ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Sufian akan memulakan kayuhan merentasi 25 buah negara bermula Ogos depan.
KUALA TERENGGANU - Tiga penunggang basikal veteran mahu mengukir nama dalam Buku Rekod Malaysia dengan mengayuh basikal mengelilingi dunia yang dijangka bermula Ogos ini, merentasi 25 buah negara mengambil masa selama 485 hari.
Anak jati Terengganu, Sufian Mohd, 55, yang juga seorang pensyarah Politeknik Sarawak berkata, dia telah merancang untuk mengayuh basikal mengelilingi dunia sejak dua tahun lalu bersama rakannya, Datuk Mohamad Kepli Ahmad dan Harmy Yusof, masing-masing berusia 62 dan 45 tahun.
"Pada 1 Ogos nanti, kami akan memulakan perjalanan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah dengan mengelilingi sekurang-kurangnya 25 buah negara seluruh dunia dan berakhir di bandar Kuala Terengganu pada November 2016, dengan jarak sejauh 30,000 kilometer.
"Perjalanan ini mengambil masa setahun 4 bulan dan kami akan bawa bersama segala kelengkapan yang mencukupi untuk bekalan di sepanjang perjalanan termasuk dapur, makanan ringan, pakaian dan sebagainya.
Dijangka berat sebuah basikal termasuk pengayuh lebih kurang 130 kilogram," katanya kepada media sempena Majlis Temu Murni SMK Tengku Bariah 1978, di sini.
Menurut bapa kepada dua anak ini, tujuan mereka melakukan aktiviti sebegitu adalah untuk menyampaikan maklumat kepada negara-negara luar bahawa Malaysia adalah sebuah negara aman dan masyarakatnya sentiasa mengamalkan ukhuwah yang baik malah bersatu dalam menangani pelbagai musibah.
"Sepanjang perjalanan kami merentasi Thailand, China, Laos, Turki, Itali, Perancis dan pelbagai lagi negara, kami akan bawa bersama-sama bendera Malaysia, Terengganu dan tidak lupa juga bendera sekolah saya (SMK Tengku Bariah)," ceritanya yang teruja untuk memulakan kayuhan berkenaan.
Sufian berkata, kayuhan bersama dua lagi rakannya itu nanti hanya dilakukan pada waktu siang manakala sebelah malam diluangkan untuk berehat.
"Dalam masa sehari kami jangka mampu kayuh sejauh 80 kilometer, tetapi perlu melihat pelbagai aspek termasuk cuaca dan keadaan jalan. Kami juga akan melalui jalan berbatu, pasir, berbukit dan sebagainya, jadi ketahanan fizikal dan mental amat perlu dititikberatkan," katanya.
Tambah Sufian, setelah segala permohonannya untuk melakukan kayuhan itu diberi kelulusan oleh kerajaan Malaysia dan kedutaan negara terlibat, mereka bekerja keras untuk mencari penaja termasuk jabatan kerajaan dan juga swasta.
Katanya, mereka bertiga memang berhasrat mahu mencipta rekod di dalam Malaysia Book of Records sebagai kumpulan veteran pertama mengelilingi dunia menggunakan basikal.
Sementara itu, bercakap mengenai persiapan dari segi kekuatan fizikal dan mental, Sufian berkata, dia akan mengayuh basikal sejauh 50 hingga 60 kilometer sehari jika ada kelapangan terutama ketika cuti.
"Saya pernah kayuh basikal sejauh 2,600 kilometer yang mengambil masa selama 14 hari dari Tawau, (Sabah) ke Sematan (Sarawak), Kota Bharu (Kelantan) ke Kuantan (Pahang) sejauh 700 kilometer, Kudat (Sabah) ke Sematan (Sarawak) melibatkan 1,600 kilometer dan banyak lagi program kayuhan yang turut melibatkan komuniti," jelasnya.
Dalam pada itu, Sufian berharap rakyat Malaysia dan juga kerajaan Terengganu memberi sokongan padu kepada mereka supaya berjaya mengakhiri kayuhan pada November 2016 nanti.