Bekas Pemandu Lori Menang Audi A5 2.0
KEMAMAN – Sambutan Tahun Baru Cina kali ini menjadi lebih bermakna bagi bekas pemandu lori dari Sarawak, Chang Hoh On yang memenangi kereta mewah Audi A5 2.0 menerusi cabutan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk bulan Disember.
Hoh On, 60, dari Kuching, berkata beliau tidak menyangka simpanan SSP berjumlah RM50,000 pada Jun lepas membawa tuah dalam bentuk kereta bernilai lebih RM400,000 kepadanya.
“Wang RM50,000 itu saya keluarkan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja selepas lebih 30 tahun bekerja sebagai pemandu lori dengan syarikat kontraktor di Kuching,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah, di sini hari ini.
Bapa kepada tiga anak itu yang tidak sabar untuk pulang ke Sarawak dan memandu kereta baharunya, berkata berdasarkan kemenangannya beliau percaya tidak sukar bagi penyimpan SSP memenangi cabutan bertuah yang dilakukan BSN setiap bulan.
Penyampaian hadiah hari ini dilakukan Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Perbankan Islam BSN Mohd Sofi Mat Jahaya. – BERNAMA