Baru enam bulan berkahwin, suami koma selepas diragut
BACHOK - Baru enam bulan mengikat ikatan perkahwinan, pasangan dari Kubang Telaga di sini diuji apabila suami koma selepas menjadi mangsa ragut pada 8 Januari lalu.
Rosirdawatie Aziz, 27, berkata, tragedi menimpa suaminya, Mazrie Ismail, 30, berlaku semasa cinta hatinya itu dalam perjalanan ke tempat kerja di Cherang Tuli, Pasir Puteh.
"Kejadian itu telah menyebabkan dia yang menunggang motosikal dikatakan telah terjatuh di atas jalan. Topi keledar yang dipakai pecah sehingga menyebabkan dia mengalami pendarahan di dalam kepala.
Menurutnya, mengikut laporan doktor suami mengalami pendarahan di dalam kepala dan sehingga kini dia masih koma.
Rosirdawatie memberitahu, saksi melihat dua lelaki terbabit menarik beg sehingga suami terjatuh.
"Suami dibawa ke Hospital Tengku Anis sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai kemudian dibenarkan pulang ke rumah.
"Sehingga sekarang sudah memasuki 51 hari, suami masih tidak sedarkan diri. Sekarang ini dia sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas terkena jangkitan kuman pada paru-paru Ahad lalu," katanya.
Menurutnya, mereka suami isteri tinggal bersama keluarga suami di Kubang Telaga dimana Mazrie merupakan anak kedua daripada empat beradik.
Ujarnya, sehingga hari ini dia hanya mampu menatap wajah suaminya itu dan setiap hari berdoa agar Mazrie akan sedarkan diri suatu hari nanti.
"Hanya ALLAH tahu perasaan saya ketika ini. Banyak benda yang hendak dibualkan dengan suami, tahun ini juga merupakan kali pertama kami berpuasa dan menyambut Aidilfitri bersama," katanya.
Rosirdawatie memberitahu, semenjak suami koma mereka telah kehilangan sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada ahli keluarga yang banyak membantu.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada pasangan ini boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 151258771167.
Kredit

Sinar Harian