BTC USD 76,485.3 Gold USD 4,341.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Komposer legenda S Atan meninggal dunia

dloanman

CG Top Poster Club
gem
Messages
46,551
Top Poster #10
Joined
Apr 15, 2012
Messages
46,551
Reaction score
4,820
Points
266

S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said meninggal dunia pada usia 75 tahun.

S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said meninggal dunia pada usia 75 tahun.


KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Komposer tersohor, Datuk S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said, meninggal dunia pada usia 75 tahun.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kajang pada jam 3.23 petang Sabtu.

Berita pemergian S Atan disahkan isterinya, Datin Norizan Yeob ketika dihubungi media.
Menurut Norizan, suaminya menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Kajang, Selangor.
"Benar, beliau (S Atan) sudah meninggal dunia. Saya akan maklumkan perkembangan berikut sebaik semuanya diuruskan,” kata beliau kepada Astro Awani ketika dihubungi sebentar tadi.
Berita pemergian komposer legenda ini turut tular di media sosial, dengan kalangan penggiat seni dan para peminat menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga arwah.

S Atan merupakan seorang komposer yang sangat masyhur menghasilkan lagu-lagu raya malar segar nyanyian Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Allahyarham Datuk Sharifah Aini, dan ratusan lagu lain.
Sebelum ini, komposer yang banyak menghasilkan lagu tradisional serta lagu hari raya malar segar itu pernah dirawat di hospital akibat masalah buah pinggang dan angin ahmar.


Allahyarham juga pernah dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada September lalu akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. - Awani


 

'Allahyarham S Atan luar biasa, saya sendiri cemburu' - M Nasir​

17 November 2024 05:35pm

M Nasir, yang terkenal dengan julukan ‘sifu’ dalam mencipta lagu-lagu pelbagai genre mengakui beliau kadang-kadang cemburu dengan kebolehan S Atan dalam menghasilkan karya.

M Nasir, yang terkenal dengan julukan ‘sifu’ dalam mencipta lagu-lagu pelbagai genre mengakui beliau kadang-kadang cemburu dengan kebolehan S Atan dalam menghasilkan karya.

KAJANG - Bakat ‘maestro’ industri hiburan tanah air, Allahyarham Datuk Hashim Said yang lebih dikenali sebagai S Atan begitu gah, hingga dicemburui seorang lagi ‘maestro’ iaitu Datuk M Nasir.

M Nasir, yang terkenal dengan julukan ‘sifu’ dalam mencipta lagu-lagu pelbagai genre mengakui beliau kadang-kadang cemburu dengan kebolehan S Atan dalam menghasilkan karya yang sentiasa relevan dan mendapat tempat di hati pelbagai generasi.

Penyanyi dan komposer itu turut mengakui, beliau sendiri mungkin tidak dapat menyamai kebolehan S Atan dalam penghasilan karya tertentu.

“Saya anggap (Allahyarham) sebagai raja dalam dunia pop musik Melayu. Pernah pada era 80-an... ada artis-artis yang mungkin hampir nak keluar daripada dunia hiburan (kerana kurang popular), tapi dia masih boleh naikkan lagi (mereka) dengan lagu-lagunya.

"Daripada segi ciptaan lagu, dia sangat mahir lagu pop Melayu.
“Ada banyak lagu dia yang saya cemburu bila saya dengar, dalam hati kata... kalau saya buat (lagu) ni kan bagus.

Tapi saya pasti saya tak dapat melakukannya kerana dia datang dari keadaan yang berbeza. Dan saya sanjung,” katanya lagi.

M Nasir berkata demikian kepada Astro Awani selepas selesai pengebumian jenazah Allahyarham S Atan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang, pada Ahad.
Terdahulu jenazah Allahyarham disempurnakan dan disembahyangkan di Masjid Jamek Bandar Kajang.

Turut menghadiri perjalanan terakhir beliau selain ahli keluarga dan M Nasir serta isteri Datin Marlia Musa, ialah rakan-rakan seperjuangan dalam industri hiburan termasuk, Datuk Ramli MS dan Fauzi Marzuki, Jatt Blackdog Bone, Ziela Jalil dan Liza Abdullah.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kajang pada jam 3.23 petang Sabtu.

Sinar Harian

Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!​





Dalam pada itu M Nasir berkata, karyawan masa kini mungkin sukar untuk menandingi karyawan lama kerana suasana persekitaran yang berbeza, atau kehidupan yang lebih sukar waktu itu, menyebabkan karya mereka lahir daripada hati.

“Pencipta lagu lama... mereka datang daripada suasana yang lain, mungkin kemiskinan, perjuangan hidup, keadaan pembangunan negara waktu tu masih di peringkat permulaan.

"Segalanya baharu, tapi walaupun pengaruh datang dari luar, dari barat umpamanya. Tetapi kerana perjuangan untuk hidup lebih daripada perjuangan untuk mendapatkan tempat dalam industri yang diceburi. Ia sangat kuat dalam jiwa mereka.

"Kita tak dapat bandingkan dengan karyawan hari ini, apa tujuan mereka (karyawan kini) dalam industri... ini kita tak tahu.

“Tapi kalau dulu, semangat untuk hidup tu sangat kuat, semangat untuk berjaya sangat kuat, sehingga menghasilkan orang seperti S. Atan,” luahnya lagi. -Awani

 

Pemergian S Atan kehilangan besar buat industri muzik negara - Jamal Abdillah​

16 November 2024 09:17pm

Jamal Abdillah bercakap ketika ditemui pemberita semasa menziarahi jenazah komposer Datuk S Atan yang meninggal dunia, di kediamannya di Taman Bukit Kajang Baru hari ini. Foto Bernama

Jamal Abdillah bercakap ketika ditemui pemberita semasa menziarahi jenazah komposer Datuk S Atan yang meninggal dunia, di kediamannya di Taman Bukit Kajang Baru hari ini. Foto Bernama

[DIKEMAS KINI] PEMERGIAN komposer terkenal, Datuk S Atan yang meninggal dunia hari ini pada usia 75 tahun disifatkan sebagai kehilangan besar kepada industri muzik tanah air.

Penyanyi terkenal, Datuk Jamal Abdillah berkata, peminat muzik tempatan pasti akan terasa dan merindui sentuhan lagu-lagu Melayu yang baik daripada Allahyarham.

"Kita kehilangan seorang yang begitu bermakna dalam industri muzik tempatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kediaman Allahyarham S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said di Taman Bukit Kajang di sini hari ini.

Berita pemergian S Atan disahkan sendiri isterinya, Datin Norizan Yeob ketika dihubungi Bernama yang memaklumkan suaminya telah menghembuskan nafas terakhir di rumah akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Jamal berkata, dia mempunyai beberapa lagu yang diterbitkan oleh Allahyarham antaranya tiga lagu hari raya yang hingga kini masih menjadi siulan ramai.

"Secara peribadi, saya sangat hormati arwah. Beliau sangat tegas terutamanya ketika dalam studio rakaman,” katanya yang memaklumkan kali terakhir berhubung dengan arwah pada Selasa lepas.

Sementara itu, adik Allahyarham dan penulis lirik, Fatah Hasan atau lebih dikenali Belle Fatah mendedahkan beliau dan abangnya sedang menyiapkan satu projek bagi menerbitkan beberapa lagu untuk seorang artis wanita tempatan.

Fatah berkata, projek itu melibatkan keseluruhan lapan lagu iaitu tiga lagu dihasilkan oleh beliau dan lima lagi lagu akan dihasilkan oleh abangnya, namun Allahyarham sempat menyiapkan tiga lagu sahaja.

"Insya-ALLAH saya akan teruskan untuk menyiapkan projek ini dan tiga lagu yang telah dihasilkan oleh abang saya akan menjadi karya terakhir dan ‘masterpiece' S Atan,” katanya.
Difahamkan jenazah S Atan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang pada jam 11 pagi esok.


Sebagai komposer, S Atan terkenal dengan sentuhan lagu Melayu Deli yang dirakam beberapa penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.

Allahyarham juga banyak menghasilkan lagu untuk hari raya sejak hampir 50 tahun lepas, antaranya ‘Menjelang Hari Raya’ dendangan Datuk DJ Dave, ‘Dari Jauh Ku Pohon Maaf ‘(Sudirman), ‘Cahaya Aidilfitri’ (Black Dog Bone), ‘Salam Aidilfitri’ (Jamal Abdillah), ‘Hari Mulia’ (Datuk Sheila Majid) dan ‘Indah Beraya di Desa’ (Azlina Aziz).

Sementara itu, penyanyi legenda, Datuk DJ Dave yang sependapat dengan Jamal berkata bakat, semangat dan dedikasi Allahyarham telah meninggalkan kesan mendalam dalam industri muzik tanah air.

"Hari ini saya kehilangan seorang sahabat yang sangat saya hormati, seorang genius muzik yang telah menghidupkan begitu banyak lagu yang tidak akan dilupakan termasuk lagu hit saya seperti 'Menjelang Hari Raya' dan 'Kawan Setia'," katanya dalam kenyataan malam ini.

DJ Dave yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) berkata, bulan lepas, beliau sempat melawat S Atan di rumahnya ketika Allahyarham sedang sakit, yang kini menjadi satu kenangan sangat bermakna.

"Allahyarham juga bekerja keras dalam menyusun lagu 'Setia Perpaduan', lagu perpaduan saya yang dikeluarkan tahun lepas, satu bukti komitmen beliau yang tidak berbelah bahagi untuk menyatukan orang ramai melalui muzik," katanya.

Beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberi kekuatan untuk menghadapi saat sukar.
"Semoga rohnya diberkati dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Terima kasih, sahabatku, atas melodi dan kenangan indah yang kau tinggalkan. Kau akan sentiasa dikenang," kata DJ Dave. - Bernama

 

Jenazah komposer terkenal S Atan selamat dikebumikan​

17 November 2024 12:52pm

Suasana hiba menyelubungi ahli keluarga dan sanak saudara yang menziarahi jenazah Allahyarham S Atan yang meninggal dunia di kediamannya di Taman Bukit Kajang Baru, pada Sabtu. Foto Bernama

Suasana hiba menyelubungi ahli keluarga dan sanak saudara yang menziarahi jenazah Allahyarham S Atan yang meninggal dunia di kediamannya di Taman Bukit Kajang Baru, pada Sabtu. Foto Bernama

JENAZAH komposer terkenal, Datuk S Atan, 75, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang dekat sini pada 11 pagi ini.
Terdahulu, jenazah dikafan dan disolatkan di Masjid Jamek Pekan Kajang kira-kira 9 pagi.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, kenalan dan rakan artis hadir memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 10.32 pagi untuk dikebumikan.
Allahyarham S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said meninggal dunia di kediamannya di Taman Bukit Kajang Baru petang semalam akibat jangkitan kuman paru-paru.

S Atan cukup terkenal dengan sentuhan lagu Melayu Deli yang dirakam penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Noor Kumalasari, Herman Tino dan Zaleha Hamid.

Antara lagu raya popular malar segar ciptaannya adalah Menjelang Hari Raya dendangan Datuk DJ Dave; Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman); Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone); Salam Aidilfitri (Datuk Jamal Abdillah); Hari Mulia (Datuk Sheila Majid) dan Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz). - Bernama

 
Back
Top
Log in Register