combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,402
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,402
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC Suriaghandi Suppiah Terima DSPN
Kredit: Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC)
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) Suriaghandi Suppiah dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran “Datuk” bersempena dengan Hari Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.
Menerusi kenyataan hari ini, MHTC memaklumkan anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan negara sepanjang hampir tiga dekad, khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan, pelaburan dan kepimpinan institusi.
Suriaghandi dalam kenyataan sama berkata beliau menerima anugerah berkenaan dengan penuh rasa syukur.
“Pengiktirafan ini bukan hasil usaha saya seorang. Ia milik setiap institusi yang telah membentuk saya serta semua warga sektor penjagaan kesihatan Malaysia, hospital ahli kami, rakan-rakan di agensi kerajaan dan pasukan MHTC yang melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi dan berdisiplin, sekali gus membina reputasi negara.
“Respons saya terhadap penghormatan ini ialah untuk terus berusaha dan mengekalkan kepercayaan diberikan,” katanya dalam kenyataan itu.
Di bawah kepimpinan Suriaghandi, agenda antarabangsa MHTC dipacu dengan lebih pesat termasuk pelancaran dan pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia bagi Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 (MYMT 2026) dengan slogan “Healing Meets Hospitality”, selain memperluas aktiviti promosi pasaran di seluruh ASEAN, Asia Barat dan Asia Selatan.
Beliau turut memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan dan agensi kerajaan, di samping mempertingkat tadbir urus serta memupuk budaya membuat keputusan berasaskan data dalam organisasi.
“Segala usaha berkenaan telah mengukuhkan kedudukan Malaysia selaku destinasi penjagaan kesihatan pilihan, selain meningkatkan standard yang menjadi penanda aras kepada industri,” menurut kenyataan itu.
Sebelum menyertai MHTC pada September 2025, Suriaghandi pernah memegang beberapa jawatan kanan di Khazanah Nasional, KPJ Healthcare dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta mewakili Malaysia dalam sukan hoki pada Sukan Olimpik Barcelona 1992.