BTC USD 62,947.4 Gold USD 4,300.06
Time now: Jun 1, 12:00 AM

Kemaskini PRK DUN Slim 2020

Xploit Machine

CG Hardcore Club
gemgem
Messages
73,459
Joined
Nov 23, 2012
Messages
73,459
Reaction score
7,735
Points
916
17.07.2020 - Kuala Lumpur, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 23 Julai ini bagi membincangkan tarikh penting pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata perkara itu diputuskan selepas menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, mengenai kekosongan luar jangka kerusi N. 58 Slim, hari ini.

Kekosongan luar jangka DUN itu berlaku selepas penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang, Rabu lalu, akibat serangan sakit jantung ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf & Country Resort.


"Berdasarkan Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh yang dipastikan oleh SPR kekosongan itu berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mesyuarat khas SPR itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi, Dr Azmi Sharom dan ia akan diadakan pada jam 9 pagi di Ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya.

Ikmalrudin berkata mesyuarat itu antara lain akan membincangkan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain bagi melaksanakan PRK tersebut.

Dalam pada itu SPR turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Khusairi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, beliau mengekalkan kerusi dengan majoriti 2,183 undi menentang calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang bertanding atas tiket PKR, iaitu Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Screenshot-2244.jpg


Berita asal https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1861733
 
UMNO Akan Letak Calon, Yakin PAS & Bersatu Bagi Laluan

19.07.2020 - Shah Alamr, UMNO yakin rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) akan memberi laluan kepada BN untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim. Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Tajuddin Abdul Rahman berkata, kerusi berkenaan secara tradisinya milik UMNO dan pasti akan dipertahankan parti.

"Kawasan itu kawasan UMNO besar kemungkinan UMNO letak calon. Bila UMNO letak calon PAS tak akan letak calon, sudah ada muafakat. Kalau UMNO tanding PAS tak bertanding dan begitulah kalau PAS tanding UMNO tak tanding, itu telah dipersetujui," katanya ketika kepada media lewat malam tadi di Shah Alam.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Khusairi Abdul Talib 15 Julai lalu. Khusairi merupakan Adun Slim selama empat penggal dan pernah menjadi pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Pemergian allahyarham akan membuka laluan kepada pilihan raya kecil buat kali ke-12 sejak pilihan raya umum lalu.

Khusairi memenangi kerusi itu pada PRU 2004 dan mempertahannya sebanyak dua kali dengan majoriti selesa. Bagaimanapun pada PRU 2018, allahyarham mengekalkan kerusi itu dengan hanya 44.8 peratus undi apabila calon Bersatu memperoleh 33 peratus undi dan calon PAS memperoleh 22 peratus undi.

Ditanya sama ada Bersatu akan meletakkan calon ataupun tidak di kerusi itu dalam PRK yang akan diadakan itu nanti, beliau yakin tidak akan berlaku pertembungan sesama sendiri dalam PRK itu kelak.

"Bersatu saya rasa akan menghormati dengan tak akan letak calon dan calon UMNO tentu akan dapat sokongan dari parti-parti kerajaan PN. Kita tak akan berlawan satu sama lain, 'kartunlah' kalau berlawan sesama sendiri," katanya lagi.

Berita asal https://www.malaysiakini.com/news/535086
 
Pemuda MIC Yakin Pengundi India Akan Bersama PN

20.07.2020 - Kuala Lumpur, Pemuda MIC yakin bahawa pengundi India akan bersama Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, Perak.

Ini selepas Ketua Pemuda MIC R Thinalan berkata masyarakat India berasa selesa dengan keputusan-keputusan yang diambil oleh kerajaan PN dalam menangani krisis Covid-19 iaitu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya nampak respons kaum India terhadap kerajaan PN sangat positif dalam pasca Covid-19 ini.

"Mereka memuji kerajaan PN dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang jelas memberi yang terbaik kepada rakyat sehingga Malaysia dinobatkan sebagai antara negara yang terbaik dalam mengendalikan penularan wabak Covid-19," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pemuda MIC dengan Universiti antarabangsa Unitar di Kelana Jaya hari ini.


13 peratus pengundi India

Kerusi DUN Slim kosong berikutan penyandangnya yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai lalu membuka laluan kepada pilihan raya kecil buat kali ke-12 sejak pilihan raya umum 14 (PRU14) lalu.

Terdapat lebih 23,300 pengundi berdaftar untuk kawasan Slim.

"Daripada 23,000 pengundi, lebih 3,000 atau 13 peratus adalah pengundi India. Dan saya nampak pengundi India ini sangat penting untuk PN mengekalkan majoriti besar seperti sebelum ini.

Ketika ditanya apakah ramalan khususnya pengundi India di PRK Slim nanti, Thinalan membalas bahawa beliau sasar bahawa lebih 60 peratus hingga 70 peratus pengundi India akan keluar mengundi.

"Ada satu kumpulan besar daripada pengundi ini kerja di ibu Kota dan tempat lain seperti Singapura. Jadi, saya sasar 60 peratus hingga 70 peratus akan keluar mengundi.

"Daripadanya lebih kurang 65 peratus akan mengundi kepada calon PN," katanya.

Pada PRU14 lalu Khusairi memenang kerusi Slim dengan mengalahkan calon PH dari Bersatu, Mohd Amran Ibrahim; serta Muhammad Zulfadli Zainal dari PAS.

Allahyarham memperoleh 8,327 undi dan mengatasi lawan terdekat dengan 2,183 undi.

Sementara itu, Pemuda MIC mengucapkan terima kasih kepada pihak Unitar selepas memberi biasiswa sebanyak RM1 juta kepada pelajar India daripada golongan B40.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada Unitar kerana memberi biasiswa RM1 juta. Kami harap pelajar India dari golongan B40 supaya tampil ke depan membuat permohonan untuk biasiswa ini.

"Mereka yang berminat boleh menghubungi Pejabat Pemuda MIC untuk maklumat lanjut," katanya.

Berita asal https://www.malaysiakini.com/news/535300
 
UMNO Putuskan Calon Ahad Ini

31.07.2020 - Kuala Lumpur, UMNO akan memutuskan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Ahad ini.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa berkata BN Perak telah mengemukakan senarai pendek calon PRK itu kepada Ibu Pejabat UMNO, tiga hari lalu.

"Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan mengumumkan nama calon tiga hari sebelum hari penamaan calon 15 Ogos ini," katanya kepada pemberita selepas menyertai solat sunat Aidiladha dan ibadah korban di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, di Kampung Sungai Penchala, Damansara, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mengesahkan akan memberi laluan dan akan menghulurkan sokongan penuh kepada UMNO untuk bertanding pada PRK itu.

Annuar berkata, susulan PRK Slim, BN bersama Muafakat Nasional (UMNO-PAS) dan Bersatu Perak bersetuju menubuhkan jawatankuasa bersama yang dinamakan Muafakat Nasional 'Plus'.

"Alhamdulillah semuanya baik dan Perikatan Nasional (PN) serta BN mempunyai jentera yang berpengalaman dan tidak berdepan masalah.

"Cuma perlukan pemantauan sebab itu kita bersetuju membentuk satu jawatankuasa Bersama Muafakat Nasional ‘Plus' bersama dengan dianggotai Bersatu, PAS dan parti-parti lain buat pertama kali atas semangat PN.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandang Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh pengundian manakala 15 Ogos bagi penamaan calon dan 25 Ogos tarikh pengundian awal.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, Mohd Khusairi, yang mewakili BN, mengekalkan kerusi DUN Slim dengan majoriti 2,183 undi, menewaskan Bersatu yang bertanding atas tiket PKR diwakili Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.

Berita asalhttps://www.bernama.com/bm/politik/news.php?id=1866066
 
Lebih 500 Polis Pantau Proses Penamaan Calon PRK DUN Slim Esok

14.08.2020 - Tanjong Malim, Lebih 500 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan memantau perjalanan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, esok.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata polis akan melakukan dua sekatan jalan raya di Jalan Persekutuan di kilometer (KM) 117 arah selatan dan KM 121 arah utara menghala ke pusat penamaan calon di Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) bermula 6.30 pagi.

"Laluan masuk ke pusat penamaan calon juga ditutup di simpang masuk MDTM dari Jalan Persekutuan iaitu berhadapan Petronas Behrang 2020 dan laluan masuk ke MDTM melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya menetapkan laluan masuk bagi calon Barisan Nasional (BN) melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana manakala calon lain boleh menggunakan laluan di Jalan Persekutuan.

Tegasnya, hanya tiga orang terdiri daripada calon, pencadang dan penyokong dibenarkan memasuki pusat penamaan calon, selain tiada aktiviti berkumpul atau perarakan oleh penyokong mana-mana parti ketika proses penamaan calon itu.

Dalam pada itu, Sulizmie Affendy berkata sebarang ceramah yang diadakan semasa tempoh berkempen perlu mendapat permit polis, namun tiada permit diperlukan bagi kempen rumah ke rumah.

Beliau turut mengingatkan para penyokong parti supaya tidak menimbulkan provokasi semasa tempoh berkempen selain mematuhi prosedur operasi standard mencegah penularan wabak COVID-19 dengan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang ingkar.

Sementara itu, beliau memaklumkan 277 pengundi awal polis daripada 23,094 pengundi berdaftar akan mengundi pada 25 Ogos ini di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 15 Ogos manakala pengundian awal pada 25 Ogos dan mengundi pada 29 Ogos.

Berita asal https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1870253
 
PRK Slim Bermula Esok

14.08.2020 - Tanjong Malim, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim bermula esok dengan proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim di sini.

Proses penamaan akan bermula 9 pagi dengan bakal calon diberi tempoh sejam sehingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan sebelum Pegawai Pengurus PRK Shamsul Ridzuan Idris mengumumkan senarai calon yang layak bertanding.

Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuat kuasa bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenar masuk ke pusat penamaan calon.

Menurut kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penyokong parti politik tidak dibenar hadir ke pusat penamaan calon dan aktiviti berkumpul serta perarakan juga tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

PRK ini merupakan yang kedua diadakan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas, selepas PRK DUN Chini pada 4 Julai lepas. Ia juga merupakan PRK ke-12 diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Garis panduan yang diguna pakai semasa PRK DUN Chini akan dipraktikkan semasa PRK DUN Slim dengan beberapa penambahbaikan, antaranya bilik gerakan parti dibenar dibuka sepanjang tempoh pilihan raya termasuk hari mengundi dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan SPR.

Barisan Nasional (BN) pada Rabu mengumumkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, sebagai calon bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan, manakala peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dinamakan sebagai calon mewakili kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Amir Khusyairi bagaimanapun akan bertanding atas tiket Bebas memandangkan parti baharu Dr Mahathir, Pejuang masih belum didaftarkan. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas.

Pada PRU14, Allahyarham Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, kerajaan Perikatan Nasional mempunyai 32 kerusi terdiri daripada BN (25) yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala blok pembangkang terdiri daripada DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga) dan Gerakan (satu).

Bebas mempunyai dua kerusi yang menyokong kerajaan PN negeri.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu melibatkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara.

Berita asal https://www.bernama.com/bm/news.php?id=1870221
 
Mohd Zaidi Janji Perjuang Keperluan Rakyat

14.08.2020 - Tanjong Malim, Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz berjanji akan memperjuangkan keperluan rakyat sekiranya memperoleh kemenangan kelak.

Menurut Mohd Zaidi, 43, yang merupakan anak jati Slim River yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, berkata beliau akan berusaha sebaik mungkin agar suara pengundi dalam DUN Slim dapat didengar sebaiknya.

"Justeru saya memohon semua agar menggembleng tenaga dan berusaha membantu menjayakan kemenangan BN bagi memastikan kemenangan lalu di bawah Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib diteruskan," katanya dalam sidang media khas pengumuman calon BN PRK N.58 Slim di sini, hari ini.

Mohd Zaidi yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan UMNO terutamanya Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang memilih beliau sebagai calon bagi PRK DUN Slim.

Mohd Zaidi, merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2001.

Mohd Zaidi, bapa kepada empat orang anak berumur antara lima hingga 16 tahun itu juga aktif dengan aktiviti luar dan sukarela termasuk menjadi Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi penggal 2014 hingga 2018.

PRK DUN Slim akan diadakan pada 29 Ogos ini berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lepas yang semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bertanding mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional terdiri daripada 25 BN yang kesemuanya UMNO, Bersatu (empat), PAS (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu).

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan calon parti baharu yang ditubuhkannya dikenali sebagai Pejuang untuk bertanding di PRK DUN Slim atas tiket Bebas pada malam ini, di sini.

Berita asal https://www.bernama.com/bm/politik/news.php?id=1869697
 
Back
Top
Log in Register