Md Hanif
Legendary Member

- Messages
- 13,763
- Joined
- Jun 13, 2023
- Messages
- 13,763
- Reaction score
- 289
- Points
- 146
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh bercakap kepada pemberita selepas melaporkan diri secara rasmi di kementerian berkenaan hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh memberi jaminan bahawa pemeliharaan kampung-kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, termasuk Kampung Baru, akan terus menjadi perhatian beliau.
Beliau berkata usaha memelihara kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan diteruskan selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengekalkan warisan serta identiti komuniti tempatan dalam arus pembangunan bandar.
Hannah berkata rekod perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen Segambut membuktikan pendirian konsistennya dalam mempertahankan kepentingan kampung tradisi Melayu, termasuk Kampung Sungai Penchala.
“Mengenai komitmen saya dalam menjaga kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, jangan risau. Rekod perkhidmatan saya boleh dirujuk. Saya Ahli Parlimen kawasan Kampung Sungai Penchala dan telah menegaskan betapa pentingnya kampung tradisi Melayu dipelihara,” katanya kepada media selepas melapor diri secara rasmi bersama timbalannya Datuk Lo Su Fui, di sini hari ini.
Beliau berkata pembangunan bangunan komersial tidak sukar dilaksanakan, namun kewujudan kampung tradisi Melayu semakin terhad dan perlu dilindungi sebagai warisan serta identiti masyarakat bandar.
“Kalau hendak mencari bangunan komersial, itu mudah, tetapi kampung tradisi semakin sukar ditemui. Bagaimanapun, semua perkara perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang dan saya perlu mendapatkan taklimat daripada agensi berkaitan terlebih dahulu,” katanya.
Mengenai isu Kampung Baru, Hannah berkata pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini daripada Penasihat Undang-Undang serta semua pegawai terlibat sebelum sebarang pendirian atau keputusan dibuat.
Beliau berkata isu berkenaan bukan perkara baharu dan telah beberapa kali dibangkitkan serta dibahaskan di Parlimen sebelum ini.
Hannah turut memaklumkan beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Ghani berhubung perkara itu dan semua urusan yang telah dilaksanakan oleh bekas menteri Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, akan diteruskan.
Kampung Tradisi Melayu Di Wilayah Persekutuan Akan Terus Dipelihara - Hannah
Hannah Yeoh, kampung, Melayu, tradisi, dipelihara