itu.
Beliau berkata Pos Gob merupakan perkampungan Orang Asli yang terletak dalam HSK Balah, dengan sebahagian kawasan penempatan berhampiran hutan yang menjadi habitat asal serta laluan semula jadi hidupan liar untuk mencari makanan dan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain.
“Gajah liar yang dikesan menimbulkan konflik di kawasan terbabit dikenal pasti berasal daripada kumpulan ID Nenggiri yang dianggarkan mempunyai populasi keseluruhan 40 ekor.
“Kehadiran haiwan tersebut boleh berlaku pada bila-bila masa, terutama ketika mencari makanan dan bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Wan Mohd Adib berkata risiko ancaman terhadap keselamatan manusia akan meningkat sekiranya gajah menerima provokasi atau manusia berada terlalu dekat dengan haiwan berkenaan.
Beliau berkata Perhilitan akan melakukan pemantauan rapi di lokasi sebelum mengambil tindakan susulan yang bersesuaian berdasarkan hasil penilaian lapangan.