Harga lemang Pok Ali naik sebab buluh
AIDA menunjukkan dua batang lemang Pok Ali yang dijual di bazar Ramadan di Dataran Shah Bandar, semalam. FOTO Baharom Bakar
Kuala Terengganu: "Peningkatan harga lemang kami sebanyak RM1 sebatang bukan disebabkan kenaikan harga santan, sebaliknya berpunca daripada buluh lemang," kata peniaga lemang Pok Rahim, Aida Said, 37, ketika ditemui di bazar Ramadan di Dataran Shah Bandar di sini, semalam.
Menurutnya, mereka tidak menggunakan santan dibeli di pasar, sebaliknya memprosesnya sendiri.
Aida yang menjual lemang Pok Ali sejak 12 tahun lalu dari Kampung Bukit Depu di sini, berkata, sebatang lemang dijual pada harga antara RM13 dan RM15 sebatang bergantung kepada saiz, berbanding hanya RM12 dan RM14 pada Ramadan tahun lalu.
Menurutnya, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan harga buluh lemang daripada RM2 kepada RM3.50 sen sebatang pada tahun ini.
"Walaupun berlaku peningkatan harga kelapa tua iaitu RM3.80 sen sebiji tetapi harga lemang meningkat bukan berpunca daripada kenaikan harga santan, sebaliknya harga buluh lemang yang naik secara mendadak," katanya yang turut menjual pelbagai jenis kuih muih berasaskan santan.
Aida mengakui, harga pelbagai kuih muih yang berasaskan santan naik antara 10 sen dan 20 sen.
Katanya, harga dua batang pulut panggang adalah RM3, satar lima biji RM4, ketupat palas lima biji dijual pada harga RM4, manakala tiga biji pau goreng adalah RM2.
"Bagi mengelakkan masyarakat terbeban dengan kenaikan harga pelbagai jenis kuih muih berasaskan santan, kita sendiri memproses bahan itu daripada kelapa tua," katanya.
Disiarkan pada: March 3, 2025 @ 12:26pm