BTC USD 76,148.2 Gold USD 4,266.66
Time now: Jun 1, 12:00 AM

'Kita mesti berhenti jadikan ruang udara kita sebagai tempat membuang sisa’: Al Gore

adi19

Fun Poster
Messages
766
Joined
Oct 30, 2013
Messages
766
Reaction score
3
Points
25

'Kita mesti berhenti jadikan ruang udara kita sebagai tempat membuang sisa’: Al Gore​

screenshot_2026-09-08_104544.jpg

Mantan Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore bercakap kepada Mediacorp di Singapura pada 7 September 2026. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Dunia mesti “berhenti menjadikan ruang udara sebagai tempat membuang sisa” atau berdepan padah daripada perubahan iklim, kata mantan Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore.

Bercakap kepada Mediacorp di Singapura, aktivis iklim sejak sekian lama itu memberi amaran berhubung peningkatan suhu, pencairan ais dan cuaca yang semakin tidak menentu. Beliau berkata ramalan yang diketengahkan 20 tahun lalu dalam dokumentari "An Inconvenient Truth" terbukti “tepat sekali”.

IKLAN

“Hakikat bahawa (para saintis) meramalkan dengan tepat kesan buruk yang kita alami sekarang seharusnya memberi kita sebab untuk memberi lebih perhatian kepada amaran mereka mengenai apa yang akan berlaku jika kita tidak berubah,” kata beliau pada Isnin (7 Sep).

“Saya rasa kita sudah mula berubah, tetapi kita perlu berhenti menjadikan ruang udara sebagai tempat membuang sisa.”

ANCAMAN IKLIM MAKIN MENINGKAT

Encik Gore berkata dunia melepaskan 175 juta tan gas rumah hijau ke atmosfera setiap hari.

Jumlah yang terkumpul kini memerangkap haba tambahan yang menyamai haba yang dibebaskan sekiranya 800,000 bom atom generasi pertama meletup di Bumi setiap hari, menurut beliau.

IKLAN

Tempoh 11 tahun lalu – dari 2015 hingga 2025 – merupakan tahun-tahun paling panas yang pernah dicatatkan di seluruh dunia.

Encik Gore berkata para saintis meramalkan tahun ini akan menjadi tahun paling panas setakat ini, dengan 2027 dijangka mengatasi rekod tersebut apabila “El Nino super” mendorong peningkatan suhu ke tahap yang lebih lebih tinggi.

Pada masa yang sama, krisis iklim memperhebat kitaran air, dengan lautan yang semakin panas menyebabkan lebih banyak wap air memasuki atmosfera. Keadaan tersebut menyumbang kepada hujan lebat melampau yang dikenali sebagai “bom hujan”, diselang-seli dengan kemarau lebih panjang dan teruk yang mengancam sektor pertanian, kata beliau.

Antara ancaman paling serius ialah kehilangan litupan ais dunia yang semakin pantas, dengan kemusnahan di Nepal menjadi peringatan jelas bahawa krisis iklim bukan lagi satu ancaman yang jauh.

Encik Gore memberi amaran bahawa 80 peratus ais di Himalaya diramalkan akan lenyap menjelang akhir abad ini sekiranya dunia tidak mengubah haluannya.

IKLAN

Greenland kehilangan sekitar 30 juta tan ais setiap jam, kata beliau, manakala pencairan ais di Antartika juga semakin menyumbang kepada kenaikan paras laut.

Gabungan kenaikan paras laut dan lonjakan ombak ribut yang lebih kuat menimbulkan ancaman kepada kawasan-kawasan rendah, termasuk Singapura, menurut beliau.

Encik Gore turut menarik perhatian kepada ancaman yang semakin meningkat akibat gabungan haba ekstrem dan kelembapan tinggi, yang boleh menyebabkan lebih banyak kawasan di dunia tidak lagi sesuai untuk didiami manusia.

Pakar iklim Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, dalam tempoh 25 tahun akan datang, lebih satu bilion pelarian iklim mungkin merentasi sempadan antarabangsa “untuk melarikan diri daripada keadaan yang tidak lagi sesuai didiami di tempat yang selama ini mereka anggap sebagai tanah air”.

PERALIHAN KEPADA TENAGA BERSIH ‘TIDAK DAPAT DIHENTIKAN’

IKLAN

Namun, Encik Gore berkata satu lagi perubahan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini ialah kemunculan teknologi tenaga bersih yang semakin dimampui, termasuk tenaga suria dan angin, bateri serta kenderaan elektrik.

Satu daripada setiap empat kereta yang dijual di seluruh dunia kini merupakan kenderaan elektrik, kata beliau.

“Kita menyaksikan lonjakan luar biasa dalam pelaburan bagi tenaga suria, angin, bateri dan kenderaan elektrik dan kini, pelaburan global dalam tenaga boleh diperbaharui dan peralihan kepada kemampanan sudah mengatasi pelaburan dalam bahan api fosil.”

“Namun, ia masih belum berlaku dengan cukup pantas dan kita berisiko melangkaui beberapa titik kritikal yang berbahaya.”

Beliau menyifatkan cabaran tersebut sebagai satu “perlumbaan antara ancaman yang semakin meningkat dengan penyelesaian yang semakin tersedia”.

Encik Gore turut menolak konsep “realisme iklim” – hujah bahawa peralihan tenaga perlu mengambil kira hakikat bahawa dunia masih bergantung kepada bahan api fosil.

“Itu tidak masuk akal. Propaganda yang dipanggil realisme iklim hanyalah satu lagi bentuk penafian perubahan iklim,” kata beliau. “Sebenarnya, apa yang kita saksikan ialah peralihan daripada bahan api fosil yang tidak dapat dihentikan.”

Kos tenaga suria sudah menjadi semakin murah, manakala “sumber bagi tenaga suria dan angin adalah percuma”, kata beliau.

“Mereka tidak boleh mengenakan bayaran untuk cahaya matahari, mereka tidak boleh mengenakan bayaran untuk angin. Maka, sudah tentu industri paling berkuasa dalam sejarah yang menjual bahan api fosil yang mencemarkan akan berusaha sedaya upaya untuk menentang peralihan ini,” kata Encik Gore, merujuk kepada kuasa politik syarikat bahan api fosil dan negara pengeluar minyak, yang menurutnya mempunyai pengaruh besar terhadap dasar tenaga.

“Malangnya, di sesetengah negara, termasuk negara saya sendiri, para ahli politik berada di bawah pengaruh kuat syarikat-syarikat bahan api fosil ini, dan itulah yang perlu kita atasi.”

LATIH AKTIVIS IKLIM DI SINGAPURA

Encik Gore, pengasas dan pengerusi The Climate Reality Project, sebuah pertubuhan bukan untung yang memberi tumpuan kepada usaha menangani krisis iklim, berada di Singapura untuk mengendalikan satu latihan selama dua hari yang melibatkan sekitar 800 aktivis iklim.

Latihan tersebut bertujuan membekalkan para peserta dengan pengetahuan terkini mengenai sains iklim, penyelesaian untuk menangani krisis tersebut serta kemahiran untuk menyampaikannya kepada orang lain.

“Sekutu saya yang paling kuat ialah alam semula jadi kerana perkara ini kini jelas kepada semua orang di dunia,” kata Encik Gore, yang berkongsi Hadiah Nobel Keamanan 2007 dengan Panel Antara Pemerintah mengenai Perubahan Iklim (IPCC) atas usaha mereka meningkatkan kesedaran berhubung perubahan iklim akibat kegiatan manusia.

Kejadian cuaca ekstrem sejak kebelakangan ini mula menarik perhatian orang ramai dan menjadikan mereka lebih terbuka kepada penyelesaian yang sudah tersedia, tambah beliau.

“Kita hanya perlu melaksanakannya dengan mengatasi kuasa politik, penipuan dan ketidakjujuran pihak pencemar yang melakukan segala-galanya untuk menghentikan peralihan ini.”

Encik Gore berkata gerakan memerangi perubahan iklim harus dilihat seiring dengan gerakan terdahulu yang berteraskan perjuangan moral, seperti penghapusan perhambaan.

“Kita kini sangat hampir dengan titik perubahan, dan selepas itu gerakan ini bukan sahaja tidak dapat dihentikan, malah akan bergerak dengan lebih pantas,” tegas beliau.

“Jika cukup ramai orang mendengarkan mesej ini dan mengambil tindakan, kita akan dapat menangani krisis iklim sebelum terlambat.”

Walaupun sesetengah pihak percaya kemahuan politik merupakan unsur yang masih kekurangan, Encik Gore berkata ia boleh dipupuk semula.

“Kemahuan politik itu sendiri merupakan sumber yang boleh diperbaharui. Tujuan latihan ini adalah untuk memperbaharui sumber tersebut.”

BOLEHKAH CHINA MENGISI KEKOSONGAN KEPIMPINAN IKLIM?

Dalam temu bual itu, Encik Gore turut menyentuh kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang dibuat beberapa kali bahawa krisis iklim adalah satu penipuan.

“Presiden negara saya sendiri malangnya terus mengatakan krisis ini merupakan satu penipuan, sesuatu yang jelas tidak masuk akal bagi mana-mana individu yang berfikiran waras,” kata beliau.

Namun, Encik Gore berhujah bahawa faktor ekonomi yang mendorong peralihan kepada tenaga hijau kekal kukuh meskipun berdepan dasar Encik Trump.

Tahun lalu, 92 peratus daripada semua kapasiti penjanaan tenaga baharu yang dipasang di Amerika Syarikat adalah daripada sumber yang boleh diperbaharui, kata beliau.

Para pelabur dapat melihat bahawa tenaga boleh diperbaharui adalah lebih murah, lebih bersih dan mewujudkan “tiga kali lebih banyak pekerjaan bagi setiap dolar yang dibelanjakan”, tambah Encik Gore.

“Mereka tidak mendengar cakapnya. Beliau memberi kesan dengan memperlahankan sedikit peralihan ini, tetapi kenyataan menyebelahi kita.”

Dengan Amerika Syarikat berundur daripada inisiatif iklim global, Encik Gore berkata China menunjukkan tanda-tanda bahawa ia boleh memainkan peranan diplomatik yang lebih besar.

Beliau merujuk kepada petunjuk bahawa China sedang mempertimbangkan kemungkinan menjadi tuan rumah rundingan iklim PBB 2028 (COP33), sambil berkata pertemuan di Beijing boleh menjadi sesuatu yang berpengaruh, sama seperti persidangan iklim Paris sedekad lalu.

Walaupun China terus membina loji arang batu, pelepasan daripada bahan api fosil negara tersebut sudah mula menurun.

Encik Gore turut menarik perhatian kepada skala besar pembangunan tenaga boleh diperbaharui di China.

“Ia sangat mengagumkan. Mereka membuat pilihan yang tepat dengan melabur secara besar-besaran dalam tenaga suria dan angin, kenderaan elektrik, bateri, kereta api laju dan bangunan-bangunan yang cekap tenaga.”

 
Back
Top
Log in Register