KOTA BHARU - Dua pegawai dan enam anggota polis kontinjen Kelantan digantung tugas kerana terlibat kes jenayah seperti pecah amanah dan rasuah, sepanjang 10 bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Beliau berkata, tiada kompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai dan anggota yang terlibat dengan kes jenayah termasuk dihadapkan ke mahkamah.
“Tindakan yang saya buat ialah tarik semua yang terlibat dan letakkan di bilik gerakan IPK untuk menjalankan tugas ’tambah sentara’ sementara siasatan ke atas mereka dijalankan.
“Kita masih lagi menyiasat kesalahan yang dilakukan itu dan tindakan susulan akan dikenakan ke atas mereka sama ada tahan kerja, gantung kerja atau buang kerja jika didapati bersalah.
“Saya pandang serius perkara ini, saya tidak akan kompromi, sesiapa yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai disiplin pegawai dan anggota polis kontinjen Kelantan di sini.
Beliau menasihatkan pegawai dan anggota supaya tidak melakukan perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang sebaliknya sentiasa memberi khidmat terbaik untuk orang ramai.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, kadar jenayah di Kelantan menunjukkan penurunan sebanyak lima peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Menurutnya, apa yang membimbangkan pihaknya sekarang ialah jenayah kekerasan yang menunjukkan peningkatan ialah jenayah rogol.
”Rogol terjadi berpunca dari pergaulan sosial yang terlalu bebas serta tidak cukup didikan agama dan pengawasan ibu bapa.
”Saya percaya perkara ini tidak akan berlaku sekiranya anak-anak pendapat didikan agama dan perhatian yang sempurna dari ibu bapa,” katanya kepada pemberita di Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Kelantan, di sini malam kelmarin.
Abdul Rahim berkata, jenayah rogol ini sukar dicegah sekiranya ibu bapa tidak memberikan kerjasama dalam mengawasi anak-anak mereka.
”Kebebasan yang melampau diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak adalah faktor utama perkara seperti ini berleluasa. Saya minta kerjasama ibu bapa mengawal dan menyelia anak-anak mereka bagi mengurangkan gejala sosial seperti ini dari terus berlaku,” katanya.
Menurutnya, jenayah harta benda yang menunjukkan peningkatan pula ialah curi motokar, pecah rumah di siang hari dan curi ragut.
”Namun, kesemua kes jenayah itu masih lagi berada dalam keadaan terkawal.
”Bagi tahun ini hanya tinggal dua bulan sahaja, saya berharap penurunan kadar jenayah ini dapat dikekalkan selaras dengan petunjuk prestasi utama (KPI),” katanya.
__________________