Kugiran British, Massive Attack disiasat polis kerana kibar bendera Palestin semasa konsert di SG
Kugiran Massive Attack membuat persembahan di Singapura pada 29 Julai 2026, dan petikan skrin daripada sebuah video yang menunjukkan dua anggota kugiran itu mengibarkan bendera Palestin. (Gambar: Pembaca CNA)
SINGAPURA: Polis dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah melancarkan siasatan selepas kugiran muzik trip-hop Britain, Massive Attack, meluahkan sokongan kepada rakyat Palestin semasa mengadakan konsert di Singapura pada Rabu (29 Jul).
“Polis mengesahkan aduan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan,” menurut polis dan IMDA pada Khamis (30 Jul) semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.
IKLAN
“IMDA juga sedang menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran syarat lesen.”
Kugiran itu melaungkan slogan “Free Palestine” ("Bebaskan Palestin") semasa membuat persembahan di The Star Performing Arts Centre, sekali gus mendorong ramai penonton untuk turut melaungkan slogan tersebut, menurut seorang penonton yang enggan dikenal pasti kepada Mediacorp.
Video-video yang tular online turut menunjukkan dua anggota kugiran itu mengibarkan bendera Palestin di atas pentas sambil disambut sorakan para penonton.
Singapura tidak membenarkan paparan terbuka bagi lambang negara asing tanpa permit atau pengecualian. Pesalah boleh didenda sehingga S$500, dihukum penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Mediacorp sudah menghubungi The Star dan penganjur konsert tersebut, Lushington Entertainments, untuk mendapatkan komen.
IKLAN
Kugiran itu juga mengatakan bahawa mereka terpaksa menggugurkan sebuah lagu daripada senarai lagu untuk persembahan mereka, namun tidak menjelaskan sebabnya secara terperinci selain menyatakan bahawa keputusan itu dibuat disebabkan oleh “undang-undang tempatan”.
Mediacorp telah menghubungi IMDA untuk mengesahkan sama ada Massive Attack diarahkan untuk menggugurkan lagu tersebut daripada senarai lagu persembahan mereka dan, jika benar, atas sebab apa.
Massive Attack ditubuhkan sebagai sebuah kugiran yang dianggotai empat orang anggota pada 1988 di Bristol. Kini, kugiran itu mempunyai dua anggota teras.
Kugiran yang telah memenangi pelbagai anugerah itu, dan terkenal menerusi lagu-lagu seperti 'Teardrop', sebelum ini pernah mengkritik tindakan Israel di Gaza dengan menyifatkannya sebagai satu “genosid”.
Pada 2025, mereka menubuhkan sebuah gabungan artis yang lantang bersuara terhadap tindakan ketenteraan Israel di wilayah itu, sambil mengatakan bahawa artis yang berbuat demikian berdepan intimidasi dalam industri muzik.
Kugiran British, Massive Attack disiasat kerana kibar bendera Palestin semasa konsert di SG
Polis dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) telah melancarkan siasatan selepas kugiran muzik trip-hop Britain, Massive Attack, meluahkan sokongan kepada rakyat Palestin semasa mengadakan konsert di Singapura pada Rabu (29 Jul).