BTC USD 76,311.8 Gold USD 4,324.32
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kerajaan Teliti Langkah Proaktif Tangani Krisis Tenaga Global

combat13

CG Top Poster Club
gem
Messages
28,184
Joined
Dec 18, 2007
Messages
28,184
Reaction score
346
Points
141
b62cbea391afb54cf7fe23ec3889745f69ce1eccabdae

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, ketika ditemui media selepas meninjau status tapak pembinaan Jalan Baharu Nilai-Labu ke Bandar Enstek di bawah projek Malaysia Vision Valley (MVV) hari ini.

Kerajaan mengambil pendekatan proaktif dalam menilai perkembangan krisis tenaga global dengan mengambil kira perancangan jangka sederhana bagi memastikan kestabilan ekonomi negara terpelihara.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementerian menjangkakan konflik berkenaan berlanjutan sekurang-kurangnya enam bulan namun perancangan awal telah disusun bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Jangkaan kementerian, paling cepat konflik ini enam bulan...kalau tidak kesannya mungkin menjangkau setahun. Maka sebab itu perancangan dan penyusunan itu perlu melihat soal jangka sederhana.

“Sebab itu kami sedang meneliti pendekatan berkenaan bagi membolehkan campur tangan dan memastikan segala keutamaan mendesak dihadapi ketika ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Malaysia Vision Valley (MVV): Pembinaan jalan Nilai-Labu ke Bandar Enstek yang dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Akmal Nasrullah mengulas mengenai prospek yang boleh dijangkakan rakyat sekiranya konflik tersebut berlarutan hingga pertengahan tahun.

Beliau berkata di peringkat kementerian, pemantauan dilaksanakan secara menyeluruh termasuk melalui penggunaan dashboard bagi meneliti data dan statistik, di samping mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pihak industri.

Beliau berkata krisis tenaga global memberi kesan berantai kepada rantaian bekalan yang bergantung kepada diesel, minyak dan gas, sekali gus memaksa industri berdepan cabaran baharu serta mencari sumber bekalan alternatif bagi memastikan kelangsungan operasi.

“Kementerian melihat kesan ekonomi jangka sederhana dan panjang. Kita hendak memastikan kesan atau reaksi itu tidak mengganggu secara total terhadap aktiviti ekonomi.

“Kita juga mahu pastikan supaya aktiviti itu masih berlangsung. Dalam menguruskan pertumbuhan ekonomi jangka sederhana, keupayaan rakyat membuat perbelanjaan akan memberi petanda ekonomi berkembang, termasuk soal pelaburan daripada pihak swasta atau perbelanjaan kerajaan untuk memastikan infrastruktur dan pembangunan terus berlaku,” katanya.

 
Back
Top
Log in Register