afwan83
Active+ Member
- Messages
- 3,222
- Joined
- Aug 4, 2011
- Messages
- 3,222
- Reaction score
- 12
- Points
- 25
Kerjasama PH-Umno hanya sementara, kata ketua Pemuda Johor
Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, berkata kerajaan perpaduan hanyalah suatu titik persinggahan sementara untuk parti itu mengumpul kekuatan. (Gambar Facebook)
Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambros, berkata Umno perlu diberi ruang untuk menentukan strategi dan bentuk kerjasama politik terbaik menjelang PRU16 tanpa terikat dengan mana-mana parti di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
“Kerajaan perpaduan yang kita anggotai ini hanyalah suatu titik persinggahan. Persinggahan sementara mengumpul kekuatan.
“Ia bukan destinasi akhir. Kerana matlamat akhir kita adalah untuk kembali dominan dan mendominasi,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar ketua Pemuda Umno di perhimpunan agung sayap itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Beliau berkata agenda menyatupadukan bangsa juga perlu dijadikan hala tuju strategik parti menuju PRU16, dengan tawaran politik yang jelas, berprinsip dan diyakini rakyat.
“(Kita perlu) menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan untuk menetapkan kerangka, strategi dan garis masa yang terbaik dalam merealisasikan agenda penyatuan ummah demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Noor Azleen berkata Umno juga perlu terus berada di hadapan dalam memperjuangkan isu rakyat termasuk pendidikan, kesihatan awam, kos sara hidup, peluang pekerjaan, perumahan dan tekanan terhadap peniaga serta penjaja.
Katanya, Umno juga perlu menawarkan dasar yang menunjukkan parti itu bersedia kembali mentadbir negara dengan lebih baik sekiranya diberi mandat.
Beliau mengingatkan Umno untuk kembali memayungi usaha memperkukuh perpaduan orang Melayu bagi mengembalikan peranannya sebagai suara utama mewakili kepentingan golongan itu.
Katanya, orang Melayu kini berdepan perpecahan dan krisis kepimpinan, manakala parti-parti politik Melayu pula terus berpecah.
“Sebagai parti tulen orang Melayu, Umno kena ambil tanggungjawab untuk menghentikan perpecahan ini, dan kembali mentauti perpaduan, serta menelusuri jalur-jalur untuk memperkukuh kembali kesatuan orang Melayu,” katanya.