kupanglaut
Super Active Member
- Messages
- 9,716
- Joined
- Jun 13, 2025
- Messages
- 9,716
- Reaction score
- 97
- Points
- 80
Keselamatan Perlu Diutamakan Sebelum Guna Teknologi Baharu - Gobind
Menteri Digital Gobind Singh Deo berucap pada Program Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp di SJK (C) Puay Chai 2, Bandar Utama hari ini.
Penilaian keselamatan perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum teknologi baharu diterima pakai bagi mencegah kegagalan operasi serta memastikan kepercayaan pengguna terpelihara, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata meskipun kepesatan kemajuan teknologi daripada robotik sehingga model bahasa besar (LLM) menawarkan peluang yang besar, namun pengguna dan pembuat dasar perlu memahami risiko sedia ada, proses pengesahan serta mekanisme kawalan yang diperlukan sebelum teknologi itu dilaksanakan sepenuhnya.
Bercakap pada program Jelajah AI MyMahir di sini hari ini, Gobind berkata gangguan teknikal melibatkan sebuah robot autonomi pada pelancaran acara kecerdasan buatan (AI) sebelum ini, memberikan pengajaran penting mengenai tahap kesediaan teknologi dan kawalan keselamatan.
"Sebenarnya kita harus pastikan bahawa ia (AI) selamat sebelum kita gunakan ... sebelum memperkenalkannya dan meminta orang ramai menggunakannya secara meluas.
"Perlu ada kawalan perlindungan berlapis bagi memastikan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, kita masih berupaya untuk mengawalnya," katanya.
Gobind berkata dalam bidang robotik dan penggunaan sistem autonomi, infrastruktur digital yang kukuh serta kawalan perlindungan berlapis amat penting sekiranya berlaku sebarang gangguan.
Mengenai peningkatan penggunaan AI, termasuk ChatGPT dan Gemini, beliau mengingatkan pengguna supaya mengesahkan kesahihan dan ketepatan maklumat sebelum membuat sebarang keputusan penting.
Mengenai pembangunan tenaga kerja dan kesiapsiagaan negara, beliau berkata Malaysia perlu proaktif meningkatkan kemahiran modal insan bagi memenuhi keperluan teknologi baharu, dan bukannya menunggu sehingga berlaku gangguan.
"Jadi, kita perlu menjangkakan kesan teknologi terhadap pekerjaan,misalnya kita perlu mengambil langkah dari sekarang bagi memastikan tenaga kerja bersedia menghadapinya apabila tiba masanya.