ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Zalina bersama Amni Najiyah ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa PD.
PORT DICKSON - "Walaupun anak saya hanya mampu sebut tiga perkataan, namun saya reda," kata Zalina Abdullah, 44, ibu kepada seorang kanak-kanak autisme, Amni Najiyah Aidil, 8 tahun.
Tidak seperti kanak-kanak lain seusia dengannya, Amni Najiyah hanya boleh menyebut perkataan 'ayah', 'mak' dan 'nak' sahaja.
Menurut Zalina, anaknya itu dilahirkan sempurna dan sihat, namun semuanya berubah selepas mereka sekeluarga terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika Amni berusia dua bulan.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika mereka lima beranak dalam perjalanan pulang ke kampung di Johor Bharu.
"Ketika itu, tayar kereta dipandu suami saya pecah sebelum terbalik dan terhumban ke dalam longkang.
"Semasa kemalangan, kami sekeluarga tidak cedera, namun kami tetap melakukan pemeriksaan dan ketika itu doktor memberitahu Amni normal," katanya.
Bagaimanapun, katanya, doktor menasihatkannya agar sentiasa memantau perkembangan Amni.
"Keadaan berjalan dengan baik sehinggalah Amni berusia sembilan bulan apabila dia sentiasa menunjukkan reaksi terkejut walaupun tidak ada sesiapa yang mengganggunya," katanya.
Zalina berkata, sejak itu, pembesaran dan perkembangan anaknya dilihat agak lambat berbanding bayi normal lain.
"Contohnya pada usia setahun empat bulan, Amni baru boleh berjalan dan sehingga kini dia tidak petah bercakap.
"Saya rasa, kemungkinan semasa kemalangan kepala Amni terhantuk sesuatu," katanya.
Tambahnya, doktor juga mengesahkan Amni bukan sahaja mengalami autisme malah hiperaktif.
"Doktor memang ada membekalkan ubat untuk Amni, tetapi bagi memastikan Amni sentiasa sihat dan tidak ada kesan sampingan dalam jangka masa panjang, saya kurangkan pengambilan ubat.
"Doktor juga setuju dengan tindakan saya memandangkan Amni semakin menurut kata.
Memanglah kadang-kadang dia akan bertindak hiperaktif terutamanya apabila bertemu dengan orang luar yang datang ke rumah, namun setakat ini ia dapat dikawal," katanya yang menghantar Amni ke pusat orang kurang upaya (OKU), Pusat Latihan Dalam Komuniti (PDK) Rantau.
Zalina berkata, di rumah Amni sangat rapat dengan ayah, kakak dan abangnya.
"Malah dia hanya akan makan jika disuap oleh kakaknya. Amni tidak akan makan selagi kakaknya tidak balik dari sekolah dan menyuapkannya makanan.
"Amni kini sudah berusia lapan tahun, namun perkembangan mindanya masih seperti kanak-kanak berusia dua atau tiga tahun malah sehingga kini Amni masih pakai lampin pakai buang," katanya.
Katanya, hati ibu mana yang tidak bercelaru bila anak kecilnya disahkan doktor tidak seperti kanak-kanak lain.
"Namun dengan sokongan suami dan ahli keluarga, saya hadapi dugaan ini dan tidak pernah terlintas di fikiran merasa terbeban mempunyai anak seperti Amni," katanya.