ni ada satu contoh berniat ketika solat..mungkin x menjawab soalan tt,tapi nampak ade sedikit perkaitan
Sekitar Niat Solat
Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Pernah menjadi satu perbincangan hangat antara teman-teman selepas tamat membaca Yasin pada malam Jumaat mengenai suruhan Nabi apabila seseorang itu hendak sembahyang di mana dia hendaklah menghadap kiblat dan bertakbir. Keterangan ini membuktikan bahawa seseorang yang hendak sembahyang, ia tidak perlu niat.
Seperkara lain, saya sering berhadapan dengan masalah ketika berniat, di mana niat itu sukar sekali hendak dilakukan serentak dengan sebutan ``Allahuakhbar'', ketika takbiratulihram.
- Kassim, Pekan, Pahang
Jawapan:
Persoalan yang saudara kemukakan ada kaitan dengan sebuah hadis yang bermaksud: Apabila engkau mendirikan sembahyang, maka hendaklah engkau menyempurnakan wuduk, kemudian menghadap kiblat dan bertakbir.
Memang benar zahir hadis ini tidak menyebut secara khusus agar seseorang itu berniat dalam hati ketika memulakan sembahyang. Tetapi hadis ini juga tidak boleh dijadikan hujah membolehkan bahawa niat itu tidak perlu atau tidak wajib. Dalam hadis ini disebut jelas bahawa orang yang sembahyang hendaklah menghadap kiblat, tetapi ketika musafir baginda Rasulullah s.a.w. pernah bersembahyang sunat di atas kenderaannya menghadap ke mana-mana arah yang dituju oleh kenderaannya sama ada ke timur atau ke barat berdasarkan firman Allah seperti yang tersebut dalam surah al-Baqarah: 115 yang bermaksud: Di mana sahaja kamu menghadap, maka di sanalah wajah Allah. Apabila hendak melakukan sembahyang fardu, Baginda turun dari kenderaannya dan sembahyang dalam keadaan menghadap kiblat.
Kalaulah alasan sembahyang Rasulullah itu semata-mata berdasarkan kepada hadis di atas, tentunya Rasulullah tidak akan melakukan sembahyang sunat menurut hala arah kenderaan. Hadis di atas adalah umum, merangkumi sembahyang sunat dan wajib. Kerana itu persoalan tentang wajibnya niat itu perlu merujuk kepada alasan-alasan dari sumber yang lain.
Niat, dari segi bahasa bererti kasad, tujuan dan nazar. Menurut istilah syarak, niat bererti sengaja melakukan sesuatu yang disertakan dengan perbuatan. Kalau ia merujuk kepada sembahyang, niat hendaklah dilakukan pada permulaan sembahyang, iaitu ketika membaca lafaz ``Allahuakbar''.
Niat membezakan sama ada perlakuan yang dilakukan oleh seseorang itu menjadi adat/kebiasaan semata-mata ataupun ibadah. Orang yang duduk di masjid kerana berehat berbeza dengan orang yang beriktikaf. Niat dalam sembahyang adalah rukun. Bererti sembahyang tidak sah tanpa niat.
Ada tiga perkara penting yang perlu terkandung dalam niat iaitu kasad, taarud dan takyin. Kasad bererti sengaja melakukan sembahyang. Taarud ialah kenyataan tentang sifat sembahyang, sama ada fardu atau sunat. Manakala takyin pula ialah ketentuan sembahyang seperti sembahyang zuhur, aidilfitri, tarawih dan sebagainya. Perkara-perkara lain yang sunat disebut ialah tentang rakaat, tunai atau qada juga sebutan tentang kerana Allah Taala.
Dalam masyarakat Melayu, persoalan lain yang sering timbul ialah tentang sebutan ``usalli'', yang juga disebut sebagai ``talaffuz bi `n-niyyat'', iaitu sebutan niat dengan lisan. Seperti yang diketahui, lafaz ini bukan niat kerana niat itu terletak pada hati, bukan di lidah. Bacaan ``usalli ini juga disebut sebelum takbir sedangkan niat sembahyang itu dibaca atau dihadirkan dalam hati ketika membaca takbir. Kerana itu memang tidak memadai andainya seseorang itu bersembahyang hanya dengan menyebut ``usalli'' (hingga akhirnya sebagai lazim) semata-mata tanpa disertai dengan niat dalam hati.
Menurut Imam An-Nawawi, hukum membaca ``usalli'' yang dibaca sebelum membaca Allahuakbar itu adalah sunat. Dilakukan demikian bertujuan agar lidah dapat membantu hati, untuk menjauhkan diri daripada timbulnya rasa waswas yang sering menganggu orang yang berniat. Demikianlah juga seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Zainuddin dalam Fathul Muin dalam bab Sifat Sembahyang, Syeikh al-Islam al-Ansari dalam Fathul Wahab, Imam Khatib Sarbini dalam kitab Mughnil Muhtaj juga lain-lain imam Mazhab As-Shafie.
Yang dimaksudkan dengan waswas itu ialah keraguan yang dirasai oleh seseorang, sama ada seseorang itu telah sempurna berniat atau belum, menyebabkannya mungkin berniat berkali-kali ketika memulakan sembahyang. Namun demikian sekiranya bacaan ``usalli'' yang dibaca itu boleh menyebabkan waswas, menyebabkan rasa ragu, sama ada niatnya telah sempurna atau belum, maka ia boleh meninggalkan bacaan ``usalli'' (hingga akhir) kerana bacaan tersebut adalah sunat hukumnya, tidak berdosa kalau meninggalkannya dalam sembahyang tetap sah tanpanya. Demikian menurut pendapat mazhab As-Shafie.
Menurut sebuah hadis daripada Umar Ibn al-Khatab r.a. ia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah berkata: Bahawasanya seluruh ibadah itu adalah dengan niat dan apa yang diperolehnya hanya yang diniatkan.
Hadis sahih ini menjelaskan bahawa semua amalan itu mesti disertakan dengan niat. Hadis ini adalah hadis perintah (amr), bukan khabar semata-mata. Mengenai sembahyang, ia mesti mempunyai niat iaitu yang disebut dalam hati, yang mengandungi kasad, taarud dan takyin. Tanpa niat amalan seseorang itu akan menjadi amalan biasa (adat) semata-mata, tidak diperkira sebagai ibadah. Merujuk kepada sembahyang, tanpa niat sembahyang tidak sah.
Allah s.w.t memerintahkan manusia itu agar beribadah. Perintah itu disebut sebagai amr (suruhan). Semua suruhan. Di antara ibadah yang melibatkan penyembahan Allah ialah sembahyang lima waktu. Kerana itu sembahyang itu adalah wajib hukumnya. Sembahyang (ibadah) itu hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah iaitu dalam keadaan ikhlas. Hal demikian membuktikan bahawa niat itu wajib dilakukan pada ibadah sembahyang. Dalam surah al-Bayyinah: 5 terdapat firman Allah yang bermaksud: Dan tidaklah mereka semua (manusia) itu diperintahkan kecuali untuk beribadah kepada Allah dalam keadaan ikhlas dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus. Lurus di sini bermaksud jauh daripada syirik dan kesesatan.
Dalil lain membuktikan tentang wajibnya niat ialah ijmak ulama iaitu kata sepakat daripada imam-imam mujtahid yang hidup dalam satu zaman, dan tidak seorang pun daripada mereka yang membantah tentang wajibnya niat.
Apabila membicarakan tentang niat, persoalan yang timbul ialah ketika bila niat itu mesti dilafazkan. Kalau berniat sembahyang, adakah perlu dibaca/dihadirkan niat itu dalam hati serentak ketika lidah menyebut lafaz ``Allahuakbar'' atau adakah ia boleh dibaca terkemudian daripadanya. Seperti orang yang sedang hendak sembahyang maghrib adakah lafaz niat dalam hati itu (iaitu: Sahaja aku sembahyang fardu maghrib dua rakaat tunai kerana Allah Taala) mesti disertakan ketika lidah sedang melafazkan perkataan ``Allahuakbar''?
Niat sembahyang hendaklah dibaca serentak dengan permulaan ibadah. Tidak terdahulu atau terkemudian. Rasulullah ada bersabda yang bermaksud: Anak kunci sembahyang itu ialah bersuci dan pengharamnya ialah takbir, manakala penghalalnya ialah salam.
Hadis ini bermaksud bahawa sembahyang mesti dilakukan dalam keadaan suci iaitu berwuduk. Apabila seseorang itu telah bertakbir, haram baginya melakukan sesuatu yang sebelumnya halal. Dan apabila telah salam, maka perkara yang haram dilakukan ketika sembahyang menjadi halal iaitu boleh dilakukan semula.
Jelasnya sembahyang itu bermula dengan sebutan ``Allahuakbar'' ketika itulah niat perlu dilafazkan, iaitu dihadirkan dalam hati. Penyertaan niat, yang juga disebut sebagai ``muqaranah atau serentak itu ada dua jenis, muqaranah haqiqiyah iaitu serentak betul di mana permulaan niat itu dimulakan ketika lidah menyebut lafaz ``Allahuakbar'' dan berakhir pada perkataan ``bar''(pada akbar), juga muqaranah urfiyah iaitu tidak serentah betul itu asalkan niat itu pada keseluruhannya terlintas hadir dalam hati ketika membaca ``Allahuakbar''.
Adalah diakui bahawa sebutan ``muqaranah haqiqiah'' itu sukar dilakukan kerana itu sebutan atau menghadirkan niat dengan muqaranah urfiyah adalah memadai.
Perlu dijelaskan bahawa masalah niat yang disebut dalam hati seperti yang dijelaskan ini adalah merupakan masalah kepada sesetengah orang menyebabkannya mengulangi perbuatan niat yang akhirnya menjadi seumpama satu beban. Selain daripada menghilangkan rasa khusyuk, ia juga mengganggu makmum lain yang ada di sebelahnya sering berlaku, orang yang bermasalah ketika berniat ia juga menghadapi masalah ketika membaca Al-Fatihah iaitu pada huruf-huruf kesamaran.
Orang yang seperti ini juga adakalanya didatangi oleh pelbagai ingatan yang berlaku di luar sembahyang, yang baru berlaku atau yang telah lama berlaku, tetapi begitu menarik ketika berada di pejabat, di perjalanan atau memikiri bagaimana hendak mendapat wang bagi memenuhi keperluan anak-anak dan sebagainya.
Apabila penghayatan seseorang itu berlaku pada peristiwa-peristiwa di luar sembahyang, maka tumpuan terhadap Allah akan terhakis. Pemikiran seseorang tidak boleh tertumpu kepada Allah dan hal-hal keduniaan serentak ketika sembahyang. Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah seperti ini sekiranya syarat wajib dan rukun dapat dipenuhi, maka sahlah sembahyang, namun oleh kerana ia tidak berupaya melakukan sembahyang dengan khusyuk, maka sembahyang yang dilakukan tidak akan memberi kesan pada diri, untuk membentuk manusia yang terhindar daripada kejahatan dan kemungkaran.
sumber : halaqah.net