BTC USD 84,896.3 Gold USD 4,140.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kisah Cinta Anda....

Kisah 6.2

Setelah menamatkan tempoh berkabung, aku kembali menjalani hidup seperti biasa, tiada lagi keinginan untuk mengingati kembali saat-saat yang memedihkan dalam hidup. Aku hanya memandang ke hadapan, kiri dan kanan tetapi sudah agak sukar untuk menoleh ke belakang…. Aku mula bergiat cergas di alam arena chatting di alam siber walaupun cintaku di alam siber selama ni kesemuanya gagal dan menemui jalan mati. Aku mula secara perlahan-lahan mencari beberapa orang kenalan hanya sekadar untuk mengisi masa senggang. Sekurang-kurangnya untuk menghiburkan hati yang lara dek kerana cinta tak kesampaian!

Melalui arena chatting mirc juga aku mengenali U yang tinggal di negeri kelahiranku dan berkerja sebagai Pengurus Promosi di sebuah hotel. Seperti biasa aku hanya menganggap dia sebagai teman untuk berbicara di alam siber untuk mengisi kekosongan dalam hati. Sebagai kesinambungan perhubungan itu, kami sering mengutus email dan kadang-kadang juga aku akan menghubungi U melalui telefon dan SMS. Walau apa pun aku tidak berniat dan tidak pernah bertemu pun dengan U. Biarlah perhubungan aku dan dia hanya berdasarkan persahabatan alam siber semata-mata. Tetapi kalau sudah ditakdirkan untuk bertemu segalanya boleh berlaku. Pertemuan pertama kami terjadi apabila aku telah dihantar berkursus ke negeri kelahiranku selama seminggu. Ditakdirkan lagi, tempat aku berkursus ialah di hotel tempat U bertugas. Adakah ini secara kebetulan? Sememangnya kita tidak pernah menduga segala perjalanan dan ketentuan hidup kita yang telah ditentukan oleh-Nya yang Maha mengetahui.

Sengaja aku ingin memberikan kejutan buat U. Aku langsung tidak memberitahunya bahawa aku akan berkursus di hotel tempat dia bertugas. Sebelum menghadiri kursus aku terlebih dahulu pulang sehari lebih awal ke kampung untuk menjenguk kedua orang tuaku. Sempat juga aku tidur semalaman di rumah. Keesokkan paginya aku terus menuju ke hotel tempat aku berkursus. Setelah sampai sahaja ke parking hotel baru aku menghantar SMS memberitahunya yang aku sekarang berada di hotel tempat dia berkerja. Antara percaya dengan tidak U menyuruh aku bertemunya di lobi hotel.

Selesai urusan check-in aku terus menuju kearah seorang wanita yang sedang duduk di atas sofa dan seperti dalam cerita biasa pertemuan pertama bagi kawan alam siber aku tanpa segan silu terus meneka. “Saudari ni Cik U kan?”
“Iyer siapa lagi kalau bukan saya U. Kan saya dah cakap tadi suruh awak terus datang sini” balas U dengan senyuman manis mengalahkan Pakcik Kordi yang gembira mendapat anak kambing kembar 5. “So macam mana? Surprise tak?” Tanyaku sambil menatap senyumannya yang manis itu. “Mestilah terkejut. Tak bagitau awal-awal yang awak nak datang sini. Tak sangka plak kita boleh jumpa macam ni,” ujar U dengan senyuman yang tak lekang dari ulas bibirnya yang lengkap dihiasi indah dengan tahi lalat di bawahnya. “Anak sapalah ni cantik amat sangat” ujar hatiku kepada diriku sendiri yang begitu kagum dengan keindahan dan kecantikan yang Allah berikan terhadap seorang wanita yang bernama U ini….

Perbualan seterusnya antara aku dan U berlangsung hampir 10 minit. Malangnya aku terpaksa menamatkan perbualan itu kerana kami masing-masing mempunyai urusan kerja.
“Oklah saya tahu awak pun tengah berkerja, nanti tak elok pulak kalau boss awak nampak. Lagipun saya dah kena mula masuk dewan tempat kursus. Sesi pertama akan tamat dalam pukul 5.00. So, kalau awak dah habis kerja nanti SMS kat saya dan kita keluar minum petang boleh?”
“Ok! Nanti kita jumpa dalam pukul 5.00 sebab saya memang habis kerja pukul 5.00” jawab U masih dengan senyuman yang terlalu manis itu mengalahkan madu yang menitis keluar dari sarang lebah. Tanpa membuang masa aku terus menuju ke dewan untuk menghadiri sesi taklimat dan seterusnya memulakan kursus sesi pertama.


Beberapa jam berada di dalam dewan yang sejuk itu seperti satu tempoh yang terlalu lama dan membosankan bagi aku. Malah aku tidak dapat menumpukan 100 peratus perhatianku terhadap apa yang disampaikan oleh penceramahnya. Sempat juga aku berSMS dengan U menyatakan betapa bosannya aku di di dalam dewan yang sejuk ini. Aku juga mengusiknya dengan mengatakan bahawa aku tak sabar untuk menanti pukul 5.00 kerana teringin sangat bertemu dengannya lagi. Penantian itu memang satu penyeksaan. Setelah sesi bertukar sesi, penceramah bertukar ganti, segala aktiviti dah aku ikuti walaupun tidak dengan sepenuh hati maka tiba sudah masa dijanji. Tepat jam 5.00 tanpa melengahkan masa pantas aku menuju kea rah lobi hotel dan jelas di sana wajah yang aku kenali sudah siap sedia menanti.

“Jom keluar” dengan gelojohnya ibarat pengantin baru yang tak sabar menantikan malam pertama, aku terus mempelawa U untuk keluar minum denganku. “Ok, api kita kena naik kereta masing-masing sebab nanti saya terus nak balik ke rumah” jelas U. “Tapi kita nak ke mana?” Tanyaku. “Kita minum di tepi pantai airport sebab kat sana suasana ok sikit” jawab U sambil kami terus beriringan menuju ker tempat parking. Lalu kami berpecah menuju ke arah kereta masing-masing….

Petang itu memang indah. Kami minum menghadap antara satu sama lain dengan diiringi muzik terindah ciptaan Allah iaitu alunan ombak yang damai. Sotong yang digoreng dicelup tepung itu pun terasa lebih lazat berbanding biasa kerana aku begitu asyik memerhatikan keindahan wajahnya itu. Tiba-tiba pulak dia boleh berkata: “Janganlah asyik tenung muka saya lama-lama, seganlah.” “Alamak sorry, saya cuma memandang keindahan yang tuhan ciptakan yang ada pada awak” jawabku memuji sambil ku perhatikan memang muka dia sudah kemerahan malu kerana menerima pujian. Kami meneruskan perbualan demi perbualan tentang pengalaman kerja masing-masing sehingalah mengimbau kembali zaman belajar masing-masing.

“Awak kata pernah belajar di sebuah institusi pengajian di sini kan?” Tiba-tiba pertanyaan itu keluar dari mulut U seperti ingin mengorek rahsia dari aku.“
“Aaaa… Pernah dulu di ******” (nama tempat yang terpaksa ku rahsiakan demi menjaga kerahsiaan aku). Kenapa awak tanya?” Giliran aku pula yang menyoal siasat U. “Awak kenal seorang pensyarah yang bernama Hj. E?” Soal U lagi. Dengan dahi yang berkerut-kerut ku cuba mengingati kembali nama-nama pensyarahku. “Oh, ya! Baru saya teringat memang Hj. E pernah mengajar saya dulu. Jangan-jangan awak ni anak dia tak?” Soalku menyerkap jarang yang memang hampir mengena kerana aku baru teringat nama penuh yang dia pernah berikan semasa mula-mula berkenalan dalam MIRC dulu. “Ya. Memang saya anak Hj. E” kata U membuatkan aku macam antara percaya dengan tidak. Sungguh ku tak sangka biawak dah jadi buaya, cempedak dah jadi nangka, ular dah jadi naga. Memang sah lagi sahih bahawa U adalah anak bekas pensyarah aku. Aduh, segannya………

...Lagi-lagi bersambung...

:D :D :D gempak kawan ngan anak pensyarah...
 
Sekadar Memori...

Kisah 6.3

Memang selama aku tidak menyangka bahawa kenalan siberku, U merupakan anak bekas pensyarah yang pernah mengajar aku dulu. Memang aku agak kekok dan segan setelah mengetahui sewaktu minum petang dengan dia hari tu. Tapi walau apapun aku tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak bertemu dengannya lagi selepas ini. Pertemuan pertama kali itu kemudian disusuli dengan pertemuan-pertemuan seterusnya sepanjang seminggu aku berkursus di hotel itu. Selalu selepas habis waktu kerja aku akan mengajak U minum petang di sekitar bandar.

Sememangnya setiap pertemuan akan ada perpisahan. Tempoh seminggu aku menjalani kursus pun berakhir. Maka aku terpaksa balik semula untuk kembali ke bandar tempat aku berkerja. Selesai menjenguk keluargaku di kampung, paginya aku meneruskan kembali perjalananku ke destinasi arah tujuan.

8 jam perjalanan amat memenatkan. Tapi itulah hakikat apabila berkerja jauh di perantauan. Dah kerap sangat mengembara jauh macam ni lama-lama dah jadi alah bisa tegal biasa pulak. Walaupun seronok kerana dapat bertemu dengan U tanpa diduga tetapi ketika itu hatiku langsung tidak terfikir untuk menjadikan dia sebagai kekasihku yang terkini lagi sensasi dek keana masih lagi trauma dan ragu-agu bersarang di jiwa. Almaklum sahajalah dia tu berjawatan tinggi, cantik dan menarik serta paling aku segan dia tu merupakan anak bekas pensyarah aku. Ibarat kata orang, umpama pipit dengan enggang. Lagipun agak mustahil untuk dia menyukai aku kerana kami pun baru sahaja berkenalan dan lagipun rupa parasku ni bukanlah sekacak pelakon idaman Malaya atau pun setampan model iklan ubat gigi.

Semasa hari terakhir aku berada di hotel, aku telah pun berjanji dengan U untuk sering berhubungan dengannya. Setibanya sahaja aku ke rumah sewaku sambil berbaring-baring kepenatan segera aku kirimkan mesej ringkas untuk dia sekadar memberitahu yang aku telah pun selamat sampai. Tanpa perlu menunggu terlalu lama U membalas mesejku. Sedang rancak aku berbalas mesej dengan U tiba-tiba ada satu mesej yang datang dari seseorang yang aku cukup tidak suka malah boleh menimbulkan kembali nostalgia cinta pedih yang mungkin boleh membuat darah aku kembali mendidih!
“Assalamualaikum… Abang tengah buah apa?” Tiba-tiba SMS dari pengirim yang pernah menghancurkan hidupku datang mengganggu. Dengan perasaan yang agak mendidih aku balas SMS tersebut dengan acuh tak acuh. “ Apa lagi yang awak nak dari saya? Cukup-cukuplah mengganggu hidup saya. Antara kita sudah tidak ada apa-apa di saat awak memutuskan perhubungan kita dulu” lalu ku balas SMS itu. “Abang.. tolonglah bagi saya peluang kali kedua.. Please..” rayu FF di dalam SMS yang meminta aku kembali kepadanya.

Sumpah aku tidak sanggup menjilat kembali ludah berkahak hijau yang telah diludahkan. Malah aku lebih rela menjilat ubat gigi perisa pudina daripada menjilat ludah berkahak. Yakkk, jijiknya! Walaupun aku tidak lagi membalas SMS dari FF tapi bertalu-talu mesej itu masuk merayu dan meminta aku memberinya peluang sekali lagi. Malah berkali-kali dia menyatakan kekesalan kerana meninggalkan aku dulu hanya kerana dia kembali menjalinkan hubungan dengan bekas teman lelakinya yang terdahulu. Memang aku akui bekas teman lelakinya dahulu agak kacak sebab anak kacukan Cina. Itupun aku tak pernah nampak bekas teman lelakinya secara berdepan, cuma FF pernah sekali menunjukkan aku gambar bekas teman lelaki yang masih ada tersimpan dalam purse dia. Dek kerana terlalu bosan aku matikan suis telefon bimbitku. Dah terencat sesi SMS aku dengan U. Aku menuju kearah bilik house-mate, sedang tak berapa elok dia pulak tengah main game Red-Alert Yuris’s Revenge. Ingatkan aku nak release tension dengan main game.Sambil rancak dia bermain aku ajukan persoalan. “Perlu ke aku kembali semula dengan bekas awek aku yang minta nak rujuk balik?”
“Abis engkau rasa macam mana?” Soalan aku dibalas balik dengan soalan.
“Entah la beb. Ikutkan hati memang aku dah tak mahu lagi. Tak sanggup aku dikecewakan lagi malah aku dah bersumpah pada diri sendiri takkan rujuk balik dengan dia.”
“Abis apa kata kalau engkau balas dendam plak. Kau rujuk semula pastu bila dia dah sayang kat engkau masa itulah engkau tinggalkan dia pulak. Amacam ok tak idea aku?” Sambil house-mate aku memberi cadangan dengan gaya muka ala-ala tak bersalah.
Isyk patut ke aku buat macam tu? Macam mana erk? Nak ikut idea kawan aku ke tak nak ni? Kalau ikutkan amarah dendam dari hati memang patut kot aku buat macm tu? Bukan nak mengungkit tapi rasanya aku dah banyak jugak berhabis duit kerana dia… Tiba-tiba tanduk bercabang pun mula keluar dari kepalaku…….

…Masih bersambung…
 
Last edited:
Back
Top
Log in Register