afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,296
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,296
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Ketidakpercayaan jadi cabaran kerjasama PH-Bersatu di Melaka
Penganalisis berkata pengkhianatan Bersatu pimpinan Muhyiddin terhadap Pakatan Harapan yang kini diterajui Anwar Ibrahim menyukarkan kedua-dua pihak untuk bekerjasama.
Bagaimanapun, dengan sikap pragmatik menjadi antara asas politik, kerjasama sedemikian tidak boleh ditolak sepenuhnya, kata pensyarah Universiti Malaya Tawfik Yaakub.
Tawfik berkata, antara cabaran terbesar ialah mendapatkan sokongan penyokong tegar PH di Melaka untuk mengundi calon Bersatu selepas apa yang berlaku pada 2020.
“Saya percaya sebahagian penyokong tegar PH mungkin masih menyimpan rasa tidak percaya yang mendalam terhadap Bersatu dan sukar menerima arahan untuk mengundi calon parti itu,” katanya kepada FMT.
Pada Februari 2020, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden PKR ketika itu, Azmin Ali, mengetuai tindakan beberapa Ahli Parlimen keluar daripada PH, yang membawa kepada kejatuhan kerajaan dalam peristiwa yang kini dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Tawfik berkata, pemimpin PH kini sukar untuk meletakkan kepercayaan kepada Bersatu, sekali gus menjadikan kerjasama dengan bekas sekutu itu tidak mungkin berlaku hanya kerana PH memerlukan sebuah lagi parti Melayu untuk ‘menggantikan’ Umno.
“Memulakan rundingan antara kedua-dua parti bukan cabaran terbesar. Cabarannya ialah membina semula kepercayaan politik yang sudah terhakis,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa politik akhirnya berkisar soal pragmatisme, justeru penyokong PH mungkin menerima kerjasama taktikal dengan Bersatu sekiranya PH dapat menjelaskan persamaan matlamat atau musuh antara kedua-dua pihak.
Namun, beliau memberi amaran bahawa naratif yang meyakinkan amat penting.”Jika tidak, ia akan menimbulkan kekeliruan dan penolakan dalam kalangan akar umbi PH,” katanya.
“Persoalan besarnya bukan sekadar sama ada pemimpin kedua-dua PH dan Bersatu boleh bekerjasama, tetapi sama ada penyokong kedua-dua parti bersedia mengundi calon antara satu sama lain.”
Pada Selasa, Ketua Penerangan Bersatu Melaka Hishamuddin Abdul Karim berkata bahagian negeri itu terbuka untuk meneroka kerjasama pilihan raya dengan PH bagi PRN Melaka.
Dengan mengambil kira prestasi buruk parti itu dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan, Hishamuddin berkata semua pilihan perlu dipertimbangkan secara terbuka bagi memastikan kelangsungan Bersatu.
Dalam PRN Melaka terakhir pada November 2021, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). PH memperoleh lima kerusi, manakala baki dua kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN) menerusi Bersatu.
PRN seterusnya perlu diadakan selewat-lewatnya pada akhir Februari tahun depan.
Tawfik berkata kerjasama itu boleh mengurangkan perpecahan undi yang mungkin memberi kelebihan kepada BN atau PN.
Beliau berkata Bersatu masih mempunyai rangkaian organisasi dan kelompok penyokong tertentu yang boleh melengkapi kekuatan PH.
“Bagaimanapun, manfaatnya hanya bersifat taktikal dan bukan jaminan kemenangan, kerana PH perlu menilai sama ada tambahan undi daripada Bersatu mampu mengatasi potensi kehilangan penyokong yang tidak bersetuju dengan kerjasama itu,” katanya.
Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata kerjasama antara PH dan Bersatu akan mengulangi episod ketika PKR, DAP dan Amanah bekerjasama dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menumbangkan BN daripada kuasa persekutuan.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan apa yang boleh diperoleh PH daripada kerjasama dengan Bersatu pada ketika ini, mengambil kira pengaruh dan sokongan parti itu yang semakin merosot.
Lau turut berkata PH perlu mempertimbangkan dua perkara, iaitu pembahagian kerusi dan sama ada Bersatu membawa bersama skandal yang secara tidak langsung perlu ditanggung oleh gabungan itu.
Tawfik bersetuju, sambil berkata PH perlu ingat bahawa Bersatu telah kehilangan sejumlah besar penyokong, anggota dan pemimpin kepada Parti Wawasan Negara pimpinan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin sejak beberapa bulan lalu.
