kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,704
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,704
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
KKM Sasar Bangunkan Rangkaian Trauma Kebangsaan Bersepadu
Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk membangunkan rangkaian trauma kebangsaan lebih bersepadu bagi memastikan pesakit menerima rawatan sewajarnya di tempat dan pada masa yang tepat, tanpa mengira lokasi mereka di Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata inisiatif itu penting bagi mewujudkan sistem penjagaan trauma lebih bersepadu, selain merapatkan jurang akses antara kawasan bandar dan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata rantaian kelangsungan hidup trauma perlu diperkukuh secara menyeluruh, bermula daripada tindakan orang awam dan bantuan kecemasan di lokasi kejadian, perkhidmatan perubatan kecemasan prahospital serta pengangkutan, diikuti resusitasi di Jabatan Kecemasan, rawatan trauma definitif dan pemulihan.
“Rantaian ini hanya akan kukuh sekiranya setiap komponennya berfungsi dengan baik. Kita memerlukan penyelarasan lancar pada setiap peringkat, disokong kemahiran tepat, sumber mencukupi serta sistem yang berfungsi secara bersepadu sebagai satu kesinambungan penjagaan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Trauma Malaysia (MTC) 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata akses penjagaan trauma berkualiti tidak seharusnya bergantung kepada lokasi seseorang pesakit kerana setiap rakyat Malaysia berhak menerima rawatan trauma yang tepat dan sewajarnya pada masanya.
Sementara itu, Dr Mahathar berkata 30 peratus kematian akibat trauma dikenal pasti sebagai kes boleh dicegah berdasarkan laporan pertama Daftar Trauma Kebangsaan yang diterbitkan pada 2008, namun keadaan itu tidak banyak berubah.
Beliau yang merupakan antara penulis bersama laporan itu berkata situasi berkenaan menunjukkan perlunya transformasi menyeluruh terhadap sistem penjagaan trauma negara sambil menegaskan bahawa “dalam kes trauma, setiap saat dan setiap minit amat berharga”.
Dr Mahathar berkata trauma kekal sebagai cabaran utama kesihatan awam khususnya dalam kalangan golongan muda dan penduduk usia bekerja, dengan kecederaan berkaitan pengangkutan terus menjadi antara penyumbang utama kepada kematian boleh dicegah.
Beliau berkata penjagaan trauma juga semakin kompleks ketika Malaysia menuju negara menua apabila semakin ramai pesakit mempunyai pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular.