combat13
CG Top Poster Club

- Messages
- 28,197
- Joined
- Dec 18, 2007
- Messages
- 28,197
- Reaction score
- 346
- Points
- 141
Kelawar Jadi "Pengukur" Biodiversiti Di Ladang Sawit
Kredit: Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF)
Kelawar bakal dijadikan pengukur bagi membantu penyelidik memahami tahap biodiversiti dalam landskap sawit menerusi satu kajian baharu, menurut Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).
Dalam satu kenyataan hari ini, MPOGCF memaklumkan kajian selama dua tahun dengan pembiayaan sebanyak RM190,000 oleh yayasan berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Menurut MPOGCF kajian diketuai Pengarah Institut Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC) UNIMAS Prof Dr Mohd Azlan Jayasilan Abdul Gulam Azad.
"Kajian itu akan menilai bagaimana kepelbagaian dan aktiviti hidupan liar berubah merentasi kawasan hutan, sempadan hutan-ladang serta kawasan tanaman sawit yang terletak lebih jauh dari hutan," menurut kenyataan itu.
Pemilihan kelawar sebagai bioindikator disebabkan haiwan itu sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran, termasuk struktur habitat, ketersediaan sumber makanan dan tahap gangguan.
“Corak kehadiran, kepelbagaian spesies serta aktiviti kelawar justeru boleh memberikan petunjuk terhadap keadaan ekologi sesuatu landskap,” menurut kenyataan itu.
Kajian bertajuk Assessing Multiple Functional Habitats in Forest Patch–Oil Palm Interfaces Using Bat Sampling in WILMAR Plantation itu akan dilaksanakan di enam ladang sawit milik PPB Oil Palms Berhad, Wilmar di Miri, Sarawak dan dijangka selesai pada akhir 2027.
MPOGCF memaklumkan selain merekodkan spesies kelawar yang terdapat di kawasan berkenaan, kajian itu bertujuan menghasilkan bukti saintifik bagi membantu industri memahami bagaimana pengurusan landskap sawit boleh menyokong biodiversiti dan fungsi habitat.
“Dapatan kajian juga diharapkan dapat mengenal pasti perbezaan nilai biodiversiti antara hutan, kawasan peralihan hutan-ladang dan kawasan tanaman sawit, sekali gus membantu pemain industri membuat keputusan pemuliharaan yang lebih berasaskan bukti,” menurut kenyataan itu.