BTC USD 76,485.3 Gold USD 4,341.83
Time now: Jun 1, 12:00 AM

KATA MP | Tujuh pengajaran dari persidangan DAP

Md Hanif

Legendary Member
gem
Messages
13,780
Joined
Jun 13, 2023
Messages
13,780
Reaction score
289
Points
146

KATA MP | Tujuh pengajaran dari persidangan DAP​

4b6eeac0192e38cad0da716de1804ac1.jpg

c4732d7d15399113772e180229e465c9.jpg

5fad5fecf00ccc7dcb4e4b17aec3b262.jpg


KATA MP | Ada sesuatu yang sihat apabila sebuah parti masih mampu bertengkar dengan dirinya sendiri. Semalam, kita mendengar suara yang keras, suara yang gusar, suara yang marah, dan suara yang masih mahu percaya.

Saya berterima kasih kepada setiap perwakilan yang bangun bercakap, dan juga kepada mereka yang duduk mendengar.

Tidak semua kata-kata menyenangkan telinga. Memang begitulah sepatutnya. Persidangan yang hanya menghasilkan tepukan ialah sekadar perhimpunan. Persidangan yang menghasilkan pertanyaan pula merupakan pendidikan.

Daripada perjalanan menuju persidangan ini, saya belajar satu perkara yang nampaknya mudah tetapi sering mahal harganya dalam politik: sesuatu yang memuaskan perasaan belum tentu hasilnya memuaskan.

Orang lama dari dulu mengingatkan, menang sorak kampung tergadai. Politik pula mempunyai terlalu banyak kampung yang tergadai kerana pemimpinnya terlalu ghairah mahu menang sorak.

Sebab itulah pendidikan politik bukan sekadar mengajar ahli apa yang mesti difikirkan. Tugasnya lebih sukar. Kita mesti belajar bagaimana hendak berfikir ketika marah, bagaimana menimbang hasil dan akibat ketika tertekan, dan bagaimana membezakan prinsip daripada desakan hati yang mahu segera dipuaskan.

Mesti dinilai dengan betul, adil

Perbahasan Persidangan DAP ke-18 semalam memberikan kita beberapa pelajaran tentang perkara tersebut.

Pertama, kepimpinan bukan sekadar kebolehan membuat keputusan. Pemimpin yang hanya bercakap sesama pemimpin akhirnya akan mendengar gema suara mereka sendiri.

Akar umbi bukan hiasan kepada demokrasi parti. Mereka membawa khabar dari cawangan, pasar, kedai kopi, rumah panjang, pangsapuri, kampung dan bandar yang tidak semestinya sampai ke bilik mesyuarat pusat.

Jika kita meminta ahli percaya kepada kepimpinan, kepimpinan juga mesti belajar mempercayai suara ahli.

Kedua, prinsip yang tidak sampai kepada rakyat akhirnya menjadi slogan. Kita bercakap tentang reformasi institusi, rasuah, politik perkauman, peluang yang saksama dan Malaysia yang lebih adil.

Tetapi rakyat tidak hidup dalam manifesto. Mereka hidup dengan gaji, harga barang, sekolah, hospital, bas, lesen, undang-undang dan layanan pejabat kerajaan. Maka reformasi mesti turun dari rostrum kepada kehidupan.

Kalau tidak, kita hanya pandai menamakan perubahan tanpa menghadirkannya.

Ketiga, kemarahan ialah maklumat, bukan strategi. Ia memberitahu kita sesuatu sedang salah. Tetapi ia tidak memberitahu kita tindakan mana satu yang benar.

Keputusan tentang gabungan, logo, pilihan raya, jawatan atau penyertaan dalam kerajaan mesti dinilai daripada pencapaian dan hasilnya, bukan sedapnya tepukan selepas diumumkan.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Politik yang matang bertanya bukan sahaja, “Apa yang kita rasa malam ini?” tetapi, “Ke mana keputusan ini membawa kita lima atau 10 tahun lagi?”

Keempat, politik bukan pertandingan prestasi semata-mata. Sebuah kerajaan boleh membawa pelaburan, pekerjaan, simpanan dan pentadbiran yang lebih baik, tetapi tetap tewas kepada cerita yang lebih dipercayai.

Di sinilah angka sering kalah kepada rasa dan sentimen.

Gerakan sehingga enam dekad

Hamparan angka tidak mempunyai wajah. Statistik tidak mempunyai hubungan. Fakta hanya menjadi keyakinan apabila dibawa dengan bahasa yang difahami, melalui manusia yang dipercayai.

Pagi semalam Setiausaha Agung DAP ada menyebut secara sambil lalu tetapi melekat pada fikiran saya: kadangkala, untuk sesuatu yang kita mahu sampaikan benar-benar dipercayai, orang lain perlu mengatakannya.

Ini bukan muslihat komunikasi. Ini pelajaran tentang kepercayaan. Dalam politik, siapa yang bercakap kadangkala sama penting dengan apa yang diperkatakan.

Kelima, jika politik perkauman menang sesekali, jawapannya bukan menjadi lebih perkauman. Api tidak dipadam dengan minyak.

Tugas kita ialah memahami ketakutan tanpa tunduk kepadanya, menjawab keresahan tanpa membesarkannya, dan memastikan setiap orang Malaysia berasa aman dengan identitinya tanpa perlu takut kepada identiti orang lain.

Melawan rasuah dan perkauman memang sukar. Kalau perjuangan itu mudah, ia tidak memerlukan sebuah gerakan politik selama enam dekad.

Keenam, autonomi datang bersama tanggungjawab. Kita percaya kepada federalisme, desentralisasi dan ruang kepada kepimpinan tempatan. Tetapi orang yang meminta hak membuat keputusan juga mesti bersedia memikul akibat keputusan itu.

Tidaklah semenggah jika kemenangan kita dakap sebagai milik sendiri tetapi kekalahan pula kita campakkan ke halaman orang lain.

Akhirnya, kita belajar kembali maksud kesatuan. Kesatuan bukan semua orang berkata ya.

Mahu wakil tunaikan amanah

Kesatuan ialah keberanian berkata tidak, kesediaan mendengar sebabnya, kebijaksanaan membuat keputusan, lalu kedewasaan bergerak bersama selepas keputusan dibuat.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Muafakat bukan ketiadaan pertentangan. Muafakat ialah kemampuan mengurus pertentangan tanpa memusnahkan persaudaraan perjuangan.

Penyokong kita tidak meminta kita menjadi sempurna. Mereka meminta kita belajar. Mereka meminta kita menunaikan amanah. Mereka meminta setiap jawatan yang kita pegang menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada sebelum ini.

Maka janganlah perbahasan persidangan DAP semalam mati bersama lampu dewan yang dipadamkan.

Bawalah pulang pertanyaannya. Fikir lebih panjang, dengarlah lebih luas, bercakaplah lebih manusiawi, pikullah tanggungjawab, dan fahami mereka yang belum memahami kita.

Kerana akhirnya, kuasa bukan destinasi kita. Malaysia yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Itulah destinasinya.

HOWARD LEE ialah Ahli Parlimen Ipoh Timur merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

 
Perwakilan DAP sudah buat keputusan. 88% undi kekal.

Episod ini saya rakam dua hari sebelum undian itu, dan saya memang jangka keputusannya begitu. Sebab bila saya tengok kedudukan DAP hari ini, mereka tersepit dua-dua jalan.

Kalau keluar, mereka kena buat keputusan yang saya dan Nik sudah buat, terima hakikat yang mungkin sampai mati kami tidak akan kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan. Saya tidak pasti mereka bersedia untuk benda itu.

Jadi mereka kekal.

Bila kekal, strateginya jelas: guna kuasa dan pengaruh dalam kerajaan untuk lindungi undi Cina dan kerusi Cina, selepas apa yang berlaku di Johor dan di Negeri Sembilan.

Di situ masalahnya. Kalau strategi itu berjaya, DAP mungkin menang 30 hingga 40 kerusi dalam PRU16. Tapi PKR dengan AMANAH nampak gayanya payah.

Katakanlah DAP menang 35, PKR menang 5, AMANAH menang 1, pada ketika itu, Pakatan Harapan sudah tidak wujud.

DAP akan jadi seperti Gerakan.

Gerakan pun mula sebagai parti berbilang kaum. Tokoh-tokoh ilmiah Melayu, progresif Melayu, semuanya masuk.

Lama-kelamaan ia jadi parti Cina, dan orang Melayu tidak pergi dekat. Hari ini Gerakan cium tangan PAS.

Trend itu bukan teori. Di Johor, kos kekalahan jatuh kepada PKR dan AMANAH. Di Negeri Sembilan pun begitu.

Jadi akhirnya bukan DAP yang terpaksa buat pilihan. Pengundi bukan Melayu yang terpaksa buat pilihan.

Bagi saya DAP dan PH sudah sampai kemuncak perjalanan politik mereka. Yang belum pasti ialah sama ada mereka sedar atau tidak.

Tonton kupasan penuh keputusan Kongres Khas DAP ini di Podcast YBM Episod 59:
 
Back
Top
Log in Register