ZONDA
Legendary Member

- Messages
- 14,904
- Joined
- Feb 8, 2011
- Messages
- 14,904
- Reaction score
- 46
- Points
- 120
Meraikan Hari Ibu bukan alasan untuk melupakannya pada hari-hari lain. - GAMBAR HIASAN
BARU-baru ini, pada 10 Mei, ramai antara kita menyambut Hari Ibu atau meraikan ibu kita dengan pelbagai cara. Ada yang pergi makan-makan, ada yang beli kek atau hadiah atau ada yang bawa ibu bercuti. Apa pun yang dilakukan tujuan utamanya ialah menghargai ibu masing-masing.
Ada banyak pandangan mengenai sambutan Hari Ibu. Namun di Malaysia pihak berkuasa juga meraikannya untuk memberi peluang kepada anak-anak untuk menunjukkan kasih sayang mereka kepada ibu masing-masing.
Ibu adalah orang yang sangat penting dalam hidup kita kerana tanpa ibu, kita tidak mungkin dapat melihat dunia ini. Ibu yang mengandung dan melahirkan dan kemudian membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. (rujuk Luqman: 14)
Ibu juga adalah insan yang berjaga malam apabila kita sakit dan menangis, menemani kita tidur apabila kita tidak sihat, sentiasa bimbang jika kita terjatuh semasa berjalan, ibu yang risau kita kemalangan dalam perjalanan ke sekolah.
Ibu ini juga yang menyediakan minum pagi, makan tengah hari dan makan malam dalam apa keadaan sekalipun. Ibu memastikan makanan ada untuk dimakan. Tidak pernah ibu memberi alasan yang dia penat atau tidak sihat dan yang kita tahu, ibu menyediakan makanan kita. Ibu mencuci pakaian kita, kasut sekolah semasa kita baru bersekolah dan membawa kita ke mana sahaja ibu pergi.
Ibu tidak pernah terlupa membeli atau memasak makanan kegemaran kita, tidak pernah terlupa membeli/menjahit pakaian baharu untuk hari raya dan banyak perkara yang ibu buat, yang biasanya kita terlupa mengucapkan terima kasih.
Tiada penghujung
Kasih sayang ibu tiada penghujungnya. Jika seorang itu bernama ibu, tidak mungkin ia melakukan sesuatu yang mencederakan, melukakan hati atau menyakiti anaknya. Mungkin di dunia moden ini dalam keterpaksaan, ada ibu yang terpaksa membuang anaknya atau memberikannya kepada orang lain kerana mahu anaknya mendapat peluang untuk hidup lebih selesa dan lebih bahagia.
Mereka berbuat demikian kerana ingin yang terbaik untuk anak mereka. Mungkin ada satu dua kes, ibu dalam keadaan yang sangat tertekan, mencederakan anaknya sendiri. Kecuali satu dua ibu, semua ibu sangat sayangkan anak-anaknya dan sanggup buat apa sahaja demi anak mereka. Sebab itu kita perlu menghargai ibu kita.
Merayakan Hari Ibu dengan niat mengucap terima kasih bukan bermakna hanya pada hari itu sahaja kita berterima kasih dan mengingati ibu kita. Sebagai Muslim, kita mesti mendoakan ibu kita setiap kali selepas solat. Kita mesti memohon kepada Allah SWT untuk mengampunkan dosa ibu, mengasihaninya seperti dia mengasihani kita semasa kita masih kecil dan melimpahkan rahmat-Nya kepada ibu sepanjang hayat ibu di dunia dan di akhirat.
Meraikan Hari Ibu bukan alasan untuk melupakannya pada hari-hari lain. Sebenarnya setiap hari adalah Hari Ibu dan kita mesti mengingatinya kerana ibu tidak pernah terlupa tentang kita. Hidup seorang ibu berkisar dengan suami, anak-anaknya dan keluarganya.
Sebagai seorang ibu, kini saya dapat merasakan betapa sayangnya ibu kepada saya. Saya akan berbuat apa sahaja untuk anak-anak. Apabila mereka sakit, saya berjaga sepanjang malam. Saya juga sentiasa mendoakan anak-anak.
Saya beruntung kerana diberi peluang oleh Allah SWT kerana ibu memilih untuk tinggal bersama saya di hari tuannya. Sebagai anak, ibu kita bukan beban tetapi rahmat Allah SWT. Berbuat baiklah kepada ibu semasa ibu masih ada dan apabila ia sudah tiada, berdoalah selalu untuknya. Janganlah kita menjadi anak derhaka kerana anak sebegini tidak akan masuk syurga.
Mengikuti keinginan dan saranan ibu bapa dalam pelbagai aspek kehidupan baik masalah pendidikan, pekerjaan, jodoh mahupun masalah lain, asalkan yang tidak bertentangan dengan agama. Sebagaimana dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuan tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik. (Luqman: 15)
Menghormati dan memuliakan ibu dengan penuh kasih sayang dan terima kasih kepadanya kerana tidak mungkin seorang anak dapat membalas jasa-jasa ibunya. Cara kita menghormati ibu kita adalah memanggilnya dengan panggilan yang menunjukkan hormat, berbicara dengan lemah-lembut dan tidak mengucapkan kata-kata yang kasar.
Membantu ibu secara fizikal dan material. Ini termasuk membantunya dalam pekerjaan hariannya seperti menyapu lantai rumah, memasak dan sebagainya.
Mendoakan ibu agar diampuni dosa-dosanya, diberikan rezeki dan lain-lain.
Birrul walidain dapat diteruskan meskipun orang tua telah meninggal. Di antaranya: menyelenggarakan jenazah dengan sebaik- baiknya, membayar hutang-piutangnya, melaksanakan wasiatnya, meneruskan silaturahim yang dibinanya di masa hidup mereka dan memuliakan sahabat-sahabat mereka dan mendoakannya.
Justeru, berbuat baiklah kepada ibu kerana Allah akan melimpahruahkan segala kebaikan kepada kita. Yakinlah bahawa peluang untuk berbuat baik kepada ibu kita akan hanya datang sekali. Jangan tunggu sehingga Hari Ibu tahun hadapan untuk mengatakan kepada ibu yang kita sangat sayangkan dia.
Hari ini ramainya anak-anak yang menderhaka kepada ibu mereka tanpa mereka menyedarinya. Allah SWT sentiasa mengingatkan kita supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapa kita sebagaimana yang dijelaskan dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud: Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya, atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata ‘ah’ terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut.
Sementara itu dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa? Tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi. Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah, Rasulullah SAW ketika ditanya oleh seorang sahabat daripada kaum Ansar mengenai masih adakah tanggungjawabnya terhadap ibu bapa yang sudah meninggal dunia. Rasulullah SAW menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: “Ada, iaitu berdoa, beristighfar untuk kedua-duanya, menyempurnakan janji, memuliakan sahabat taulan kedua-duanya dan menyambungkan silaturahim yang tidak sempat dijalinkan oleh kedua-duanya.”
Bersama Prof. Datin Noor Aziah Mohd. Awal Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UKM serta Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, UKM & Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia, (Yadim). Boleh dihubungi di [email protected]
Bagaimanakah berbuat baik kepada ibu bapa?